GENK

Program sukarelawan bertaraf antarabangsa

Program sukarelawan bertaraf antarabangsa



“Membantu meringankan beban orang lain memberi satu kepuasan kepada saya sepanjang menyertai program sukarelawan ini.

“Kita di Malaysia hidup dalam keadaan selesa namun tidak bagi rakyat Syria yang menjadi pelarian. Mereka meneruskan kehidupan dalam serba kekurangan,” jelas Nadia Rahmat, 28.

Nadia berkata, menyertai program sukarelawan merupakan satu refleksi diri untuk tidak terlalu selesa dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.

“Saya mahu masyarakat sekeliling mencari peluang untuk membantu dalam apa jua cara untuk meringankan beban yang dialami oleh saudara seagama kita yang tinggal di negara bergolak seperti Syria,” katanya.

Nadia antara peserta MyCorps di Asia Barat yang menjalankan misi sukarelawan di tiga buah negara iaitu Jordan, Lebanon dan Turki.

Seramai 45 sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang telah menjayakan misi tersebut dan mereka telah ditempatkan di beberapa kem bagi membantu pelarian perang Syria.

Sebelum ini, misi yang sama telah diadakan di Kemboja sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2015 dan 2016 dengan membina kemudahan dan penempatan di beberapa buah kampung.

MyCorps merupakan program sukarelawan bertaraf antarabangsa di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Ia bagi membentuk jati diri dalam kalangan belia negara terutama dalam aspek memberi khidmat masyarakat dan sumbangan.

Menceritakan kembali penglibatannya dengan MyCorps itu, Nadia berkata, dia hanya mengetahui mengenai program ini pada September tahun lalu melalui status yang dimuat naik Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di laman sosial Facebook.

Dari situ dia membuka laman web MyCorps untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai program itu sebelum mendaftar untuk menjadi salah seorang peserta.

“Alhamdulillah setelah melalui proses temu duga yang disertai oleh 400 calon lain, saya terpilih untuk menjadi antara 45 peserta yang mengikuti program MyCorps di Asia Barat.

“Setelah dipilih kami harus mengikuti latihan selama sebulan. Latihan tersebut agak mencabar dengan peserta perlu ke satu lokasi ke lokasi lain sehelai sepinggang tanpa wang.

“Sewaktu latihan itu, kami melalui bermacam pengalaman dan terpaksa menumpang kereta atau lori untuk sampai ke lokasi yang telah ditetapkan,” katanya yang ditempatkan di kem pelarian di Jordan.

Berhenti kerja

Tambahnya, latihan itu diadakan bagi persediaan jika berlaku situasi yang sama ketika di Asia Barat.


Rakyat Syria kini tinggal dalam keadaan serba kekurangan akibat peperangan yang melanda negara itu.


Bagi Nadia, pengorbanan besar yang dilakukannya untuk menyertai misi tersebut ialah berhenti kerja.

Jelasnya, sebelum itu, dia memohon cuti selama dua bulan untuk menyertai program berkenaan tetapi ditolak. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja.

Berada di kem pelarian di Jordan, dia dapat menyaksikan ketabahan dan kekuatan mereka dalam menghadapi hari yang sukar dan mencabar.

Dalam pada itu, Nadia berkata, program MyCorps yang diadakan di Asia Barat itu telah menjadi satu platform untuknya meneruskan kerja amal pada masa hadapan.

“Saya mempunyai cita-cita untuk terlibat aktif dalam bidang sukarelawan ini dan membantu mereka yang memerlukan. Program MyCorps ini membuka jalan dan memberi satu rangkaian kepada kami untuk menjalankan aktiviti sebegini pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Meeril Choong, 23, berkata, dia gembira apabila berpeluang menyertai program tersebut yang ternyata banyak memberikan pengalaman baharu kepadanya.

Menurutnya, sewaktu belajar, dia memang aktif dalam bidang kesukarelawan berkaitan alam sekitar.

Begitupun, menyertai MyCorps memberikannya satu pengalaman yang sukar dilupakan terutamanya berurusan dengan hal kemanusiaan.

Dia yang ditempatkan di kem pelarian di Lebanon berkata, kanak-kanak mangsa perang di sana begitu kuat dan tabah walaupun telah kehilangan ibu bapa.

Pendidikan

“Sewaktu di sana, saya berbual dengan seorang kanak-kanak Syria berusia 10 tahun yang telah kematian ibu dan bapanya akibat terkena bom. Walaupun masih kecil, dia sangat positif dan sentiasa tersenyum walaupun telah kehilangan insan tersayang,” jelasnya.


Sukarelawan bergambar bersama di gelanggang futsal yang dibina untuk pelarian.


Ketika berada di kem pelarian itu, Meeril ditugaskan untuk bahagian pendidikan bersama beberapa sukarelawan lain dengan membuka kelas mengajar kanak-kanak Syria.

Jelasnya, kanak-kanak di situ hilang peluang untuk belajar dan mereka amat teruja apabila dapat menyertai kelas bahasa Inggeris tersebut.

Dalam pada itu, kenangan yang tidak dapat dilupakan Meeril semasa berada di sana ialah melihat senyuman kanak-kanak ketika bermain di atas gelanggang futsal yang disediakan sukarelawan MyCorps.

“Pada asalnya, tempat yang dijadikan gelanggang futsal itu adalah kawasan tanah lumpur. Kami mengambil inisiatif membina gelanggang futsal untuk mereka bermain.

“Melihat mereka gembira bermain sudah cukup buat saya berpuas hati. Saya tahu kegembiraan ketika bermain mampu membuat mereka melupakan seketika kesengsaraan yang dialami,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Ajeerah Azali, 22, sukarelawan MyCorps yang ditempatkan di kem Turki berkata, dia telah dua kali menyertai program tersebut.

Menurutnya, kali pertama dia menyertai MyCorps adalah ketika menjalankan misi sukarelawan di Kemboja.

“Misi sukarelawan di Asia Barat ini sedikit berbeza kerana melibatkan mangsa peperangan yang menjadi pelarian.

“Di Turki, kem pelarian yang tersusun dan lengkap telah disediakan. Di sini kami berperanan untuk menguruskan pusat rehabilitasi dan membantu pelarian-pelarian yang cedera melakukan fisioterapi.

“Selain itu, saya juga berperanan dalam aspek pendidikan dengan menyediakan kelas khas bagi mengajar kanak-kanak yang tercicir daripada persekolahan,” katanya.

Tambahnya, dia gembira diberi peluang mengikuti program MyCorps itu kerana dapat menyelami kesengsaraan dan penderitaan yang dialami oleh mangsa perang.

Horizon!»

Berkelah, jamu selera di air terjun

Sebahagian peserta tidak melepaskan peluang bermandi-manda di air terjun Setinggi.

Varia!»

Cabar keupayaan diri dalam sukan lasak

LEBIH 5,000 orang peserta menyertai Perlumbaan Reebok Spartan di Semenyih Eco Venture, Selangor baru-baru ini.

Process time in ms: 16