INFINITI

Bantu pelajar memahami topik berkaitan gear

Bantu pelajar memahami topik berkaitan gear



SESI kuliah subjek Mechanics Dynamics: Rigid Body Rotational Motion di kampus Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Bangi, Selangor pada pagi itu diikutinya dengan penuh minat.

Sepasang mata penuntut tahun dua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Choong Pooi Ying, 23, tertancap pada papan putih yang dipenuhi rumus algoritma yang panjang berjela.

Pensyarahnya melukis diagram berupa beberapa jenis gear daripada pelbagai sudut secara teori untuk memberi gambaran jelas kepada sekumpulan 72 pelajar di dalam kelas itu.

Sesekali kening gadis itu berkerut tetapi dia tetap setia mencatat maklumat penting pada helaian buku notanya.

“Pensyarah lazimnya menggunakan buku teks atau melukis gambar rajah dan menerangkan kepada kami.

“Pada pandangan saya, sukar untuk berimaginasi bagaimana ia boleh bergerak dan berfungsi sementelah ia adalah subjek fundamental bidang mekanikal,” tuturnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Katanya, aspek penting yang perlu diketahui ialah memahami tingkah laku gerakan gear dan membuat pertimbangan sepatutnya dengan ukuran empirikal serta tidak bergantung kepada teori semata-mata.

“Namun, saya rasa jika ada sistem simulasi, pergerakan tiga dimensi (3D) dan contoh-contoh yang boleh dirujuk, ia dapat membantu pelajar memahami apa yang dipelajari,” ujarnya.

Situasi itu mendorong Pensyarah Jabatan Grafik dan Multimedia Kolej Sains Komputer Teknologi Maklumat Uniten, Prof. Dr. Manjit Singh Sidhu membangunkan perisian analisis gear bagi membantu pelajar memahami bidang tersebut dengan lebih mendalam.

“Analisis sistem gear ini agak rumit dengan rumus algoritma kompleks dan memerlukan kaedah pengiraan yang panjang terutamanya dalam meramal berat, kos serta jangka hayat.

“Dalam hal ini, pelajar dilihat sukar menjangkakan situasi pergeseran gear yang mengambil tempoh tertentu untuk menghakis sehingga membuatkan gerigi itu patah dan perlu diganti baharu,” katanya.

Elemen penting


Gear ialah sejenis komponen mekanikal yang berputar dan mempunyai gigi serta ruang gigi pada lilitan luarnya.


Gear merupakan salah satu elemen penting dalam bidang mekanikal dan peranannya kian meningkat seiring dengan perkembangan teknologi mesin serta jentera.

Tanpa disedari, kebanyakan peralatan atau kemudahan yang sering digunakan dilengkapi gear termasuk kenderaan bermotor, eskalator, lif, landasan kereta api, malah jam tangan serta sesetengah jenis pintu turut mempunyai sistem itu.

Selain menggerakkan atau menyokong operasi peralatan bermotor, gear juga dapat mengubah arah kilas daya putaran roda misalnya dalam sistem kereta dan motosikal.

Manjit berkata, berbicara mengenai gear mungkin memerlukan penjelasan panjang lebar daripada aspek prinsip gear dan bagaimana ia berfungsi.

Begitupun, kegagalan gear tidak sahaja menyebabkan kerugian harta benda tetapi turut meragut nyawa mangsa.

Sebagai contoh, kisah kematian seorang wanita akibat dihempap takal besi yang terjatuh daripada sebuah kren di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur pada Ogos 2016 dan masalah gear dikatakan menjadi antara penyebab kemalangan itu.

Nasib serupa turut menimpa seorang lelaki apabila komponen gear sebuah lori yang sedang bergerak terpelanting dan menimpa keretanya sehingga mangsa maut di tempat kejadian pada insiden yang berlaku di lebuh raya Shah Alam, Selangor, Oktober tahun lalu.

