RENCANA UTAMA

Santai Seniman temukan para penggiat sastera

Santai Seniman temukan para penggiat sastera



“GERBANG keamanan dan kota demokrasi dilingkari kawat berduri, di ruang angkasa raya tanpa sempadan corong diayah ideologi dan fitnah menggegar tanpa pilihan,” itulah bait-bait sajak yang disampaikan oleh penggiat sastera Mustapa Ibrahim.

Walaupun usianya telah menjengah 70 tahun, Mustapa masih bersemangat mendeklamasi sajak berjudul Gerbang Keamanan.

Setiap bait aksara yang dibacanya mempunyai makna tersirat.

Sajak yang dibacanya itu telah dihasilkan oleh Mustapa pada tahun 1998 dan ia lebih kepada luahan rasanya dan pandangannya terhadap situasi yang berlaku waktu itu.

“Saya rasa gembira kerana diberi peluang untuk turut serta dalam program sebegini. Melalui program ini, saya berpeluang mendeklamasikan sajak tulisan saya kepada penonton yang hadir.

“Seingat saya, hari ini jarang diadakan program sastera sebegini dan kami penulis diberi peluang dan kesempatan untuk mendeklamasikan hasil karya sendiri di hadapan umum,” katanya ketika ditemui.

Deklamasi


PELBAGAI hasil lukisan seniman terkemuka juga turut dipamerkan di Galeri RA Fine Art.


Bertempat di RA Fine Art di Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur telah berlangsung satu program Santai Seniman yang menghimpunkan seniman dari pelbagai bidang untuk bacaan sajak, puisi dan wacana.

Antara seniman dan penggiat sastera yang hadir termasuklah Kamarul Ariffin Yassin, A. Samad Said, Mustapa Ibrahim dan Intan Rafiza.

Selain itu, penggiat sastera dari Singapura seperti Eunos Asah, Madi Kawi, Yatiman Yusof, Maarod Salleh dan Hamid Besih turut hadir memeriahkan program tersebut.

Sewaktu program tersebut berlangsung, penggiat sastera yang hadir itu mendeklamasikan sajak dan puisi masing-masing dengan penuh penghayatan.

Mustapha berkata, dalam usaha memartabatkan bidang sastera di Malaysia, terutamanya program-program sebegitu, harus dianjurkan secara berkala terutama dalam usaha mendidik generasi muda untuk mencintai karya-karya sastera.

“Dunia semakin berkembang maju tetapi karya sastera semakin dilupakan oleh generasi muda, sedangkan bidang ini pernah menjadi sesuatu yang hebat suatu masa dahulu.

“Sehubungan itu, program-program sebegini harus diadakan dari semasa ke semasa agar bidang ini tidak hilang begitu saja pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, penganjur program dan pemilik Galeri RA Fine Art, Raja Ahmad Aminullah memberitahu, Santai Seniman ialah salah satu acara kecil di bawah program Forum Penyair Kuala Lumpur (FPKL) yang menghimpunkan beberapa seniman ternama dan penggiat sastera tanah air.

Menurutnya, Santai Seniman dianjurkan sejak November 2016 dan ia menjadi satu acara wajib yang diadakan setiap bulan di galerinya.

“Acara yang dianjurkan ini menemukan seniman dari pelbagai bidang termasuklah sastera, teater, filem pelukis, pemuzik dan penyanyi lagu-lagu puisi.

“Pada malam ini, penggiat sastera yang hadir mendeklamasi puisi dan sajak masing-masing di samping berkongsi pengalaman sepanjang terlibat dalam bidang itu,” katanya.

Melalui acara sedemikian, mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang itu dapat menjalinkan hubungan dengan seniman atau penggiat sastera berpengalaman.

FPKL yang diasaskan oleh Raja Ahmad bersama penggiat sastera lain termasuklah Zakaria Ali, A. Rahim Abdullah, Seniman Negara; Baha Zain dan Muhammad Salleh memfokuskan untuk memartabat serta merakyatkan karya sastera di negara ini.

Selain Santai Seniman, acara lain yang telah dianjurkan di bawah FPKL termasuklah Kata Suara-Suara Puisi dan Suara-Suara Alternatif Dunia.

