INFINITI

Briket mesra alam, kurang pelepasan asap

Briket mesra alam, kurang pelepasan asap

Briket ini mampu membakar lebih lama antara 30 hingga 45 minit dengan pengurangan asap sehingga 95 peratus.


DI sebuah dapur yang terletak di wilayah Tarlac, utara Filipina, sepasang mata milik Jackie Yap, 24, tertumpu pada belanga di atas tungku dapur di hadapannya.

Bara api kian malap itu dikipasnya berkali-kali menggunakan kipas mengkuang sehingga mengeluarkan nyalaan api yang lebih besar.

Asap berwarna kelabu berkepul-kepul memenuhi ruang yang agak sempit menyesakkan nafas pemuda itu. Matanya mula pedih dan berair. Wajahnya terasa membahang.

Dari situ timbul ilham Ketua Pegawai Eksekutif HiGi Energy itu untuk membuat penyelidikan mengenai penghasilan briket atau bahan bakar mesra alam dan rendah kandungan asap.

“Di kawasan tersebut, sukar untuk mendapatkan bekalan gas memasak. Jika adapun, harganya terlalu mahal. Tidak ramai penduduk mampu membelinya,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di kampus Universiti Tenaga Nasional (Uniten) baru-baru ini.

Pejabat Statistik Kebangsaan dan Jabatan Tenaga Filipina mendedahkan, 54.2 peratus isi rumah di negara yang memiliki 100 juta penduduk itu menggunakan kayu api dan arang untuk memasak. Data tersebut tidak menunjukkan perubahan ketara dalam tempoh sedekad.

Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia sejumlah 2.3 bilion populasi penduduk dunia melakukan pembakaran terbuka untuk tujuan pemanasan dan memasak di dalam kediaman menggunakan bahan bakar biojisim seperti kayu, arang, najis haiwan dan sisa tanaman.

Daripada jumlah itu, kira-kira 4.3 juta orang menemui ajal akibat kompilasi pernafasan akibat pencemaran udara dalam bangunan.

Banjir


JACKIE menunjukkan keladi bunting yang telah siap dikeringkan dan dimampatkan (kanan) sebelum menjadi briket.


Graduan Uniten dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal itu bercerita, dia pada mulanya berkelana ke negara itu pada tahun 2015 untuk melakukan kajian mengenai pokok keladi bunting yang dikatakan menjadi punca banjir di Filipina.

“Kisahnya bermula apabila saya menghadiri satu seminar mengenai kelestarian sumber yang turut disertai peserta-peserta dari luar negara.

“Ketika itu, saya baru beberapa bulan mendaftar sebagai pelajar Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Sains Malaysia dan berkenalan dengan seorang rakan pelajar dari Filipina yang membangkitkan isu tersebut.

Berbekal keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan 3.95, pasti Jackie tidak sukar untuk mendapat kerja di syarikat ternama dan bergaji lumayan. Namun, dia memilih untuk memberi sepenuh komitmen kepada penyelidikan tersebut sekali gus melupakan pengajiannya di USM.

“Saya tertanya-tanya bagaimana sejenis tumbuhan boleh mengakibatkan bencana yang dahsyat. Saya berasa ingin melakukan sesuatu untuk membantu sehingga membawa kepada penubuhan HiGi Energy,” ujarnya aktif menyertai aktiviti kesukarelawanan di dalam dan luar negara.

Katanya, HiGi Energy yang berpangkalan di Filipina turut melibatkan penduduk tempatan dalam menjayakan projek memproses keladi bunting menjadi briket.

Selepas setahun setengah melakukan kajian, syarikatnya berjaya menemui satu formula menghasilkan bahan bakar mesra alam daripada keladi bunting.

Kini, syarikatnya mampu menghasilkan 1,100 ketul briket sehari.

Ia dijual pada harga 8 peso (70 sen) untuk setiap 250 kilogram berbanding arang biasa berharga 6 peso (50 sen).

Ia digelar oleh penduduk tempatan sebagai uling lili yang bermaksud arang pokok keladi bunting.

Katanya, projek itu bukan semata-mata bermatlamat keuntungan, sebaliknya meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan penggunaan tenaga mesra alam.

“Briket ini mendapat sambutan mengalakkan daripada penduduk tempatan kerana ia mampu membakar lebih lama sekitar 30 hingga 45 minit, kurang berjelaga, tidak meninggalkan kesan hitam di tangan, mudah dinyalakan dan lebih tinggi kandungan tenaga.

Mekanisme


AKTIVITI memproses pokok keladi bunting untuk dibuat briket turut mendapat sokongan penduduk tempatan.


Jackie menyasarkan, menyediakan peluang pekerjaan kepada 5,000 penduduk di sana dan memperluaskan operasi membekalkan briket itu negara-negara lain di Asia Tenggara.

Pensyarah Institut Tenaga Lestari Uniten, Dr. Adlansyah Abd. Rahman yang membantu penyelidikan bekas pelajarnya itu menjelaskan, pada masa ini briket dihasilkan daripada tempurung kelapa, batang kelapa sawit dan sampah sebagai bahan api biojisim.

Namun, sumber-sumber lain turut boleh dipertimbangkan memandangkan pokok keladi bunting yang mempunyai sistem akar serabut mampu membiak dua kali ganda dalam tempoh 12 hari sehingga menyekat aliran air.

Katanya, jika tidak dikawal, tumbuhan yang mampu membesar setinggi semeter itu boleh menyerap kandungan oksigen dengan kadar tinggi dan mengancam populasi ikan.

“Cabaran menghasilkan briket daripada pokok bunting keladi ialah kandungan airnya yang tinggi. Jadi, kami perlu memikirkan cara untuk mencipta mekanisme pembakaran yang dapat menyingkirkan elemen itu dengan kadar pantas,” katanya.

Justeru, beliau dan Jackie telah membangunkan sebuah carbonizer yang bersifat seperti ketuhar reaktor bagi mempercepatkan proses pembakaran daripada lapan jam kepada dua jam sahaja.

Katanya, pada peringkat awal, pokok keladi bunting dipotong dan dicincang menggunakan mesin. Ia kemudiannya dimasukkan ke dalam acuan kayu mengikut bentuk dikehendaki sebelum dimasukkan ke dalam carbonizer.

“Sepanjang proses pembakaran, 70 peratus daripada tumbuhan itu dapat membentuk briket selebihnya akan bertukar menjadi abu dan asap.

“Begitupun, menerusi sistem carbonizer rekaan kami, asap dan abu tersebut akan diproses semula menjadi bahan bakar untuk menyokong operasi mesin tersebut,” ujarnya.

Justeru, beliau mencadangkan teknik serupa diaplikasikan kepada aktiviti pelepasan asap dalam industri pembuatan arang dan karbon memandangkan kedua-dua komposisi sisa tersebut turut menyimpan haba dan bersifat mudah terbakar.

Katanya, briket itu boleh dimanfaatkan dalam sektor pertanian sebagai bahan sebatian tanah untuk menyuburkan tanah memandangkan pada asasnya ia bertindak seperti arang yang boleh diubah parameter fungsi dan peranannya.

Rencana Utama!»

Barang terbuang jadi sumber pendapatan

Uncle Chang’s Dive Lodge merupakan resort pertama melaksanakan inisiatif hijau di Pulau Mabul, Semporna, Sabah.

Process time in ms: 32