DUNIA

Polis siasat komplot bunuh PM Thailand

Polis siasat komplot bunuh PM Thailand

CHAKTHIP (tiga dari kiri) menunjukkan pelbagai jenis senjata, peluru dan bahan letupan yang dirampas hasil serbuan terhadap sebuah rumah pemimpin Baju Merah di Pathum Thani, dekat Bangkok kelmarin. - BERNAMA


BANGKOK – Sebuah kumpulan antikerajaan didakwa berkomplot untuk membunuh Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha dan pemimpin junta lain, kata polis semalam susulan rampasan sejumlah besar senjata dan peluru pada hujung minggu lalu.

“Kami mempunyai bukti kukuh berhubung ranca­ngan menggunakan senjata untuk mencetuskan keganasan dan menyerang pemimpin junta (Prayuth),” kata timbalan jurucakap polis, Krisana Pattanacharoen kepada pemberita tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Katanya, polis telah menangkap seramai sembilan suspek di pelbagai lokasi susulan rampasan senjata itu. Polis juga masih menyia­sat sama ada terdapat individu lain yang terlibat dengan rancangan jahat tersebut.

Antara senjata yang dirampas polis Thailand termasuk pelancar grenad M79, 11 bom tangan, 13 raifal, hampir 6,000 butir ­peluru dan satu liter bahan letupan TNT di sam­ping 400 pil methamphetamine.


PRAYUTH (dua dari kanan) tiba untuk menghadiri mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan, Bangkok pada 14 Mac lalu - REUTERS


Polis menemui senjata itu di sebuah rumah milik pemimpin pergerakan Baju Merah, Wuthipong Kochathamakun yang melarikan diri sejak rampasan kuasa tentera pada 2014.

“Kami turut menemui selaras raifal dilengkapi teropong. Kami yakin senjata ini bukan untuk menembak burung. Sebaliknya, ia akan digunakan untuk membunuh pemimpin negara kita,” kata Ketua Polis Thailand, Chakthip Chaijinda

kepada pemberita kelmarin, merujuk kepada Pra­yuth.

Katanya, senjata itu untuk digunakan di sebuah kompleks kuil di pinggir Bangkok yang dikepung selama tiga minggu pada awal bulan ini ketika polis memburu seorang sami Buddha yang dikehendaki kerana jenayah pengubahan wang haram.

Kepungan ke atas kuil itu dibatalkan selepas sami tersebut gagal ditemui.

Menurutnya lagi, simpanan senjata itu membuktikan terdapat kumpulan yang cuba mencetuskan ketidakstabilan sebagai alasan untuk melakukan rampasan kuasa.

Dalam pada itu, pengkritik-pengkritik junta dan penyokong pembangkang mempersoalkan dakwaan pihak berkuasa selepas polis enggan mendedahkan lebih lanjut kaitan antara senjata yang dirampas dan komplot tersebut.

“Bukti ini (senjata) sudah mencukupi,” kata Krisana.

Thailand berada di bawah pemerintahan tentera sejak rampasan kuasa pada Mei 2014 yang menumbangkan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra. – DPA/REUTERS

Process time in ms: 31