TERKINI

SPRM tahan inspektor, koperal polis lindungi peniaga air ketum

SPRM tahan inspektor, koperal polis lindungi peniaga air ketum

20/03/2017 10:49pm



PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) menahan dua anggota polis berpangkat inspektor dan seorang koperal yang dipercayai bersekongkol bersama peniaga-peniaga air ketum dengan mengambil rasuah sebagai wang perlindungan.

Menurut sumber SPRM, mereka disyaki te­lah mengambil wang rasuah berjumlah antara RM2,000 hingga RM3,500 untuk melindungi peniaga air ketum supaya tindakan undang-undang tidak dikenakan ke atas mereka.

“Suspek berpangkat inspektor itu ditangkap di Raub, Pahang manakala suspek kedua, seorang ko­peral, ditangkap di Pulau Pinang.

“Kedua-keduanya yang berusia 33 dan 31 tahun ditahan dalam operasi ber­asingan hari ini (semalam),” katanya kepada Kosmo!.

Difahamkan, peniaga air ketum boleh memperoleh pendapatan bersih sehingga RM350 sehari dan ini membuatkan mereka tidak kisah untuk memberi rasuah kepada polis bagi mendapatkan perlindu­ngan.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memberitahu, kedua-duanya akan direman hari ini untuk membantu siasatan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi. - K! ONLINE

Process time in ms: 47