RENCANA UTAMA

Usaha memakmurkan komuniti setempat

Usaha memakmurkan komuniti setempat


ANGGOTA KRT atau SRS berkhidmat secara sukarela termasuk melakukan rondaan pada malam hari demi memastikan keselamatan penduduk yang lain. – Gambar hiasan


Keharmonian dalam masyarakat merupakan salah satu asas kemakmuran sesebuah negara. Komuniti yang saling bercakaran boleh menjejaskan pembangunan negara.

Kewujudan pertubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di bawah seliaan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Perdana Menteri adalah penting dalam mewujudkan masyarakat yang sejahtera.

Ditubuhkan sejak 1975, fungsi KRT mencakupi pelbagai perkara termasuk mengukuhkan semangat kejiranan, perdamaian, kebajikan dan kesejahteraan. SRS pula merupakan sebahagian KRT yang ditubuhkan sejak 2004 yang memberi fokus kepada aspek rondaan dan keselamatan dalam KRT.

Ketua Pengarah JPNIN, Baharin Idris berkata, KRT dan SRS merupakan pertubuhan di peringkat komuniti yang penglibatannya secara sukarela. Ia diharapkan dapat menjaga kesejahteraan masyarakat dalam menggalakkan perpaduan.

“KRT membolehkan sesuatu kawasan itu mengatur program-program buat penduduk-penduduknya. Ia platform yang cukup baik.

“SRS pula terbit menerusi biro keselamatan KRT. Sehingga Disember lalu, terdapat sebanyak 7,707 KRT dan 4,833 SRS di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Kosmo! Rabu lalu melaporkan, kerajaan diminta mempertimbangkan pemberian elaun kepada kumpulan KRT dan SRS atas usaha mereka dalam menjaga kesejahteraan masyarakat.

Semangat sukarela

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup menyatakan, sudah tiba masanya ahli jawatankuasa KRT dan SRS diberikan elaun sama seperti yang dinikmati oleh pertubuhan lain termasuk Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

KRT dan SRS tidak pernah menerima sebarang bentuk elaun sejak 42 tahun lalu dan berkhidmat secara sukarela.

Difahamkan, KRT dan SRS banyak berdikari dalam menjayakan program-program mereka. Tiada bantuan kewangan secara individu sebaliknya bantuan hanya diberikan kepada sesebuah pertubuhan KRT atau SRS itu yang menjurus dalam aspek pengurusan, pentadbiran dan utiliti pertubuhan terbabit.

Anggota SRS yang bertugas meronda keselamatan hanya dilengkapi insurans secara berkelompok.

Menyentuh usul pemberian elaun itu, Baharin berkata, elaun itu boleh dianggap sebagai insentif untuk menggalakkan lebih ramai anggota masyarakat menyertai KRT atau SRS.

“Semangat KRT dan SRS patut dipuji kerana melakukannya secara sukarela bagi menjaga kesejahteraan dan mengeratkan perpaduan komuniti setempat. Pemberian elaun mungkin akan menarik lebih ramai orang termasuk golongan muda menyertainya.

“Ia diharapkan akan dapat menyuburkan lagi pertubuhan itu. Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan,” katanya.

Begitupun, Baharin berkata, sikap sukarela merupakan teras kekuatan KRT atau SRS selama ini, justeru, jangan sampai elaun dijadikan kayu ukur untuk bergerak aktif.

Timbalan Pengerusi KRT Seksyen 7, Lestari Perdana, Seri Kembangan, Selangor, Mohd. Zainuri Hassan berkata, KRT di kawasannya berfungsi menjaga keharmonian dan keselamatan termasuk menjadi perantara dan pendamai.

“Kami menganjurkan pelbagai program seperti gotong-royong, menangkap tikus, sukaneka dan jamuan sempena perayaan. Program kami melibatkan pelbagai kaum.

“Kami juga perantara penduduk dengan pihak berkuasa selain turut membantu meleraikan pergaduhan suami isteri,” katanya.

Mengenai pemberian elaun, Mohd. Zainuri yang juga ketua peronda SRS di kawasannya menyifatkan ia wajar apatah lagi penglibatan mereka secara sukarela turut melibatkan risiko bila berkait insiden jenayah.

Rondaan

“Ia satu pengorbanan. Kami melakukan rondaan adakalanya sehingga awal pagi setiap minggu. Kami berkhidmat secara sukarela untuk memastikan penduduk yang lain tidur lena. Apabila ada kes pecah rumah misalnya, kami pergiat rondaan. Tugas kami boleh mendatangkan bahaya.

“Jika hendak membuat program yang besar, kami membuat kutipan dalam kalangan penduduk atau berusaha mendapatkan sumbangan luar. Kadang-kadang perit juga apabila terpaksa keluarkan wang sendiri untuk belanja makan dan minum selepas kepenatan melakukan operasi rondaan,” katanya.

Seorang ahli jawatankuasa KRT di salah sebuah fasa di Taman Seri Gombak yang enggan dikenali berkata, keharmonian penduduk setempat bukan perkara enteng kerana tanpanya boleh mengundang kejadian jenayah.

“Apabila jiran tidak bertegur sapa, mereka akan menjadi sasaran penjenayah seperti perompak kerana jiran bersebelahan tidak mengambil tahu. Tanpa KRT yang menjadi tonggak keharmonian penduduk setempat, bagaimanakah agaknya keadaan masyarakat?

“Saya harap lebih ramai tenaga penggerak dalam KRT untuk menggantikan kami yang semakin tua. Memandangkan, ia bergerak secara sukarela, sukar untuk mencari pengganti,” katanya yang berusia 66 tahun.

Rencana Utama!»

Ukiran kayu cerminan kisah nenek moyang

Samri mengambil masa antara tiga minggu hingga dua bulan untuk menyiapkan sesebuah karya.

GenK»

Pelajari kemahiran ikhtiar hidup

AKTIVITI penjelajahan hutan memberi peluang kepada peserta beriadah sambil melihat keindahan alam semula jadi yang terdapat di sekitar Hutan Lipur Sungai Tua.

Varia!»

Getaran simbolik karya Mad Anuar

MAD ANUAR mengambil masa hampir empat tahun untuk menyiapkan arca Perentas Ribut No. 18.

Process time in ms: 203