INFINITI

Buat arang guna sistem gelombang mikro

Buat arang guna sistem gelombang mikro



MALAYSIA mempunyai ladang sawit kedua terbesar di dunia dengan keluasan mencecah 5.6 juta hektar.

Dianggarkan, industri itu menghasilkan lebih 20 juta tan sisa buangan saban tahun meliputi tandan kelapa sawit kosong, sisa buangan kilang dan sebagainya.

Perkara ini merupakan cabaran kepada industri pengilang kelapa sawit untuk mengendalikan sisa komoditi tersebut secara mampan. Jika tidak, ia akan menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Lantaran itu, sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) telah membangunkan inovasi Biomass Microwave Carbonizer (BMC) untuk memproses tandan kelapa sawit menjadi arang mesra alam yang dipanggil biochar.

Ketua penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Prof. Dr. Azni Idris memberitahu, melalui proses pirolisis, tandan kelapa sawit akan dibakar di bawah suhu haba rendah antara 300 hingga 350 darjah Celsius melalui sistem gelombang mikro.

Pirolisis merupakan salah satu teknik dekomposisi bahan kimia organik melalui proses pemanasan tanpa oksigen dan bahan-bahan lain. Melalui kaedah ini, material mentah akan mengalami pemecahan struktur kimia.

“Aktiviti pembakaran tandan kelapa sawit yang telah dihancurkan berlaku dalam kebuk dengan panel automatik yang boleh dikawal dan dilaras bagi mengoptimumkan suhu untuk menghasilkan biochar.

“Selain 50 peratus bahan bakar akan ditukarkan menjadi arang, proses itu turut menghasilkan 25 peratus bio-oil dan kira-kira 25 peratus gas sintetik yang boleh dijadikan sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Gas itu boleh digunakan semula sebagai sumber tenaga untuk proses pembakaran pada pusingan seterusnya,” ujarnya kepada Kosmo! ketika ditemui di kampus UPM Serdang baru-baru ini.


Arang biochar mempunyai kandungan tenaga yang tinggi dan hampir tidak mengeluarkan asap apabila digunakan.


Proses pembakaran

Menurutnya, proses pembakaran mengambil masa satu jam berbanding kaedah membuat arang secara konvensional yang boleh mengambil masa berhari-hari lamanya.

Sebagai contoh, proses pembuatan arang yang merupakan industri tertua di Kuala Sepetang, Taiping, Perak dibahagikan kepada tiga peringkat dan memakan masa kira-kira sebulan.

Peringkat pertama dan kedua bermula dengan pembakaran api besar dan api kecil selama 20 hari sebelum dapur berbentuk seperti iglu ditutup sepenuhnya selama 10 hari lagi untuk proses penyejukan.

“Pembakaran arang secara tradisional juga mengeluarkan asap yang banyak. Sesetengahnya melibatkan pembakaran secara terbuka.

“Namun, melalui kaedah BMC produk ini dapat dihasilkan lima kali ganda lebih cepat dengan kadar pengurangan pelepasan asap sehingga 70 peratus,” jelasnya menambah apabila digunakan untuk membakar, ia hampir tidak mengeluarkan asap dan mudah dinyalakan.

Rakan penyelidiknya merangkap Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar UPM, Prof. Madya Dr. Mohamad Amran Mohd. Salleh berkata, produk biochar itu berkualiti premium dan tinggi kandungan tenaga.

Tambahnya, ia melepasi spesifikasi yang ditetapkan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) bagi nilai bahan api pepejal standard, 6,317kcl per kilogram (kg) berbanding kadar minimum 4,900kcl per kg.

Alternatif

Justeru, biochar juga menjadi alternatif kepada arang yang semakin mahal dan sukar digali untuk menjana kuasa elektrik.

Ia juga dapat mempelbagaikan sumber tenaga biojisim memandangkan industri arang kini turut mengalami krisis bekalan terhad bagi produk arang yang dihasilkan daripada pokok kayu bakau.

“Industri perladangan lain seperti padi, kenaf, buluh, sisa landskap yang diuruskan Pihak Berkuasa Tempatan seperti ranting serta pokok yang ditebang sesuai mengaplikasikan teknologi BMC ini untuk menukar bahan buangan itu kepada arang.


Industri kelapa sawit tempatan dianggarkan menghasilkan 20 juta tan sisa buangan setiap tahun. – Gambar hiasan


“Bentuknya juga dinamik kerana selepas menjalani proses pembakaran, ia berubah menjadi serbuk dan boleh dibentuk dengan acuan mengikut permintaan pelanggan.

“Dari aspek perbandingan dengan briket atau bahan penyala komersial lain, biochar mampu bertahan selama dua jam dengan suhu tertinggi direkodkan 414.7 darjah Celsius,” tuturnya.

Katanya, arang itu boleh dimanfaatkan dalam sektor pertanian sebagai bahan sebatian tanah untuk menyuburkan tanah bagi meningkatkan produktiviti tanaman.

Dalam hal ini, komposisi tanah dicampur unsur karbon seperti arang dapat meningkatkan keupayaan menampung air, menyerap baja dan menggalakkan aktiviti mikrob di dalam tanah.

Sasaran pengguna bagi produk arang mesra alam itu ialah sektor yang menggunakan bahan bakar sebagai sumber tenaga. Antaranya, sistem boiler di sektor perkilangan, perusahaan makanan seperti katering, perhotelan dan runcit.

Produk biochar itu sedia untuk dikomersialkan dan telah dipasarkan pada peringkat skala industri melalui Pakar Go Green Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat pemula di bawah program Innohub Taman Sains Putra UPM.

Pengarah Urusan Pakar Go Green Sdn. Bhd. Atiyyah Ameenah Azni berkata, pihaknya bersedia membekalkan teknologi BMC kepada isi rumah dan pengusaha arang bagi kegunaan sendiri dan komersial.

“Kami sedia membekalkan teknologi BMC berkapasiti 5kg per jam dan 500 kg per jam masing-masing pada harga RM50,000 dan RM1 juta.

“Bagi kegunaan isi rumah, pengguna boleh menukar surat khabar lama, sisa daripada aktiviti berkebun seperti rumput, ranting pokok dan tempurung kelapa kepada arang untuk kegunaan sendiri atau dijual secara kecil-kecilan,” kongsi graduan Sains Bioteknologi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.

Dalam perkembangan sama, Atiyyah bercerita, pihaknya turut terlibat dalam projek perintis membangunkan sebuah loji rawatan kumbahan berasas teknologi BMC bagi memproses sisa enap cemar menjadi biochar yang mengambil masa tiga tahun iaitu dari 2012 hingga 2014.

“Ia bukan perkara mustahil kerana najis manusia bersifat organik dan boleh diproses menjadi bahan bakar. Namun, prosesnya berperingkat dan lebih rumit kerana kita perlu memisahkan sisa pepejal dengan sisa cecair.

“Loji tersebut merupakan milik sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan pembetungan berjaya menghasilkan satu tan biochar sehari,” ujarnya menutup bicara.

Process time in ms: 47