SUKAN

Robben berang tindakan Ancelotti

Robben berang tindakan Ancelotti


ROBBEN (kiri) berang dengan tindakan Ancelotti yang mengeluarkannya sewaktu Bayern Munich menentang Borussia Monchengladbach pada aksi Bundesliga awal pagi semalam.


MUNICH – Ketua jurulatih Bayern Munich, Carlo Ancelotti mempertahankan keputusannya mengeluarkan Arjen Robben sewaktu mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Borussia Monchengladbach pada aksi Bundesliga awal pagi semalam.

Robben, 33, menunjukkan tanda protes kerana bengang dengan tindakan Ancelotti, 57, mengeluarkannya lalu menggantikan dengan Renato Sanches pada perlawanan tersebut.

Rakan sepasukan Robben iaitu Xabi Alonso, Franck Ri­bery dan Jerome Boateng turut mempersendakan kemarahan pemain sayap antarabangsa Belanda itu di bangku simpanan sejurus dia dikeluarkan.

Bagi Ancelotti, beliau tidak bimbang dengan situasi tersebut kerana ia merupakan lumrah dalam dunia bola sepak.

“Saya juga tidak gembira apabila dikeluarkan sewaktu saya masih bermain dahulu. Jadi, bagi saya ia bukan satu masalah. Robben menunjukkan rasa marah kerana dia memberikan aksi terbaik dalam perlawanan ini,” katanya.

Penyerang antarabangsa Jerman, Thomas Muller muncul wira Bayern apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-63.

Kemenangan tersebut membolehkan Bayern melebarkan penguasaan sebagai pendahulu Bundesliga dengan kelebihan 13 mata ke atas pasukan tangga kedua, RB Liepzig. – Agensi

Process time in ms: 31