STAILO

Tawar pakej penjagaan diri secara tradisional

Tawar pakej penjagaan diri secara tradisional



SUDAH puas Yusri Saadon, 28, mencari lokasi untuk menjalani rawatan kecantikan sempena hari perkahwinannya yang bakal berlangsung tidak lama lagi ketika itu.

Kebimbangan usahawan gerai makan itu semakin memuncak apabila mengetahui bakal isterinya sudah pun melakukan pelbagai khidmat kecantikan seperti urutan, wajah dan mandi bunga.

Keresahan Yusri bagai tidak boleh dibendung lagi. Seperti orang lain, dia juga mengimpikan untuk tampil hebat bak raja sehari, namun dia buntu.

Rata-rata spa di sekitar Lembah Klang hanya menumpukan golongan wanita, manakala perkhidmatan yang ditawarkan untuk lelaki boleh dibilang dengan jari. Sehinggalah lelaki yang berasal dari Kajang, Selangor itu melihat satu status yang dimuat naik pada laman Instagram menerusi telefon pintarnya mengenai pusat rawatan spa golongan Adam iaitu Sadomen Spa.

Tanpa berlengah, Yusri terus menghubungi talian yang tertera dan membuat temu janji.

Malam itu juga Yusri ke Sadomen Spa yang terletak di Pandan Indah, Kuala Lumpur dan menjalani pakej spa pengantin di spa itu.

“Saya hampir putus asa mencari pusat spa untuk lelaki kerana sangat susah untuk ditemui lebih-lebih lagi apabila majlis perkahwinan semakin hampir.

“Namun setelah menjalani rawatan di Sadomen Spa, saya rasa sangat berbaloi kerana ia seperti pusat istirahat khusus untuk lelaki.


TEKNIK urutan aromaterapi merupakan taruhan Sadomen Spa.


“Selepas melakukan urutan refleksologi, rawatan wajah, sauna dan mandi bunga, tubuh saya rasa lebih segar dan saya semakin tidak bersabar untuk melangsungkan majlis perkahwinan,” katanya yang baru mendirikan rumah tangga awal Januari lalu.

Pertemuannya dengan Sadomen Spa dirasakan sangat berharga kerana Yusri mengakui aura seri pengantinnya semakin terserlah selepas mencuba pakej spa pengantin.

Menyedari kesukaran yang dihadapi oleh golongan lelaki untuk mendapatkan rawatan spa, Mohd. Shahrizal Razali, 31 dan Hisham Abdul Talib, 48, yang merupakan pengasas bersama Sadomen Spa tampil dengan inisiatif mewujudkan sebuah spa berkonsepkan tradisional khusus untuk lelaki.

Sadomen Spa merupakan spa khusus buat lelaki yang mahu menjaga penampilan dan kesihatan tubuh dengan memberi fokus terhadap rawatan wajah serta badan.

Sebagai pusat sehenti untuk semua lelaki sama ada bujang, bakal pengantin atau yang sudah berkeluarga, Sadomen Spa dihias bercirikan dekorasi Melayu.

Penggunaan cahaya lampu malap, aroma harum dan alunan muzik mendamaikan antara elemen yang menenangkan pelanggan sebaik melangkah masuk ke pusat tersebut.

Menurut Mohd. Shahrizal Razali, kewujudan Sadomen Spa memberi peluang kepada golongan lelaki yang sibuk dengan aktiviti harian meluangkan masa untuk merawat tubuh. “Pada awalnya kami hanya beroperasi dengan hanya menerima tempahan melakukan khidmat spa di rumah pelanggan.

Sambutan


Pelanggan Sadomen Spa datang dari serata tempat termasuk Singapura, Brunei dan Dubai.


“Lama-kelamaan jumlah pelanggan kami semakin meningkat hasil perbualan mulut ke mulut pelanggan sehingga tidak menang tangan,” katanya ketika ditemui di Sadomen Spa baru-baru ini.

Melihat kepada sambutan yang menggalakkan, pihaknya membeli sebuah premis di Pandan Indah.

“Ia merupakan spa pertama Sadomen Spa supaya masyarakat setempat dapat menikmati khidmat spa kami lebih selesa,” jelasnya yang memiliki lebih 18 tahun pengalaman dalam bidang spa.

Selepas ia tular di media sosial, lebih ramai lelaki khususnya golongan belia berkunjung ke spa tersebut untuk merasai pengalaman memanjakan diri.

Sadomen Spa bertindak sebagai sebuah pusat sehenti yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kecantikan dan kesihatan.

Biarpun niat penubuhan tersebut disifatkan sebagai murni, Mohd. Shahrizal atau lebih mesra disapa Abam Zack mengakui pada awalnya ia sukar untuk direalisasikan.

“Ketika dibuka pertama kali di Pandan Indah pada 1 November 2014, masyarakat setempat memandang sinis kerana berpendapat pusat spa ini mempromosi kegiatan yang tidak bermoral.

“Namun kami jelaskan kepada masyarakat bahawa operasi spa ini bebas daripada kegiatan tersebut dan terus beroperasi seperti biasa sambil mempromosikan khidmat kami di laman sosial,” katanya.


Sadomen Spa turut menawarkan khidmat rawatan wajah.


Selepas dua tahun, lama-kelamaan masyarakat semakin boleh menerima kehadiran Sadomen Spa yang kini mempunyai tiga buah cawangan selain di Pandan Indah iaitu di Petaling Jaya dan Klang serta yang terbaharu di Setapak, Kuala Lumpur,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Sadomen Spa, Klang baru-baru ini.

Pembukaan cawangan baharu adalah bagi melebarkan empayar Sadomen Spa untuk lebih dekat kepada masyarakat.

Abam Zack merancang untuk membuka cawangan baharu sekitar tahun ini di Bangi, Putrajaya dan Cheras.

Khidmat urutan yang ditawarkan di Sadomen Spa iaitu teknik aromaterapi Sadomen Spa merupakan gabungan teknik urutan Melayu tradisional dengan memperkenalkan urutan dari Sabah, Sarawak, Hong Kong, China dan Eropah merupakan taruhan utama spa tersebut.

Ia menjadi buah mulut orang sehingga berjaya memikat pelanggan tempatan dan antarabangsa dari Brunei, Singapura termasuk Dubai.

Kesemua pekerja di Sadomen Spa terdiri daripada lelaki dalam lingkungan 20-an yang mendapat latihan intensif dalam bidang rawatan kecantikan dan kesihatan.

Pengurus Sadomen Spa, Mohd. Amin Alavi berkata, ia secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia dan pada masa sama menjamin keselesaan pelanggan.

“Jika sebelum ini segelintir lelaki berasa janggal berkunjung ke spa kerana tidak selesa bersentuhan dengan wanita, kini mereka tidak perlu gusar. “Mereka boleh datang dan memanjakan diri menjalani perkhidmatan memanjakan diri di spa kami tanpa was-was,” jelasnya.

Process time in ms: 63