INFINITI

Runtuhan salji di Banjaran Alp terus tagih nyawa

Runtuhan salji di Banjaran Alp terus tagih nyawa


Gerakan mencari dan menyelamat secara besar-besaran dilancarkan selepas insiden runtuhan dilaporkan hari Selasa minggu lalu.


MINGGU lalu lereng ski La Carline berdekatan resort Alpine di Tignes, Perancis runtuh sehingga pusat peranginan terkenal itu terpaksa ditutup buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga.

Bencana tersebut mencatat bacaan keempat iaitu kedua tertinggi dalam skala runtuhan salji.

Kejadian terbaharu itu berlaku berdekatan lokasi insiden serupa yang meragut empat nyawa pemain ski pada 13 Februari lalu.

Sejak musim sejuk bermula November tahun lalu, sebanyak 14 kes runtuhan salji direkodkan di Banjaran Alp dan Banjaran Pyrenees di Perancis yang setakat ini telah mengorbankan tujuh nyawa.

Rentetan itu, anggota penyelamat dikerahkan bagi mencari peluncur yang dikhuatiri tertimbus namun pihak berkuasa Perancis mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Begitupun, jumlah pemain ski yang berada di lokasi kejadian tidak didedahkan.

Pengarah Agensi Kebangsaan Kajian Salji dan Runtuhan (Anena), Dominique Letang berkata, sekurang-kurangnya 45 orang menemui ajal dalam kemalangan sedemikian pada musim salji antara tahun 2014 dan 2015.

Angka itu menunjukkan peningkatan dua kali ganda dengan data yang dikumpul Anena menunjukkan dari tahun 1971 hingga 2011, secara purata 30 maut akibat tertimbus membabitkan 21 kejadian runtuhan.

Banjaran Alp bermula dari Austria dan Slovenia di sebelah timur seterusnya merentasi Itali, Switzerland, Liechtenstein, Jerman sehingga Perancis di bahagian barat.

Menurut Anena, setiap tahun antara 500 dan 1,500 runtuhan salji direkodkan di Banjaran Alp yang merupakan kawasan pergunungan berketinggian antara 800 dan 4,000 meter itu.

Faktor


Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri tertimbus turut melibatkan helikopter dan skuad anjing pengesan.


Pada suhu di bawah -15 darjah Celsius, salji yang jauh lebih ringan sekalipun boleh membawa runtuhan kurang daripada semeter tebal.

Sementara itu, situasi salji yang mula cair menjelang ketibaan musim bunga turut berpotensi menyebabkan berlakunya runtuhan bergantung kepada seberapa cepat ia mencair.

“Kebanyakan daripada kejadian runtuhan salji berpunca daripada cuaca dan faktor geologi. Umumnya, ia terjadi apabila salji yang tebal tidak dapat ditampung permukaan lapisan salji sedia ada.

“Ia berlaku apabila ribut yang membawa salji memenuhi kawasan cerun dan sekitarnya. Selain itu, angin kuat diikuti salji sederhana pada suhu yang rendah juga boleh menyebabkan runtuhan,” ujarnya.

Menurutnya, selagi masih ramai orang menggunakan laluan-laluan yang belum diisytiharkan sebagai selamat itu, risiko kemalangan dibimbangi akan terus meningkat.

Katanya, sebagai langkah berjaga-jaga, kumpulan peluncur dinasihatkan menjarakkan diri antara satu sama lain kira-kira 20 meter.

“Walaupun mereka tidak dapat mengelakkan diri daripada kejadian itu, sekurang-kurangnya runtuhan itu tidak menjejaskan sekumpulan besar mangsa sekali gus seperti insiden-insiden terdahulu.

“Orang ramai juga perlu peka dan memerhatikan keadaan sekeliling terutamanya dalam mengenal pasti lapisan salji yang tidak stabil,” tambahnya.

Pemanasan global


Resort Alpine ditutup buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga.


Menurut Kesatuan Geosains Eropah (EGU), aktiviti bermain ski di Alpine musim ini dijangka berakhir lebih cepat dengan model kajian iklim meramal kehilangan liputan salji sehingga 70 peratus akibat pemanasan global.

“Dengan suhu yang kian meningkat, kami menjangka kitaran air yang tersejat lebih cenderung turun sebagai hujan berbanding salji pada masa akan datang. Keadaan ini akan mendorong kawasan tadahan salji di Alpine akan semakin mengecil,” kata EGU dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Berkongsi nada serupa, penyelidik di Institut Kajian Salji dan Runtuhan, Christoph Marty berkata, jika manusia berjaya mengehadkan pemanasan global pada dua darjah Celsius atau melebihi tahap praindustri, kehilangan litupan salji dijangka menjadi 30 peratus menjelang 2100.

“Jika kita tidak mengurangkannya, dijangka salji untuk sukan musim sejuk hanya boleh dijamin tinggal pada ketinggian 2,500 meter pada tahun tersebut,” katanya yang berpangkalan di Switzerland.

Process time in ms: 32