RUANG

Konsep kolonial taruhan Chocha Foodstore

Konsep kolonial taruhan Chocha Foodstore

PERABOT-PERABOT lama diletakkan sebagai hiasan bagi menyerlahkan lagi elemen kolonial pada ruang restoran.


BANGUNAN-BANGUNAN di Jalan Petaling, Kuala Lumpur sememangnya cantik selain majoritinya masih mengekalkan struktur serta hiasan dalaman era 1960-an yang mempunyai tarikan yang tersendiri.

Berdiri megah di antara deretan bangunan-bangunan tersebut adalah sebuah restoran yang dinamakan Chocha Foodstore.

Restoran tersebut agak sukar untuk dicari memandangkan tiada papan tanda yang diletakkan pada bahagian hadapan premis tersebut.

Setelah sekian lama mencari, penulis akhirnya disambut mozek-mozek kecil yang ditampal pada bahagian luar restoran tersebut. Kerja-kerja seni mozek itu menjadikan bangunan tersebut cukup menyerlah jika dibandingkan dengan bangunan-bangunan lain yang ada di sekitarnya.

Kepingan mozek kecil dari nuansa biru firus, hitam dan kuning yang diletakkan di sudut itu bersama sebuah bangku kayu panjang.

Sebaik pintu dikuak, pengunjung disambut dengan satu ruang membuat kopi yang kecil di bahagian hadapan restoran, sesuai buat mereka yang datang untuk menikmati kopi di Chocha Foodstore.

Di bahagian kiri pula, terdapat satu tangga kecil yang menghubungkan pengunjung ke tingkat dua restoran yang juga merupakan pejabat urusan pemiliknya.

Susun atur perabot yang kemas menjadikan keseluruhan kawasan restoran tidak nampak serabut biarpun pengunjung kelihatan sudah mula memenuhi ruangan restoran untuk makan tengah hari.

Kru Jurnal memilih untuk menemu bual pemilik Chocha Foodstore, Shin Chang, 34, di sebuah meja panjang yang terletak di bahagian tengah restoran.

Seni bina kolonial

Mesra disapa Shin, dia merupakan seorang arkitek itu mula membuka bicara tentang premisnya yang mula beroperasi semenjak Julai tahun lalu.


PENGGUNAAN rona-rona lembut pada dinding menjadikan keseluruhan kawasan tampak kemas dan mendamaikan.


“Konsep restoran ini adalah lebih kepada kolonial yang merupakan konsep seni bina yang cukup popular pada zaman 1960-an.

“Jika diperhatikan, saya masih mengekalkan binaan serta rupa bentuk asal premis biarpun ia sebenarnya sudah usang.

“Bangunan ini dahulunya merupakan sebuah hotel, namun sudah terbiar lebih 10 tahun, lalu saya mengambil keputusan untuk menjadikannya sebagai sebuah restoran,” ujarnya.

Nuansa rona-rona pastel seperti hijau dan merah jambu menghiasi dinding restoran bagi mewujudkan suasana damai saat menjamu selera.

Perabot-perabot yang digunakan pula adalah dari rona-rona selamat seperti coklat dan hitam bagi mengelakkan restoran terlalu sarat dengan warna.

Di bahagian luar restoran pula, pemilik meletakkan pohon-pohon menghijau yang ditanam dalam pasu-pasu berbagai saiz, kemudian disusun kemas bagi mencipta unsur semula jadi di dalam Chocha Foodstore.

Tompok-tompok cat dinding yang usang juga jelas kelihatan pada dinding restoran, namun Shin mengambil langkah untuk mengekalkannya sebegitu.

Bangunan usang

“Saya hanya membersihkan kesan-kesan lumut pada dinding bangunan tanpa mengecat semula keseluruhan bahagian dinding kerana mahu mengekalkan keasliannya,” ujar Shin yang mengusahakan restoran tersebut bersama dua lagi rakan lain.

Menjengah ke ruang terbuka restoran yang juga merupakan ruang kegemaran pelanggan, pemilik menata rias keseluruhan ruang dengan dekorasi yang cukup ringkas apabila tidak meletakkan terlalu banyak perabot.

Di ruangan itu juga, Shin meletakkan dua buah kerusi serta meja panjang dari material kayu yang dibina agak rendah.

Bagi menjadikan konsep keseluruhan bersesuaian dengan perabot yang dipadankan, Shin memberitahu bahawa kesemua perabot dalam Chocha Foodstore dihasilkannya sendiri bagi menyuntik kelainan.


BASIKAL usang yang digantung dalam premis menambahkan lagi elemen klasik pada bahagian restoran.


Dari sudut pencahayaan, restoran dengan keluasan 445.90 meter persegi itu dilihat tidak menggunakan lampu besar mahu pun jenis sarat dalam hiasan dalamannya.

Mentol-mentol kecil digantung di sudut membuat kopi bagi mencipta suasana ringkas dan moden.

Bagi bahagian terbuka pula, cahaya semula jadi menjadikan kawasan tersebut cukup terang dan sesuai bagi mereka yang mahu merakamkan gambar-gambar yang menarik ketika menjamu selera.

Bangunan yang terbiar tentunya memerlukan belanja yang agak besar untuk dibaik pulih dan menurut Shin, dia menghabiskan sekitar RM500,000 bagi membaik pulih keadaan bangunan tersebut sebelum membuka Chocha Foodstore.

“Selepas melihat kawasan ini, saya amat sukakan hiasan dalamannya terutamanya kepingan mozek yang terdapat pada lantai dan dinding bangunan.

“Begitu pun, keadaan bangunan yang sudah uzur selain dinding yang telah roboh, saya terpaksa berbelanja besar bagi membaik pulih bangunan ini,” jelas Shin.

Chocha Foodstore dibuka setiap hari kecuali hari Isnin daripada pukul 11 pagi sehingga 9 malam.

Rencana Utama!»

Barang terbuang jadi sumber pendapatan

Uncle Chang’s Dive Lodge merupakan resort pertama melaksanakan inisiatif hijau di Pulau Mabul, Semporna, Sabah.

Process time in ms: 47