Belum dikira kes-kes kemalangan melibatkan mesin atau jentera dalam industri pembuatan gara-gara masalah gear sementelah ia lazimnya berada di tempat tertutup dan sukar dilihat melainkan dibuka ketika kerja penyelenggaraan.

Menurutnya, sistem pembelajaran sekarang berasaskan teori selain menggunakan alat bantu mengajar berupa gear yang digunakan dalam peralatan sebenar.

Namun, sesetengah pelajar sukar memahaminya dan mereka cenderung membuat perkiraan yang silap atau kurang tepat di samping terdapat pensyarah gagal memindahkan pengetahuan mereka.

Justeru, perisian itu bertindak seperti sistem simulasi dan analisis bergrafik 3D yang dapat menghitung dengan tepat penaakulan rumus gear mengikut jenis, saiz yang dikehendaki.

Menurutnya, kajian awal yang dilakukan terhadap 153 pelajar mendapati, 51.35 peratus daripada mereka dapat memberi penyelesaian tepat terhadap pernyataan masalah yang dikemukakan dan jumlah itu meningkat kepada 70.37 peratus selepas penggunaan perisian tersebut.

Kepintaran buatan


Gear pendaratan adalah struktur penting yang menyokong keseluruhan berat pesawat ketika ia mencecah ke tanah tanpa mengalami kerosakan. – Gambar hiasan


“Dalam pengatucaraan komputer, operasi yang kompleks dapat dipecahkan kepada modul-modul dan komponen yang lebih kecil kerana ia tidak boleh diselesaikan sekali gus seperti kalkulator.

“Ia boleh dikatakan seperti kepintaran buatan. Namun, pelajar masih perlu memasukkan sendiri pemboleh ubah yang diperlukan.

“Selain itu, sistem 3D yang bergerak dengan jangkaan garis waktu sebenar dapat meningkatkan kefahaman mereka secara teori dan praktikal.

“Pelajar juga boleh mengetahui di bahagian mana mereka melakukan kesilapan dan boleh membuat latihan serta memperbaiki keputusan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Manjit yang aktif membangunkan pelbagai perisian yang dapat membantu menyelesaikan masalah dalam pengajian kejuruteraan berkata, perisian sedia ada terlalu mahal sehingga mencecah ribuan dolar Amerika Syarikat dengan akses terhadap video terhad iaitu selama 60 hari sahaja.

Ia juga mempunyai banyak fungsi yang tidak diperlukan dan memerlukan pelajar menguasai satu lagi perisian lain untuk memahami perisian berkenaan.

Tambahnya, perisian yang memenangi pingat emas pada Ekspo Teknologi Malaysia 2017 yang berlangsung bulan lalu itu menepati spesifikasi yang ditetapkan Persatuan Pengeluar Gear Amerika (AGMA).

“Perisian ini sesuai dibekalkan kepada bakal jurutera pada masa hadapan meliputi penuntut dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Sivil bahagian automatif dan kursus berkaitan di kolej-kolej vokasional,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Uniten, Zaimah Hasan berkata, generasi baharu mempunyai kecenderungan tinggi untuk memilih kaedah pembelajaran secara digital dan interaktif.

“Saya melihat ia melengkapi modul teori dan gear fizikal serta model yang digunakan tenaga pengajar dalam kelas. Dalam hal ini, kebolehan pelajar adalah berbeza dan perlu pelbagai cara untuk mendekati dan menarik minat mereka.

“Perisian ini relevan dalam pembelajaran bidang mekanikal. Apabila perisian ini diperkenalkan kepada pelajar baru-baru ini, mereka mengakui ia membantu mereka mendalami topik berkaitan gear ini,” katanya yang telah menjadi pensyarah di Uniten hampir 15 tahun.

Rencana Utama!»

Barang terbuang jadi sumber pendapatan

Uncle Chang’s Dive Lodge merupakan resort pertama melaksanakan inisiatif hijau di Pulau Mabul, Semporna, Sabah.

Process time in ms: 47