GENK

Bantuan makanan untuk Orang Asli di Gua Musang

Bantuan makanan untuk Orang Asli di Gua Musang

Sebahagian pelajar UPNM bergambar kenangan di perkampungan Orang Asli Pos Pasik, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.


SERAMAI 44 pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dari Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur dan 46 ahli Pertubuhan Gabungan Bencana NGO Malaysia (BBNGO) telah menjayakan misi bantuan kemanusiaan ke perkampungan Orang Asli Pos Pasik, Gua Musang, Kelantan selama lima hari baru-baru ini.

Pegawai Pengiring program berkenaan, Mohd. Taib Azhar berkata, tujuan misi berkenaan adalah untuk memberi pendedahan kepada para peserta tentang persekitaran dan kehidupan masyarakat Orang Asli di Kampung Bering Baru dan Kampung Kuala Wook.

Katanya, pelajar tahun tiga yang terlibat merupakan bakal doktor daripada Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan.

“Kita ingin memberi pendedahan kepada para peserta agar tidak kekok apabila berhadapan dengan masyarakat Orang Asli yang mempunyai budaya, adat resam dan kehidupan tersendiri.

“Program ini diadakan sekitar bulan Februari dan Mac setiap tahun di lokasi berbeza,” katanya.

Dalam misi itu, kira-kira 30 keluarga Orang Asli di Kampung Bering Baru dan Kampung Kuala Wook diberi bantuan berupa makanan keperluan harian.

Selain itu, 168 murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Sri Permai, Pos Pasik menerima bantuan alat tulis.

Seorang peserta, Muhammad Hazman Abdul Rahman, 22, yang pertama kali memasuki perkampungan Orang Asli begitu teruja kerana dapat menabur bakti di kawasan berkenaan.

Malu


Wanita Orang Asli ini (tiga dari kiri) gembira menerima bungkusan berisi barangan keperluan harian daripada pelajar UPNM.


“Misi ini dapat membantu masyarakat Orang Asli dalam meningkatkan mutu kehidupan melalui pergaulan bersama pelajar universiti sekali gus mengetepikan perasaan malu yang masih membelenggu diri mereka,” katanya.

Seorang lagi peserta, Siti Illyani Nadzirah Muhammad Nozili, 22, berkata, misi berkenaan membentuk jati diri peserta agar kental dan komited kepada tugas sukarelawan.

“Misi ini dapat memberi pendedahan dan kerjasama dengan rakan-rakan dalam keadaan yang mencabar.

“Kami gembira apabila dapat menghantar bekalan makanan dan barangan keperluan kepada penduduk Orang Asli. Pendedahan ini akan mematangkan pelajar selepas tamat belajar nanti,” katanya.

Rakannya, Aina Nabila Azhar, 22, pula berkata, dia seronok apabila dapat melakukan aktiviti kemasyarakatan dan beramah mesra dengan Orang Asli di kawasan berkenaan.

“Saya tidak akan melupakan pengalaman apabila melakukan aktiviti Cabaran Hutan sebagai persediaan kepada misi akan datang atau bantuan bencana yang pelbagai.

“Kini, kami lebih bersedia untuk membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Seorang penduduk Kampung Bering Baru, Along Angah, 40, mengucapkan terima kasih kepada UPNM dan BBNGO kerana sanggup turun padang ke kampungnya.

“Pelajar dan sukarelawan berkenaan sungguh mesra menyebabkan kami mudah rapat dan boleh berkomunikasi dalam waktu singkat. Pada mulanya masyarakat Orang Asli di sini malu-malu dan takut sehingga ada yang menyorok di dalam rumah.

“Begitupun, kedatangan mereka memberi memori indah kepada masyarakat Orang Asli suku Temiar di sini,” katanya.

Process time in ms: 31