PESONA

Periksa mata seawal usia enam bulan

Periksa mata seawal usia enam bulan



Tatkala mendapat berita dikurniakan cahaya mata sulung, pasti perkhabaran itu memberikan 1,001 kegembiraan kepada setiap pasangan suami isteri.

Kepada seorang suri rumah, Kim Lee, 38, dan suaminya, dikurniakan cahaya mata lelaki kira-kira lima tahun lalu memberi pengalaman manis cukup dalam perjalanan hidup mereka.

Namun, hati kecil Kim terdetik seperti ada sesuatu yang tidak kena berlaku pada mata anak tunggalnya itu. Jude, kini berusia 5 tahun.

“Ketika itu, umur dia kurang enam bulan. Saya lihat mata Jude sedikit pelik. Saya berasakan anak saya juling.

“Saya ada bertanya kepada jururawat semasa melakukan pemeriksaan di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak untuk mengambil suntikan vaksin, namun mereka memberitahu, terlalu awal untuk mengenal pasti masalah itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada Hari Terbuka Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn (THONEH), Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Selepas Jude mencapai usia setahun, dia membawa anaknya ke hospital swasta untuk berjumpa pakar mata.

“Menurut doktor, Jude tidak juling sebaliknya kedudukan batang hidungnya yang agak leper menyebabkan pandangan matanya agak pelik.

“Saya berasa lega dengan penjelasan tersebut, tetapi perkara sebaliknya berlaku apabila baru-baru ini Jude tidak dapat membaca dengan jelas walaupun pada jarak dekat,” katanya dia sering melakukan ujian ringkas ke atas anaknya itu.

Sesekali, Kim Lee akan meminta anaknya itu membaca papan tanda ketika mereka bersama-sama dalam kereta. Namun, ada sesetengah tulisan tidak dapat dibaca walaupun jarak yang dekat.

Kini, Kim sedang menunggu laporan daripada pakar mata kanak-kanak di THONEH bagi mendapatkan jawapan tentang masalah mata Jude.

Imej kabur

Masalah mata pada kanak-kanak boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti penyakit keturunan, cacat sejak lahir, kecederaan atau kemalangan. Ia juga boleh berlaku tanpa sebab dan secara tiba-tiba.


PENGESANAN awal mata malas sebelum umur lapan tahun meningkatkan peluang kejayaan rawatan. – Gambar hiasan


Menurut Pakar Optometris-ortoptik, Tan Sweet Wei, antara masalah gangguan penglihatan yang sering dialami kanak-kanak ialah lazy eyes atau ambliopia yang juga dikenali sebagai mata malas.

“Gejala mata malas merupakan antara punca utama seorang kanak-kanak tidak berupaya melihat dengan baik. Keadaan ini berlaku disebabkan kanak-kanak melihat imej yang kabur sekiranya mengalami masalah rabun, juling atau ketidaknormalan pada tisu mata.

“Sekiranya proses ini terganggu dan tidak dirawat, kanak-kanak tidak dapat mengenali objek yang dilihat kerana bahagian otak yang berperanan mengawal deria penglihatan tidak berfungsi dengan baik,” katanya sambil memaklumkan imej yang kabur akan menyebabkan perkembangan otak turut terjejas.

Gejala mata malas biasanya hanya mempengaruhi satu mata tetapi apabila kedua-dua mata kurang mendapat visual yang baik dan jelas untuk jangka masa panjang, keadaan sama boleh berlaku pada kedua-dua belah mata.

Mengesan ambliopia pada awal usia dapat meningkatkan peluang kejayaan rawatan terutamanya jika dikesan sebelum umur lapan tahun. Lebih

awal ia dikesan, lebih besar potensi untuk pulih.

Masalah mata rabun dalam kalangan kanak-kanak antara penyakit mata yang perlu diambil berat oleh ibu bapa. Misalnya hipermetropia atau dikenali sebagai rabun dekat ialah satu keadaan apabila pesakit mengalami kesukaran untuk melihat dengan jelas dari jarak dekat.

