INFINITI

Langkah mudah lindungi privasi pengguna

Langkah mudah lindungi privasi pengguna


PENGGUNAAN perisian penyandaran data menjamin keselamatan maklumat peribadi pengguna.


ERA digital pada hari ini menyaksikan kebergantungan masyarakat terhadap kecanggihan teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) serta jaringan media sosial untuk berkomunikasi atau melakukan pelbagai aktiviti harian.

Kadar tembus jalur lebar yang semakin meningkat membolehkan semua maklumat sama ada dokumen perniagaan atau data peribadi diakses menerusi peranti digital seperti komputer dan telefon pintar.

Bidang perniagaan juga tidak terkecuali apabila semua proses dan transaksi beralih ke arah digital kerana internet serta mobiliti telah mengubah cara masyarakat bekerja, membeli-belah atau mendapatkan perkhidmatan.

Tidak hairanlah apabila banyak risiko yang perlu ditanggung oleh syarikat-syarikat terlibat untuk melindungi dunia tanpa sempadan yang mengandungi sejumlah besar data ketika ia dihantar atau disimpan menerusi teknologi awan.

Sekiranya data itu hilang, dicuri atau keselamatan data dan privasi diceroboh, ia bukan sahaja memberikan imej negatif kepada mereka tetapi terpaksa mengeluarkan kos yang lebih tinggi untuk mendapatkannya kembali.

Bagaimanapun, menerusi perisian Acronis True Image 2017 New Generation yang diperkenalkan oleh peneraju perisian penyandaran data (data back up) global, Acronis, masalah itu mampu diselesaikan hanya di hujung jari.

Dikuasakan oleh Acronis AnyData Engine, ia menawarkan perlindungan data yang mudah, lengkap dan mampu milik meliputi semua fail, aplikasi serta sistem operasi sama ada secara maya, fizikal, teknologi awan atau mudah alih.

Jurutera Jualan Acronis Asia Tenggara, C. Suresh berkata, pada asasnya, perisian itu berfungsi untuk melaksanakan tugas penyandaran data, pemulihan bencana dan penyelarasan fail secara menyeluruh serta selamat.

“Misalnya, jika perkakasan yang menyimpan data berkenaan rosak atau gagal berfungsi, dicuri, diserang virus malware atau ransomware, perisian ini bukan sahaja melindungi data yang telah melalui proses sandaran tetapi mampu mengembalikan ia seperti bentuk asal.

“Perisian ini melindungi semua elemen seperti sandaran bagi pelbagai data peribadi, sistem operasi dan program sama ada untuk sistem operasi Macintosh atau Windows.

“Selain itu, ia juga boleh melakukan proses sama di dalam peranti mudah alih seperti telefon pintar, iPad, Android serta akaun Facebook,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Teknologi baharu


ANDERSON (kiri) menunjukkan kad akses perisian Acronis True Image 2017 New Generation yang dilancarkan di Malaysia baru-baru ini.


Tambah Suresh, berbanding versi terdahulu, Acronis True Image 2017 New Generation direka dengan tiga teknologi baharu iaitu Acronis Active Protection, Acronis Notary dan Acronis Signs.

Menariknya, Acronis Active Protection merupakan satu-satunya teknologi di pasaran yang berkemampuan untuk mengesan dan menghalang serangan virus ransomware mengikut masa nyata.

Katanya, ransomware merupakan satu jenayah siber yang menyerang komputer pengguna untuk mencari data-data penting sebelum membuat enkripsi khusus bagi menyekat ia daripada diakses.

“Penjenayah siber akan menghubungi pengguna terlibat untuk meminta wang tebusan sebelum data berkenan boleh diakses semula.

“Namun, menerusi teknologi terbaharu itu, ia akan mengesan sebarang aktiviti luar biasa dan menghalang aplikasi mencurigakan daripada memasuki komputer pengguna, data atau sistem yang telah melalui proses sandaran,” ujarnya.

Ciri inovatif


PAPARAN antara muka yang moden dan mesra pengguna menjadi kelebihan Acronis True Image 2017 New Generation.


Tambah beliau lagi, Acronis Notary yang berasaskan teknologi blockchain pula menawarkan pensijilan terhadap mana-mana fail dan memerlukan pengesahan bagi menghalang sebarang modifikasi terhadap fail asal.

“Ia mempunyai ciri-ciri unik teknologi pengesahan jari digital yang disimpan dalam pangkalan data teragih dan tidak berubah bagi membolehkan pengguna melakukan pengesahan terhadap ketulenan fail berkenaan pada bila-bila masa.

“Teknologi Acronis Signs pula menawarkan perkhidmatan tandatangan dokumen secara elektronik yang membolehkan pengguna membuat penyandaran dokumen yang telah disahkan dan ditandatangani secara digital,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Jualan Saluran Acronis Malaysia dan Indonesia, Anderson Goh memberitahu, Acronis turut memperkenalkan ciri inovatif dan pembaharuan bagi perisian itu.

Antaranya, paparan antara muka yang moden dan bersifat mesra pengguna serta pengenalan antara muka laman web yang mudah digunakan untuk data capaian jauh dan pengurusan.

“Selain itu, penggunaan data enkripsi AES-256 dalam perisian ini membolehkan penyandaran dan pemulihan data di dalam peranti mudah alih dilakukan secara automatik menerusi Acronis Cloud atau pada komputer.

“Ciri-ciri menarik lain ialah ia boleh membuat penyandaran data pada akaun Facebook bagi membolehkan pengguna mendapatkan semula status atau gambar yang telah dibuang secara tidak sengaja sebelum ini,” katanya.

Jelas Anderson, biarpun masih baharu di negara ini, Acronis yang diasaskan pada tahun 2003 menawarkan perkhidmatan kepada kira-kira lima juta pengguna dan 500,000 syarikat melibatkan 145 buah negara di seluruh dunia.

Antara syarikat-syarikat besar yang menggunakan perisian Acronis ketika ini ialah Sony, NEC, Panasonic, Audi termasuk Petronas dari Malaysia.

Katanya, sebelum ini kebanyakan perisian di pasaran lebih tertumpu kepada melindungi sistem, membuat penyandaran dan pemulihan data selepas berlaku kerosakan atau berdasarkan ancaman yang diterima.

“Menerusi Acronis, pengguna mempunyai salinan bagi setiap data dan ia juga boleh diakses secara elektronik serta disahkan ketulenannya dan sentiasa terlindung daripada pelbagai ancaman serangan siber seperti ransomware.

“Menerusi teknologi awan yang diguna pakai dan sentiasa dipantau sepanjang masa oleh pakar-pakar di Acronis, pengguna kini tidak perlu berasa bimbang mengenai data yang disimpan sama ada di komputer, peranti mudah alih atau menerusi teknologi awan,” katanya.

Menurutnya, ketika ini Acronis True Image 2017 New Generation ditawarkan dalam tiga pakej pilihan membabitkan satu, tiga atau lima akaun.

Process time in ms: 16