TERKINI

Ketua balai, anggota polis direman kes rasuah

Ketua balai, anggota polis direman kes rasuah

21/03/2017 11:51am


Ketua balai polis dalam daerah Kulim dan anggota polis berpangkat koperal dibawa ke Mahkamah Alor Setar untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan kes rasuah.


ALOR SETAR - Dua anggota polis termasuk seorang ketua balai dalam daerah Kulim ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan pembayaran bulanan yang didakwa diterima mereka daripada beberapa pengusaha lori di daerah yang sama.

Perintah tahanan reman terhadap ketua balai polis berpangkat sarjan mejar dan anggota polis berpangkat koperal itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen di sini, Rusmini Mat Rashid.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Kedua-dua suspek berusia 57 dan 53 tahun itu ditahan SPRM di Balai Polis Mahang, Kulim dan IPD Kulim antara pukul 9 pagi hingga 10 pagi semalam.

Mereka disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan meminta dan mengambil rasuah daripada pengusaha lori antara RM200 hingga RM300 sebulan bagi setiap lori sejak Januari tahun lalu.

Difahamkan, sebanyak 15 lori terlibat setakat ini.

Perbuatan dua suspek itu dipercayai sebagai dorongan agar pengusaha pengangkutan berkenaan tidak dikenakan saman atas beberapa kesalahan lalu lintas yang sering dilakukan mereka.

Antara kesalahan yang dilakukan adalah lori tidak mempunyai insurans perlindungan, tiada cukai jalan dan kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE

Rencana Utama!»

Teruja sambut Aidilfitri di Malaysia

MUHAMMAD Rasyad, (kiri), Muhammad Adam (tengah) dan Zuhaira menyambut hari raya pertama bersama mualaf lain di Hidayah Centre Foundation sebelum berlepas ke Abu Dhabi pada hari raya kedua.

Process time in ms: 31