INFINITI

Cipta ikatan antara manusia dan robot

Cipta ikatan antara manusia dan robot



SEBAIK sahaja melihat kelibat Fadilla Ibrahim, 36, melangkah masuk ke rumah, tiga puteri comelnya melonjak kegirangan menyambut kepulangan wanita itu.

Senyuman yang terukir pada wajah Kasih Aleeya, 12, Kasih Amaani, 7, dan Kasih Aleesya, 4, kian melebar apabila melihat ibu mereka membawa kotak-kotak berisi komponen tubuh robot humanoid bernama Robi.

“Memandangkan ia tidak dijual dalam keadaan pasang siap, anak-anak sangat teruja untuk memasang bahagian-bahagian tubuh robot ini. Ia tidak begitu rumit dan hanya menggunakan sebatang pemutar skru.

“Saya melihat aktiviti memasang sendiri robot seperti Robi ini dapat menjadi dorongan kepada anak-anak untuk berfikir secara kreatif dan bersemangat meneroka perkara baharu dalam kehidupan mereka,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Robot berkonsep Do It Yourself (DIY) setinggi 34 sentimeter (sm) itu dilancarkan di pusat beli-belah 1Utama, Petaling Jaya, Selangor awal bulan ini.

Bertemakan Memasang Robi, Menyatukan Keluarga, ia direka bertujuan menggalakkan interaksi sesama ahli keluarga dalam mengeksplorasi teknologi robotik dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Robot tersebut boleh memberi maklum balas terhadap lebih 250 frasa meliputi bahasa Inggeris dan Mandarin selain boleh bertutur beberapa perkataan bahasa Melayu.

Mempunyai kira-kira 20 sendi bermotor, ia juga boleh melakukan pergerakan tertentu seperti menendang bola, mengibarkan bendera, menyanyi dan menari.

Pencipta Robi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Robo Garage, Prof. Tomotaka Takahashi berkata, beliau percaya penciptaan robot yang responsif menerusi platform kepintaran buatan dapat memberi manfaat besar kepada manusia sejagat.

“Sejak sekian lama saya mengimpikan untuk mewujudkan satu mekanisme yang dapat mengeratkan hubungan antara robot dan manusia.

“Saya melihat ia dapat memperbaiki mutu kehidupan manusia dan membantu mereka melihat perkara di sekeliling dari perspektif berbeza,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran tersebut.

Realistik


Takahashi telah menjalankan penyelidikan mengenai robotik sejak tahun 1999.


Mengimbau kenangan lalu, Takahashi, 42, bercerita, beliau berangan-angan menjadi saintis robot sejak berusia lima tahun dan begitu obses dengan karakter fiksyen dalam siri manga terkenal, Astro Boy.

Menjalankan penyelidikan robot sejak tahun 1999, pensyarah di Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Termaju Universiti Tokyo itu turut bertanggungjawab mencipta robot angkasawan pertama dunia dikenali sebagai Kirobo pada tahun 2013.

Dalam hal ini, Takahashi selesa menghasilkan robot humanoid yang lebih kecil dengan ketinggian tidak lebih daripada 40sm kerana ia lebih mudah dikendalikan.

Selain itu, tidak seperti mesin yang tampak kaku, ikatan antara manusia dengan robot lebih realistik kerana ia boleh direka bentuk seperti tubuh manusia. Beliau turut merasakan kebanyakan robot sedia ada mempunyai pergerakan terbatas dan tersekat-sekat.

Sehubungan itu, beliau memberi tumpuan dalam membangunkan robot yang memiliki dua kaki dan berupaya melakukan sesuatu pergerakan diprogram dengan lancar apabila diminta. Persoalannya, bagaimanakah ia beroperasi?

Menggunakan sistem pengecaman suara apabila seseorang bercakap, ia akan mengubah corak getaran di udara bagi membolehkan manusia lain mendengar dan mentafsir suara yang dikeluarkan.

