PESONA

Restoran Agak Agak rekrut belia ceburi bidang perniagaan

Restoran Agak Agak rekrut belia ceburi bidang perniagaan



TANGANNYA ligat memukul adunan doh membuat churros. Sesekali dia mengangkat adunan itu untuk ditujukan kepada peserta yang menyertai bengkel membuat pastri yang popular dari Perancis, Portugal dan Sepanyol itu.

Sedang tangan wanita berusia 31 tahun itu bekerja untuk menyiapkan makanan yang enak dimakan bersama sos pandan dan coklat, bibirnya tidak putus-putus menguntum senyuman.

Wanita yang dimaksudkan itu ialah seorang cef selebriti, Khalisah Sulaiman atau lebih mesra digelar Ili.

Menurut anak tunggal itu, dunia masakan bukan perkara yang asing baginya kerana sejak kecil lagi, dia sudah didedahkan dengan aktiviti di dapur seperti memotong sayur, memasak, membuat kek dan menyediakan masakan oleh ibunya, Khalilah Mitchell, 56.

“Walaupun saya anak tunggal, ibu dan ayah memiliki keluarga yang besar. Kami selalu mengadakan aktiviti rewang jika terdapat majlis kesyukuran atau sambutan hari jadi.

“Tambahan pula, ibu dan nenek memang handal bab memasak. Jadi, sedikit sebanyak bakat itu turun kepada saya,” ujar Ili sambil memberitahu, dia menggemari masakan tulang rusuk lembu bersama mangga yang dimasak ibunya.

Ijazah


KELUARGA kecil Ili terdiri daripada ibunya, Khalilah (kiri) dan ayahnya, Sulaiman.


Tambah anak jati Kuala Lumpur itu, semasa melanjutkan pelajaran dalam jurusan Ijazah Perniagaan di Queen Mary University of London, England, dia juga sering menjadi tukang masak kepada kawan-kawannya.

Setiap kali menyambut perayaan seperti hari raya, wanita kacukan Melayu, Cina, India dan Inggeris itu akan menjamu rakan-rakannya dengan masakan kampung.

“Tamat belajar, saya bekerja di sebuah restoran mewah di London iaitu Restoran Mosimann sebelum membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia.

Sepanjang tiga tahun bekerja di restoran itu, saya berpeluang menjadi sebahagian daripada kru majlis makan malam untuk pasangan diraja Britain iaitu Putera William dan isterinya, Kate Middleton di Istana Buckingham.

“Pengalaman bekerja itu menambah keyakinan saya untuk menceburi bidang masakan setelah pulang ke tanah air,” tuturnya sambil mengimbas kembali saat dia membuat keputusan untuk beralih daripada bidang yang dipelajarinya semasa di universiti.

Mujur, keputusan Ili itu disokong sepenuhnya oleh bapa, Sulaiman Abu Bakar, 57.

Sejurus pulang ke Malaysia pada tahun 2014, Ili mengusahakan perniagaan menjual makanan siap dimasak menerusi Instagram, Dish by Ili pada Julai tahun yang sama.

Lebih istimewa, makanan itu dijual di dalam mangkuk tingkat yang boleh dikongsi lebih seorang.

Mangkuk tingkat adalah bekas aluminium bulat berisi makanan yang diletakkan secara bertingkat-tingkat.

Ia lazimnya digunakan oleh masyarakat pada zaman dahulu untuk membawa bekal makanan ke tempat kerja atau sekolah.

Antara menu yang disediakan Ili ialah ikan salmon masak kari, ayam masak kicap, ayam goreng berempah dengan sambal berlado, ayam panggang bersama kentang serta salad dan terung tempe masak kicap cili padi.

Perniagaan menjual makanan menggunakan mangkuk tingkat menjadi titik tolak dalam hidup wanita itu apabila dia dilamar Astro Ria menerusi program Diari Mangkuk Tingkat Ili pada Februari 2015.

Menerusi rancangan 12 episod itu, nama Ili Sulaiman semakin dikenali ramai.

Laksa Johor


RESTORAN Agak Agak terletak di Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur.


“Perniagaan mangkuk tingkat sebenarnya tercetus selepas saya mahu orang ramai membeli dan berkongsi makanan seperti pada zaman sekolah dahulu kerana ia dapat mengeratkan lagi hubungan sesama manusia.

“Saya tidak sangka, perniagaan seumpama itu berjaya menarik minat pihak Astro, ini semua rezeki,” katanya yang sehingga kini masih menjalankan perniagaan berkenaan.

Selepas program itu, Ili telah menyertai pertandingan Food Hero anjuran Asian Food Channel (AFC) pada tahun 2015.

Pada program itu, dia telah menyediakan masakan Laksa Johor.

Lebih manis, walaupun masih baru dalam lapangan masakan, Ili berjaya menjuarai pertandingan itu.

“Saya menghabiskan masa selama enam jam untuk masak Laksa Johor. Tidak sangka usaha itu berbaloi,” tuturnya yang selepas itu mengendalikan rancangan enam episod, By The Sea with Ili di saluran AFC pada November tahun lalu.

Menerusi rancangan di saluran Astro 703 itu, Ili menelusuri pantai-pantai di rantau Asia termasuk Da Ang, Hoi An dan Pulau Chams di Vietnam manakala di Thailand, Ili ke Phuket sebelum berakhir di Pantai Penarik serta Perhentian di Terengganu, Malaysia.

“Di setiap lokasi itu, saya merasai pelbagai hidangan makanan laut dan kemudian mencipta dua hidangan dengan sentuhan tersendiri tanpa mengubah banyak bahan yang digunakan,” jelas wanita yang sentiasa ceria itu.

Menyentuh mengenai perancangan masa depan, Ili memberitahu, dia kini memiliki sebuah restoran dikenali Agak Agak yang terletak di Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur.

Latihan


ILI menjual makanan yang diletakkan di dalam mangkuk tingkat untuk memupuk sifat berkongsi antara satu sama lain.


Restoran itu bukan sahaja menyediakan makanan dan minuman kepada pelanggan tetapi turut berfungsi sebagai perusahaan sosial yang merekrut belia untuk latihan praktikal serta holistik dalam dunia masakan serta perniagaan.

“Latihan yang diberikan meliputi menyediakan masakan, melayan pelanggan dan cara membangunkan perniagaan.

“Apabila pelajar sudah membina kemahiran, kami akan menghantar mereka untuk menjalankan praktikal dengan restoran lain yang bekerjasama dalam inisiatif ini.

“Pada masa akan datang, saya bercadang untuk membuka lebih banyak lagi pusat latihan seperti ini,” katanya yang mengambil inspirasi Agak Agak daripada restoran milik cef Jamie Oliver iaitu Fifteen di England.

Pesona!»

Serawa Labu Manis Nestum pikat juri

ALISA bersama suami, Shahrizal Bakar dan empat orang anaknya bergambar selepas dinobatkan sebagai Ratu Empayar Sajian Nestum 2017.

Varia!»

Terminal Pukal Lekir beroperasi selama 24 jam

Kesibukan sering berlaku di pintu masuk LBT yang membekalkan arang batu ke Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjung, Perak.

Process time in ms: 31