GENK

Larian amal solidariti kemanusiaan pelarian Syria

Larian amal solidariti kemanusiaan pelarian Syria


GELAGAT para peserta ketika dihujani serbuk berwarna-warni selepas menamatkan acara larian.


KETIKA ini, isu pelarian Syria hangat diperkatakan lebih-lebih lagi apabila setiap hari media melaporkan kematian demi kematian rakyat negara itu.

Jalan laut dan darat terpaksa dilalui pelarian untuk mencari kehidupan yang lebih baik di destinasi impian mereka.

Lebih memilukan, kanak-kanak berusia tiga tahun, Aylan Kurdi ditemui mati lemas dan mayatnya terdampar di sebuah pantai di Turki pada September 2015.

Dia sekeluarga sebelum ini terpaksa menaiki bot bersama pelarian lain untuk memasuki Greece bagi meneruskan kelangsungan kehidupan.

Kemelut dan krisis yang berlaku di negara itu sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu meskipun sudah mendapat perhatian daripada pelbagai negara.

Peperangan di Syria yang bermula sejak Mac 2011 telah mengorbankan lebih 250,000 rakyat negara itu. Seramai 11.5 juta rakyatnya kehilangan tempat tinggal dan terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka.

Sebahagian daripada 24 juta rakyat Syria kini pula kehilangan tempat tinggal menyebabkan mereka melarikan diri ke kem-kem pelarian yang terletak di negara jiran.

Malah, lebih empat juta orang pula terpaksa berhijrah ke luar negara seperti Turki (dua juta), Lebanon, Jordan dan Iraq. Ribuan yang lain terpaksa berhijrah ke negara-negara Eropah dan lain-lain.

Kesengsaraan dan keperitan hidup yang dihadapi rakyat Syria akibat peperangan bagaikan tiada penghujungnya.

Kehilangan sumber rezeki menyebabkan mereka hidup merempat, kebuluran dan lebih teruk lagi, menjadi pelarian di tanah air sendiri.

Bagaimanapun, rakyat di Malaysia boleh memainkan peranan dengan meningkatkan doa kita kepada Allah supaya krisis ini berakhir seberapa segera dan rakyat Syria diberikan ketabahan dan keringanan dengan ujian ini.


LARIAN kemanusiaan itu turut dimeriahkan dengan ‘pesta’ warna-warni di lapan stesen warna.


Seterusnya, kita juga boleh membantu meringankan bebanan rakyat Syria dengan menghantar bantuan kemanusiaan dan perubatan melalui pertubuhan bukan badan kerajaan dan badan-badan kebajikan yang berdaftar.

Kumpul dana

Baru-baru ini, sekumpulan sukarelawan mahasiswa Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah menganjurkan larian kemanusiaan Run4Syria bagi mengumpul dana.

Menurut Pengarah Projek Run4Syria, Muhammad Ariff Md. Noor, program kemanusiaan itu melibatkan lebih 800 peserta dalam kalangan mahasiswa dan kakitangan kampus berlari untuk 10,000 langkah dengan menunjukkan solidariti kemanusiaan terhadap pelarian Syria.

“Selain itu, larian kemanusiaan ini turut meriah dengan ‘pesta’ warna-warni di lapan stesen warna. Malah, peserta juga disajikan dengan hidangan makanan daripada Brahim’s yang diedarkan oleh Suspended Meal (pasukan sukarelawan makanan percuma kampus) di garisan penamat,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tambah Muhammad Ariff, FKPM telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM15,000 menerusi larian kemanusiaan Run4Syria berkenaan kepada pertubuhan 1Moment4Them untuk diserahkan ke mangsa-mangsa Syria dalam misi kemanusiaan pertubuhan itu ke Syria pada Mac depan.

“Dana-dana yang diperoleh itu adalah hasil sumbangan ikhlas daripada warga kampus, orang ramai dan syarikat-syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan yang lain,” ujarnya

Majlis serahan cek itu disempurnakan oleh Ketua Pusat Pengajian FKPM, UiTM Melaka, Muhamad Hanapi Khamis kepada Pengasas Pertubuhan 1Moment4Them, Fatiha Shuib disaksikan Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Dr. Rani Diana Othman. Turut hadir, Penasihat Program Run4Syria, Shafezah Abdul Wahab.

Sementara itu, Shafezah berkata, komitmen mahasiswa FKPM mendapatkan bantuan bagi pihak rakyat di Syria yang sedang bergolak menerusi larian kemanusiaan ini sebagai satu tanda solidariti menolak keganasan terutamanya di Aleppo sambil menyumbang meringankan beban rakyat negara terlibat.

“Lebih banyak langkah proaktif akan diambil untuk menunjukkan tanda tidak bersetuju dengan apa yang berlaku di Syria. Kami menyokong penuh rakyat Syria dan merasakan mereka perlu dibantu dalam apa cara yang boleh,” katanya.


KUMPULAN sukarelawan, Suspended Meal memberi makanan percuma kepada para peserta di garisan penamat.


Tambah beliau, inisiatif dilakukan kumpulan sukarelawan muda ini merupakan satu langkah yang membanggakan pihak universiti khususnya FKPM sendiri.

Membanggakan

Dalam pada itu, Fatiha turut menyatakan bahawa pihaknya berterima kasih kepada UiTM Melaka khususnya FKPM yang menyalurkan bantuan itu untuk diserahkan oleh pihaknya kepada rakyat Syria yang terbabit pada bulan depan.

“Run4Syria ini adalah satu inisiatif yang amat membanggakan dan ia dijalankan oleh sekumpulan sukarelawan dalam kalangan mahasiswa. Kita juga berharap lebih ramai akan membantu rakyat Syria yang ditimpa musibah di sana,” katanya.

Fatihah memberitahu, kesemua sumbangan yang diberikan rakyat Malaysia menerusi pelbagai inisiatif akan diberikan kepada mangsa pelarian Syria dalam bentuk bantuan akademik dan juga keperluan harian menjelang Ramadan nanti.

Process time in ms: 47