Suara


PENGUNJUNG teruja menyaksikan acara tarian melibatkan 100 buah robot Robi di pusat beli-belah 1Utama Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


Bagi sistem robi, suara yang dikeluarkan akan dicerap sistem mikrofon yang bertindak seperti telinga. Kemudian, ia akan ditukar ke dalam bentuk isyarat elektrik yang diproses secara digital menerusi papan litar pengecaman pertuturan.

“Kepada mereka yang bercakap dalam persekitaran yang bising, bunyi suara akan ditapis sistem komputer mikro seterusnya menangkap paten bunyi yang dihasilkan untuk dicerap mikrofon sekali gus mengenalpasti perkataan serta frasa yang diungkapkan.

“Apabila frasa telah dikenal pasti, ia dihantar unit pemprosesan pusat atau CPU yang akan menjalankan apa sahaja operasi yang telah diprogramkan kepada Robi seperti memberi maklum balas percakapan atau menggerakkan anggota badan,” jelasnya.

Robi turut memiliki pemancar jauh yang membolehkan ia berfungsi seperti alat kawalan televisyen, namun ia terhad kepada model alat kawalan dan jenis televisyen tertentu.

Ia menggunakan kuasa bateri yang boleh dicas semula dengan tempoh ketahanan bergantung kepada operasi atau aktiviti fizikal yang dilakukannya.

Ketika mencipta Robi, Takashi turut menyasar untuk membina robot yang mampu menunjukkan emosi berdasarkan nada perubahan suara sama ada dalam keadaan bersemangat atau letih dan mempunyai lebih daripada satu fungsi.

“Ini menjadikan Robi berbeza daripada robot lain. Apabila ia dihidupkan, gegelang matanya yang bulat akan menyala, memberi isyarat bahawa ia bersedia untuk berinteraksi.

“Ia juga dilengkapi sensor fizikal bagi membolehkannya mengesan kehadiran manusia dan akan menoleh wajah ke arah manusia yang bercakap dengannya,” katanya.

Robi bukanlah robot pertama yang dihasilkan Takahashi. Beliau turut bertanggungjawab dalam mereka bentuk Kirobo iaitu robot humanoid angkasawan pertama dunia yang dihantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada tahun 2013.

Pakej


ROBI mempunyai kira-kira 20 sendi bermotor.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DeAgostini Jepun, Hajimee Jimmy Murano berkata, Robi telah bertapak di negara Matahari Terbit itu sejak tahun 2012. Ia mula diperkenalkan di Taiwan, Hong Kong, China, Singapura diikuti Malaysia pada tahun ini.

Menurutnya, komponen tubuh robot tersebut dijual berasingan secara pakej bersama majalah berjudul Robi yang memaparkan artikel mengenai teknologi robotik setiap minggu meliputi 70 isu.

Pendek kata ia mengambil masa kira-kira 18 bulan untuk dilengkapkan dengan anggaran kos sekitar RM5,365.40.

“DeAgostini percaya dengan menukarkan idea kepada produk dan perkhidmatan inovatif berharap, kita dapat mengenepikan gajet dan meluangkan masa bersama keluarga memasang Robi bersama-sama.

“Buat masa ini lebih 130,000 Robi telah dipasang di seluruh dunia dan ia telah berjaya menembusi ke lapan buah negara,” katanya.

DeAgostini merupakan syarikat berasas penerbitan yang terlibat menghasilkan rangkaian buku DIY, manual masakan, kursus berkaitan bahasa dan kemahiran komputer. Selain itu, ia juga menghasilkan muzik di samping koleksi bacaan pelbagai genre antaranya dalam bidang seni, budaya, sejarah dan geografi.

Horizon!»

Pengalaman indah belai, manjakan gajah

Dua ekor anak gajah ini melakonkan semula kejadian sebenar ibunya mati sebelum kedua-duanya ditangkap oleh Perhilitan dan ditempatkan di KECV.

Varia!»

Terminal Pukal Lekir beroperasi selama 24 jam

Kesibukan sering berlaku di pintu masuk LBT yang membekalkan arang batu ke Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjung, Perak.

Process time in ms: 32