GENK

Semai keyakinan, perpaduan pelajar

Semai keyakinan, perpaduan pelajar



DARI jauh kelihatan seorang gadis bertubuh genit sedang memanaskan badan di sebelah trek balapan sebelum memulakan acara larian 200 meter yang disertainya.

Soniza Chin, 15, atau lebih dikenali sebagai Sonia itu cukup mesra bila disapa. Dia bersama rakan-rakannya terlibat dalam program Konvensyen Sekolah Antarabangsa Beaconhouse (BISC) 2017 selama dua hari di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pelajar Beaconhouse Sri Inai Malaysia yang berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor itu dilihat berpotensi menamatkan larian itu dengan keputusan teratas.

Ini kerana, sebelum itu, dia berjaya membolot tempat pertama dalam acara 100 meter.

Ketika ditanya pembabitannya sebagai peserta BISC 2017 itu, Sonia memberitahu, dia memang tidak tahu kewujudan BISC sebelum ini, namun salah seorang rakannya telah mengajaknya menyertai sesi pemilihan peserta sukan balapan berkenaan yang diadakan pada tahun lalu di sekolahnya.

“Ketika itu, saya hanya mengikut kawan-kawan. Begitupun, saya memang teruja untuk menyertainya kerana saya amat meminati bidang balapan ini.

“Setelah selesai ujian pemilihan, jurulatih mendapati saya berpotensi sebagai pelari pecut dan menjadikan saya peserta mewakili Malaysia pada BISC 2017,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Remaja yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu memberitahu, tanpa latihan dan dorongan daripada jurulatihnya, dia tidak akan dapat menamatkan larian sehingga ke garisan penamat dengan cemerlang.

“Persaingan daripada para peserta tidak kurang hebatnya dan kami bersaing secara sihat antara satu sama yang lain. Saya berharap tidak akan mengecewakan jurulatih dan ahli-ahli pasukan,” ujarnya yang mengagumi pelari pecut dari Jamaica, Usain Bolt.

Rekod peribadi


KASIM (kiri) dan Syed Jahanzeb (tengah) pada majlis perasmian Konvensyen Sekolah Antarabangsa Beaconhouse 2017 di Shah Alam baru-baru ini.


Sementara itu, bagi Shazil Farhan, 15, yang juga merupakan peserta dari Pakistan memberitahu, ini merupakan kali kedua penglibatannya dalam BISC dan optimis untuk mengekalkan prestasinya seperti tahun lalu.

Jangkaannya tepat apabila berjaya mengekalkan sebanyak lima pingat emas dalam acara renang seperti tahun sebelumnya.

Begitupun, dia gagal untuk mengatasi rekod peribadinya dalam kesemua acara tersebut.

“Saya gembira untuk lakukannya sekali lagi pada tahun ini, kemungkinan saya memerlukan sedikit magis untuk mencatat rekod peribadi baharu,” tuturnya dengan gelak tawa.

Tambah Shazil, selain bersaing sesama sendiri dalam acara yang dipertandingkan, dia juga berasa bertuah kerana dapat bertemu dan mengenali teman baharu yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

“Malaysia merupakan negara yang sangat unik, saya lihat mereka mempunyai rakyat terdiri daripada pelbagai bangsa dan berlainan agama tetapi masih mampu dan kekal hidup harmoni serta sejahtera,” ujarnya yang kagum dengan budaya di negara ini.

Lima negara


KOMPLEKS Sukan Negara Panasonic di Shah Alam, Selangor menjadi venue pertandingan BISC 2017.


Dalam pada itu, menurut Ketua Eksekutif Kumpulan Beaconhouse, Kasim Kasuri, konvensyen selama dua hari itu disertai pelajar-pelajar dari lima buah negara iaitu Oman, Pakistan, Filipina, Thailand dan tuan rumah, Malaysia. Acara itu bukan berkisar soal menang atau kalah tetapi lebih kepada memberi pendedahan dan keyakinan diri kepada para peserta.

“BISC 2017 berjaya mencapai matlamat penganjurannya yang mengetengahkan kepentingan sukan dalam pembelajaran akademik sebagai satu aktiviti berfaedah kepada pelajar tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Antara acara sukan yang dipertandingkan ialah badminton, bola keranjang, olahraga, futsal dan renang.

Pada tahun lalu, konvensyen sama diadakan kali pertama di Bangkok, Thailand. Tambah Kasim, pihaknya merancang menjadikan konvensyen ini sebagai acara tahunan.

“Sekiranya kami membuat keputusan untuk menganjurkan lagi konvensyen ini pada tahun depan, sudah pasti kami akan memanjangkan tempoh masa menjadi tiga hari di samping penyertaan lebih banyak negara,” ujarnya.

Tahun ini, pasukan Malaysia terdiri daripada 50 perwakilan yang berumur antara 12 hingga 16 tahun yang telah dipilih melalui karnival antara sekolah.

Jelas Kasim, rangkaian yang kuat dalam kumpulan sekolah membolehkan pendekatan global yang lebih kukuh dan mendedahkan pelajar terhadap pelbagai aktiviti.

“Hal ini penting kerana sukan memainkan peranan penting dari segi pembangunan masyarakat selain mempunyai kuasa untuk menyatukan pelbagai kaum dan bangsa.

“Kami dapat menawarkan peluang ini kepada semua pelajar kerana kami mempunyai pendidikan yang luas dari Eropah ke Asia,” katanya.

Rencana Utama!»

Barang terbuang jadi sumber pendapatan

Uncle Chang’s Dive Lodge merupakan resort pertama melaksanakan inisiatif hijau di Pulau Mabul, Semporna, Sabah.

Process time in ms: 31