VARIA

LIMA ‘17 janji lebih hebat

LIMA ‘17 janji lebih hebat


PENGUNJUNG berpeluang melihat dari dekat kapal selam KD Tun Razak yang akan berlabuh di jeti Awana Porto Malai, Langkawi.


Deruman enjin pesawat pejuang pelbagai jenis milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bingit membelah ruang angkasa Pulau Langkawi sejak dua minggu lalu.

Pesawat-pesawat seperti Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D Hornet silih berganti melakukan aksi-aksi aerobatik sebagai persediaan pembukaan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA ‘17).

Tidak ketinggalan semasa acara pembukaan itu nanti ialah lintas terbang pesawat pengangkut A400M TUDM diiringi enam buah pesawat Pilatus PC-7 MkII.

Memasuki edisi penganjuran ke-14, LIMA ‘17 sudah cukup matang untuk berada di atas landasan yang tersendiri sejak diperkenalkan kira-kira 26 tahun lalu iaitu pada tahun 1991.

LIMA yang kini diiktiraf sebagai pameran udara terbaik di Asia Pasifik dikelolakan oleh penganjur baharu iaitu EN Projects Sdn. Bhd.

Berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri dari 21 hingga 25 Mac ini, LIMA ‘17 dijangka lebih hebat berbanding LIMA 2015 menerusi kehadiran 550 pempamer dari 38 buah negara dengan sasaran menerima kira-kira 40,380 pengunjung.

Sebagai rekod, LIMA ‘15 disertai 512 pempamer daripada 36 negara, 39,684 pengunjung serta menyaksikan perjanjian bernilai RM9.29 bilion ditandatangani.

Berkunjung ke Langkawi buat kali pertama ialah pasukan aerobatik Black Eagle dari Tentera Udara Republik Korea Selatan (ROKAF). Mempertaruhkan pesawat KAI-T50B buatan negara itu, Black Eagle dibarisi juruterbang berpengalaman ROKAF.

Turut beraksi buat kali pertama ialah pasukan aerobatik helikopter Sarang dari Tentera Udara India.

Tampil kali kedua ialah pasukan aerobatik negara jiran, Jupiter Aerobatic Team dari Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI-AU).

Walaupun pernah berhadapan dengan kecelakaan pada LIMA 2015, insiden yang menyebabkan dua juruterbang cedera tidak mematahkan semangat wira mereka untuk tampil menggunakan pesawat jenis KT-1B Woongbi buatan Korea Selatan.

Bagaimanapun, tarikan LIMA ‘17 pastinya kehadiran tim aerobatik Russian Knights dari Tentera Udara Rusia yang buat pertama kali terbang bersama pesawat pejuang pelbagai peranan (MRCA) terbaharu jenis Sukhoi Su-30SM.

Kunjungan tim diketuai Kolonel Andrei Alekseyev ini juga bagi mempertontonkan kehebatan pesawat Sukhoi Su-30SM yang bakal menjadi pesawat pejuang utama tentera udara dan laut Rusia.

Sukhoi Su-30SM memiliki ciri-ciri pesawat pejuang superioriti yang lebih hebat berbanding dua versi sebelumnya iaitu Sukhoi Su-30MKM TUDM dan Su-30MKI milik India. Sebanyak 46 pesawat tempur dan komersial pula akan dipamerkan seperti F-15SG dan helikopter tempur Apache milik Tentera Udara Republik Singapura selain pesawat pembekal minyak KC-135 Stratotanker kepunyaan Tentera Udara Amerika Syarikat.

Turut dipamerkan ialah lima buah pesawat udara tanpa pemandu (UAV) antaranya MQ-1 Predator dan MQ-8 Fire Scout kepunyaan Tentera Udara Amerika Syarikat.

Maritim


TIM Black Eagle dari Tentera Udara Korea Selatan menjanjikan persembahan hebat pada penampilan sulung mereka di Langkawi.


Bagi segmen maritim di jeti Awana Porto Malai pula, pengunjung berpeluang menyaksikan kapal peronda pesisir pantai termoden Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Coronado. Dibina mengikut konsep trimaran, kapal perang itu mempunyai tiga lambung menjadikan ia bersifat aerodinamik selain memiliki ciri-ciri halimunan.

Tidak ketinggalan kapal perang pembinasa JS Teruzuki milik Pasukan Pertahanan Jepun. Kapal perang kelas Akizuki ini memiliki sistem pertahanan tiga dimensi bagi melindungi armada semasa pelayaran.

Turut berlabuh ialah kapal perang termoden Tentera Laut Itali, ITS Carabiniere. Kapal seberat 6,900 tan ini dikendalikan oleh 145 pegawai dan anak kapal.

Kapal tentera laut asing lain yang hadir ialah korvet HTMS Phuket dari Thailand, KRI Banjarmasin (Indonesia), RSS Tenacious (Singapura), INS Kora (India) dan PNS Saif (Pakistan).

Sementara itu, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, seramai 23 panglima tentera laut dan 14 wakil dari luar negara mengesahkan kehadiran ke LIMA ‘17 iaitu sekali ganda berbanding edisi dahulu.

“Kehadiran panglima tentera laut ini menunjukkan aspek diplomasi pertahanan kita telah membuahkan hasil positif kerana Malaysia dilihat sebagai sebuah negara ma­ritim yang memberikan banyak tumpuan kepada aspek pertahanan keselamatan dan sebagainya.

“Untuk kapal pula, seba­nyak 19 kapal dari 15 negara telah mengesahkan penyertaan dan jumlah ini melebihi penyertaan sebelum ini,” katanya.

TLDM pula menghantar 13 kapal perang termasuk KD Jebat, KD Selangor, KD Laksamana Hang Nadim, KD Laksamana Tun Abd. Jamil dan kapal selam KD Tun Razak. Turut serta ialah kapal MV Mega Bakti dan kapal latihan terbaharu, Gagah Samudera.

Maritim Malaysia pula akan mempamerkan dua kapal peronda pesisir pantai terbaharu milik mereka.

Dalam pada itu, kunjungan ribuan pelancong ke Langkawi semasa LIMA ‘17 nanti dijangka tidak berhadapan dengan masalah penginapan kerana terdapat kira-kira 10,500 bilik hotel, calet dan inap desa.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Datuk Azizan Nordin berkata, jumlah kira-kira 1,200 buah teksi juga mampu menampung keperluan sepanjang pameran itu.

Rencana Utama!»

Agenda berbuka, bertarawih di masjid

ORANG ramai boleh merasai pengalaman berbuka puasa bersama pelancong di Masjid Putra, Putrajaya.

Varia!»

CJ Wow Shop penuhi keperluan pengguna

Yang HYUN (tiga dari kanan) bersama barisan penaja menunjukkan hadiah utama selepas melancarkan kempen jualan Serikan Ramadan dan Raya Bersama Wow di Seputeh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Process time in ms: 47