Jelas Raja Ahmad, walaupun acara Santai Seniman yang diadakan itu berskala kecil dan sederhana tetapi apa yang membanggakan ialah apabila mendapat sokongan daripada penyair dan sasterawan yang menunjangi kesusasteraan Melayu.

Generasi muda


PENGUNJUNG yang hadir menikmati persembahan dengan penuh penghayatan.


“Saya gembira apabila tetamu jemputan dari Singapura sanggup datang dari jauh untuk memeriahkan acara ini. Yatiman Yusof antara penggiat sastera dari negara itu yang sudi mendeklamasi sajaknya bertajuk Geylang Serai.

“Saya sengaja menganjurkan acara ini dalam skala yang kecil supaya mereka yang hadir lebih intim antara satu sama lain, fokus dan menghayati setiap sajak atau puisi yang dipersembahkan itu.

“Berdasarkan pengalaman saya, jika acara ini diadakan dalam skala yang besar, kebanyakan hadirin kurang memberikan perhatian dan atas sebab itu saya menganjurkannya dalam skala yang kecil tetapi kerap,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai penerimaan generasi muda terhadap sastera, Raja Ahmad berkata, mereka sebenarnya masih menerima bidang itu, cuma ia tidak selalu diadakan untuk mengembangkannya.

Menurutnya, beliau sering diundang oleh aktivis sosial anak-anak muda untuk berbicara mengenai sastera.

“Biasanya saya membaca sajak dan puisi apabila bertemu mereka dan penerimaannya amat baik sekali. Ada sesekali mereka mencadangkan supaya menganjurkan acara bacaan puisi dan sajak ini lebih santai bersesuaian dengan kehendak masa kini.

“Tidak perlu mengadakan festival sastera secara besar-besaran untuk menarik minat anak muda, cukuplah dengan acara yang lebih santai kerana mereka lebih menghayatinya,” jelas beliau. Bagi memartabatkan bidang sastera yang pernah hebat suatu ketika dahulu semua pihak harus memainkan peranan.

“Penerbit buku misalnya perlu mengambil inisiatif untuk menerbitkan buku-buku yang sesuai dengan kehendak masyarakat.

“Kenapa karya-karya penulis Indonesia seperti Pramoedya Ananta Toer, W.S. Rendra serta Gabriel Garcia Marquez dari Amerika Latin buku mereka laku kerana ia dibaca oleh khalayak dari pelbagai lapisan masyarakat dan umur,” katanya.

Sementara itu, Eunos Asah, 70, penggiat sastera dari Singapura yang turut hadir dalam acara itu berkata, dia dan rakan-rakan lain berasa gembira apabila dijemput untuk turut serta dalam acara sedemikian.

Baginya, acara sedemikian menjadi platform yang boleh mengembangkan lagi bidang kesusasteraan.

“Acara kecil sebegini wajar diadakan selalu kerana ia dapat mengeratkan lagi insan-insan seni yang berjuang dalam bidang masing-masing.

“Kami menyambut dengan lapang dada apabila dijemput untuk turut serta mendeklamasi sajak dan puisi dalam acara ini serta berpeluang bertemu rakan-rakan lama,” katanya.

Apa yang unik mengenai acara itu ialah, selain dihadiri mereka yang sudah berjaya dan mampan dalam bidang sastera, ia juga turut menerima kunjungan generasi muda yang baru berjinak dalam bidang ini.

Penghayatan


PENGGIAT sastera dari pelbagai lapisan umur hadir memeriahkan program Santai Seniman.


Eunos menjelaskan, acara sebegitu wajar diketengahkan selalu, terutamanya di rantau Nusantara kerana ia mampu membangkitkan semangat cintakan karya kesusasteraan.

Dalam pada itu, pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Awebester Joe Benedeh, 20, berkata, dia teruja apabila berpeluang melihat penggiat sastera mendeklamasi puisi dan sajak hasil karya masing-masing.

“Mereka menyampaikannya dengan penuh perasaan dan penghayatan, ia memberi satu rasa yang lain bagi saya yang mendengarnya.

“Untaian kata yang digunakan juga amat tinggi bahasanya,” jelasnya.

Setiap kali acara itu diadakan, dia pasti akan hadir untuk mengikutinya.

Bagi Awebester Joe, pada acara sebegitulah dia berpeluang bertemu dengan seniman-seniman yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Process time in ms: 16