Sebagai individu yang berpengalaman dalam bidang mata, Sweet Wei memberitahu, jika ibu bapa mengesan sesuatu yang berbeza kepada anak mereka seperti kepala sedikit senget ketika menonton televisyen atau sering mengadu tidak nampak walaupun berada pada jarak munasabah, segera bawa berjumpa doktor.

Pemeriksaan

“Jika ibu bapa mengesan masalah rabun ini, kanak-kanak perlu menjalani pemeriksaan mata menyeluruh yang dikendalikan oleh doktor pakar mata.

“Sekiranya keadaan ini tidak dirawat, kanak-kanak ini akan mengalami kesukaran terutamanya ketika membaca dan menulis sebaik sahaja mereka memasuki alam persekolahan.


RAWATAN URUTAN refleksologi dipercayai mempunyai kesan positif pada mata.


“Rawatan awal dan konsisten amat penting bagi memastikan keupayaan kanak-kanak melihat berada pada tahap yang baik,” jelasnya sambil menyarankan supaya setiap ibu bapa membawa anak melakukan pemeriksaan mata pada usia enam bulan, tiga tahun dan sebelum memasuki sekolah rendah.

Jika perkara ini tidak dirawat segera, penggunaan cermin mata juga tidak dapat membantu menghilangkan masalah rabun.

Pada Hari Terbuka THONEH itu, majlis penyerahan cek bernilai RM28,960 kepada Presiden Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia,

Dr. S. Radha Krishnan bersempena sambutan ulang tahun ke-31 hospital itu. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Presiden THONEH,

Datuk S. Kulasegaran.

Selain itu, antara aktiviti yang diadakan ialah rawatan urutan refleksologi khusus untuk kebaikan mata daripada Thes Wellness.

Juru Urut Thes Wellness, Rugayah Ahmad berkata, rawatan urut kaki turut berkait rapat dengan organ mata kerana terdapat beberapa titik pada telapak kaki yang menyambungkan urat saraf pada mata.

“Apabila melakukan refleksologi, kami mempunyai urutan tertentu yang akan membuatkan pengaliran darah berjalan lancar seterusnya memberikan kesan lega kepada pesakit.

“Ada dalam kalangan pesakit yang memberi respons, penglihatan mata menjadi lebih segar dan jelas selepas melakukan urutan,” katanya yang sudah 15 tahun pengalaman dalam bidang berkenaan.

Walaupun rawatan refleksologi tidak dapat menyembuhkan sakit mata 100 peratus, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan kesakitan.

Tambah Rugayah yang merupakan pesakit glaukoma tahap B2 iaitu hanya dapat melihat 15 peratus, setiap hari dia akan ke katil pesakit untuk melakukan urutan kaki.

Lazimnya, dia akan melakukan rawatan itu selamat 30 minit kepada tujuh atau lapan orang pesakit pada setiap Isnin hingga Sabtu.

Selain orang dewasa, pesakitnya juga terdiri daripada kanak-kanak. Jelasnya, dia ada mendapat maklum balas positif daripada kanak-kanak yang mengatakan penglihatan mereka bertambah baik selepas menjalani urutan kaki.

“Saya pernah terdengar jika kanak-kanak ini menjalani refleksologi dari awal dan konsisten, potensi untuk mereka pulih agak tinggi berbanding dewasa.

“Jika benar, ia adalah satu berita baik,” tuturnya sambil memberitahu, Thes Wellness baru diambil alih THONEH awal tahun ini.

Sebelum ini, badan itu bergerak secara persendirian. Terdapat 10 orang kakitangan yang semuanya merupakan orang kurang upaya yang mempunyai masalah penglihatan.

Rencana Utama!»

Pembunuhan rakyat Syria beramai-ramai

ORANG awam yang disyaki terkena gas sarin di Khan Sheikhoun, Idlib, Syria bergelimpangan di atas tanah.

Varia!»

Polis Shah Alam dekati pelajar Taufiq Islami

Pelajar-pelajar Institut Taufiq Islami teruja dan seronok dapat beramah mesra dengan Shafien (kanan).

Process time in ms: 16