INFINITI

Migrasi burung botak padi

Migrasi burung botak padi


KATAK, ikan dan cicak merupakan makanan kegemaran spesies burung ini.


KALANGAN pengguna yang berulang-alik menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur Bangi, Selangor sebelum ini pasti pernah melihat kehadiran spesies burung berbulu putih, hitam dan sedikit merah jambu di atas tiang lampu atau papan tanda di laluan berkenaan.

Adakalanya, kelibat burung itu boleh dilihat sedang mencari makanan di kawasan parit dan kolam tidak jauh dari bangunan Pusat Pemprosesan Maklumat, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Lebih dikenali sebagai Painted Stork (Myceteria leucocephala) atau burung botak padi di negara ini, tidak ramai yang mengetahui ia merupakan spesies burung migrasi dan bukan berasal dari negara ini.

Aktivis burung liar tempatan, Allen Jeyarajasingam berkata, burung botak padi dipercayai berasal dari benua India dan boleh ditemui di sekitar Asia Tenggara seperti Vietnam, Myanmar dan Kemboja.

Persamaan

Katanya, di Malaysia terdapat satu spesies burung yang mempunyai persamaan dengan burung botak padi iaitu Milky Stork (Mycteria cinerea) atau burung botak upeh.

“Apa yang membezakan ialah warna bulunya kerana burung botak upeh hanya mempunyai warna putih dan hitam sahaja manakala burung botak padi memiliki tambahan warna merah jambu di bahagian sayap.

“Selain itu, burung botak upeh hanya boleh ditemui di daerah Kuala Gula, Kuala Krau, Perak berbanding burung botak padi yang banyak terdapat di sekitar Lembah Klang,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.


BURUNG botak padi mudah dikenali kerana bahagian hujung sayapnya berwarna merah jambu.


Allen yang juga merupakan penulis buku A Field Guide to the Birds of Peninsular Malaysia and Singapore memberitahu, burung botak padi dipercayai dibawa masuk ke negara ini ketika awal penubuhan Zoo Negara sebagai salah satu tarikan kepada pengunjung.

“Selepas beberapa dekad, populasinya semakin bertambah dan menyebabkan sebahagian daripadanya berhijrah ke lokasi lain sekitar Lembah Klang untuk mencari makanan.

“Selain sekitar Bangi, buat masa ini, burung tersebut boleh ditemui di Putrajaya, Shah Alam, Kuala Selangor dan Rawang dalam kumpulan-kumpulan kecil,” ujarnya.

Burung tropika

Sementara itu, Aktivis Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Mark Ng Meng Yong berkata, burung botak padi merupakan spesies burung tropika yang lazim ditemui di kawasan air tawar, paya bakau atau tasik.

“Ia bersarang di atas pokok dan menggunakan paruhnya yang keras dan panjang untuk menangkap ikan, katak, cicak atau serangga sebagai makanan.

“Sifat burung ini yang tahan lasak membolehkan ia menyesuaikan diri dengan kehidupan di dalam bandar apatah lagi mempunyai banyak sumber makanan.


BURUNG botak padi dewasa mampu mencecah ketinggian sehingga 102cm dan berat antara dua hingga 3kg.


“Biarpun begitu, ia tidak menganggu manusia kecuali sering ditemui di atas pencawang elektrik atau tiang-tiang lampu di lebuh raya,” katanya.

Beliau menjelaskan, seperti spesies burung lain, ia hidup secara berkumpulan dan membiak sekitar November hingga Mei bergantung kepada habitatnya.

“Seekor burung betina mampu bertelur antara dua hingga lima biji. Ia akan bertelur setahun sekali.

“Burung botak padi dewasa mampu mencecah antara 93 hingga 102 sentimeter (cm) dan berat antara dua hingga tiga kilogram (kg),” katanya.

Tambah Mark, secara tidak langsung, kehadiran burung botak padi di negara ini memberi nilai tambah terhadap spesies burung tempatan.

Selain itu, katanya, ia juga dapat menjadi sebahagian daripada ekosistem di kawasan air tawar, paya bakau dan tasik.

“Kecantikan burung ini sentiasa mengundang perhatian peminat burung tempatan malah ia juga menjadi daya penarik pengunjung ke Tasik Shah Alam atau di Tasik Putrajaya,” ujarnya.

Sementara itu, pegawai di Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Rahmah Ilias berkata, sehingga kini belum ada kajian spesifik yang dilakukan terhadap burung botak padi di negara ini.

“Ketika ini kita hanya bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mendaptkan taburan populasinya di Semenanjung Malaysia.

“Orang ramai dilarang untuk menangkap atau memburu spesies burung ini memandangkan ia merupakan haiwan yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).” ujarnya.

Rencana Utama!»

Pembunuhan rakyat Syria beramai-ramai

ORANG awam yang disyaki terkena gas sarin di Khan Sheikhoun, Idlib, Syria bergelimpangan di atas tanah.

Varia!»

Polis Shah Alam dekati pelajar Taufiq Islami

Pelajar-pelajar Institut Taufiq Islami teruja dan seronok dapat beramah mesra dengan Shafien (kanan).

Process time in ms: 16