RENCANA UTAMA

Mengingati 4 tahun nahas Mahakali

Mengingati 4 tahun nahas Mahakali


BAS tersebut tidak terjunam ke dalam air sungai, sebaliknya ia terhempas di atas tanah rata.


AWAL pagi 19 Mac 2013 itu kelihatan sama sahaja seperti hari-hari yang lain. Di Panaji, Goa, India, sebuah bas yang membawa seramai 52 orang penumpang sudah bersiap sedia untuk memulakan perjalanan menuju ke Mumbai.

Bas tersebut kemudiannya bergerak laju ke Mumbai dan setibanya di Ratnagiri, Maharashtra, ia tiba-tiba hilang kawalan lalu terjunam ke dalam Sungai Khed.

Ekoran dari insiden tersebut, seramai 37 orang mangsa terkorban, manakala 14 yang lain cedera parah.

Insiden tersebut berlaku di Ratnagiri yang terletak kira-kira 350 kilometer dari Mumbai.

Memetik laporan laman web The Hindu.com, ketua polis daerah Khed, Mahendra Singh Pardeshi memberitahu, kemalangan tersebut merupakan antara kemalangan bas paling ngeri dalam sejarah di laluan itu.

“Pihak polis mengklasifikasikan kes ini sebagai antara kemalangan bas terburuk yang pernah berlaku di laluan Mumbai-Panaji, Goa kerana bas jatuh menjunam ke dalam sungai,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, ketika tiba di jambatan Sungai Khed, bas itu tiba-tiba hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam sungai.

Orang ramai mula membuat spekulasi bahawa pemandu tersebut yang tidak didedahkan identitinya bukan sahaja memandu laju, malah dia juga memandu dalam keadaan mabuk.

Pardeshi bagaimanapun menolak andaian tersebut.

Bas terbalik

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 3.50 pagi itu, bas tersebut dipercayai sedang cuba untuk memotong sebuah lagi kenderaan lain di hadapannya sebelum ia tiba-tiba hilang kawalan.


ORANG ramai melihat proses mengeluarkan mangsa nahas bas tersebut.


Ia kemudian merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik dan jatuh. Ia bagaimanapun, tidak terjunam di dalam air, sebaliknya jatuh ke atas tanah dan tiada mangsa yang maut akibat lemas sebaliknya akibat kecederaan dalaman.

Hasil pembedahan autopsi memutuskan mangsa mati akibat kecederaan di bahagian kepala.

Dalam kejadian yang melibatkan bas milik syarikat pelancongan Mahakali Travels yang berpangkalan di Mumbai itu, mereka yang maut kebanyakannya merupakan pelancong dari Eropah.

Kemalangan tersebut menimbulkan kemarahan penduduk tempatan kerana ia mungkin berpunca daripada penagguhan proses membaik pulih dan melebarkan jalan itu.

Hal itu menyebabkan kenderaan yang melalui jalan Mumbai-Panaji, Goa cenderung untuk hilang kawalan dan terbabas.

Bhaskar Jhadav yang merupakan Menteri Pembangunan Bandar Ratnagiri berkata, projek itu seharusnya disiapkan segera.

“Kemalangan yang berlaku mungkin disebabkan oleh struktur jalan. Kerja-kerja penyelenggaraan tidak seharusnya ditangguhkan kerana ia boleh mengundang kejadian yang tidak diingini,” ujarnya.

Statistik Organisasi Kesihatan Dunia mendapati, pada tahun 2011 sahaja, seramai 110,000 orang maut akibat kemalangan jalan raya di India.

Daripada jumlah tersebut, seramai lapan peratus maut selepas menaiki bas, manakala 32 peratus yang lain adalah penunggang motosikal.

Dalam tempoh 2010 sehingga tahun 2013 pula, seramai 800 orang maut di laluan Mumbai-Panaji, Goa dan ia merupakan satu jumlah yang tinggi.

Faktor keadaan jalan yang tidak selamat, kenderaan yang sering memecut selain cara pemanduan yang salah menyebabkan kemalangan jalan raya sering berlaku di kawasan tersebut.

Rencana Utama!»

Ukiran kayu cerminan kisah nenek moyang

Samri mengambil masa antara tiga minggu hingga dua bulan untuk menyiapkan sesebuah karya.

GenK»

Pelajari kemahiran ikhtiar hidup

AKTIVITI penjelajahan hutan memberi peluang kepada peserta beriadah sambil melihat keindahan alam semula jadi yang terdapat di sekitar Hutan Lipur Sungai Tua.

Varia!»

Getaran simbolik karya Mad Anuar

MAD ANUAR mengambil masa hampir empat tahun untuk menyiapkan arca Perentas Ribut No. 18.

Process time in ms: 47