VARIA

Rang Undang-Undang 355 ujian keikhlasan politik

Rang Undang-Undang 355 ujian keikhlasan politik


RUU355 hanya boleh dilaksanakan jika diluluskan oleh Dewan Rakyat yang dianggotai 136 ahli yang beragama Islam dan 86 bukan Islam. – Gambar hiasan


JIKA tiada aral, berhimpunlah beribu-ribu umat Islam di sekitar Padang Merbok, Kuala Lumpur hari ini.

Pas yang menganjurkan perhimpunan bagi menyokong Rang Undang-Undang 355 (RUU355) menyasarkan penyertaan 300,000 orang daripada kalangan parti politik dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Islam.

UMNO juga dijemput tetapi ketika Maulana menulis, tidak diketahui sama ada mereka akan menyertai atau tidak perhimpunan yang diadakan untuk menggembleng sokongan itu.

Bagaimanapun reaksi UMNO sejak awal pembentangan RUU355 sebagai usul persendirian Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang, positif.

UMNO bukan sahaja tidak menampakkan sebarang tanda menentang, malah mengambil inisiatif untuk memberikan penjelasan kepada parti-parti komponen Barisan Nasional yang menyuarakan bantahan.

Parti-parti politik yang majoriti ahlinya bukan Melayu sama ada dalam Barisan Nasional (BN) atau pembangkang menyuarakan kebimbangan bahawa RUU355 adalah usaha untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia.

Had hukuman

Dalam satu kenyataan rasmi BN berjudul, 10 Salah Faham Mengenai Pindaan RUU Akta 355, UMNO antara lain menjelaskan:

“Usul ini sebenarnya bukan bertujuan mewujudkan undang-undang baharu seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak selama ini.

“Pindaan ini berkaitan had jumlah hukuman yang boleh dijatuhkan di Mahkamah Syariah Negeri yang telah begitu lama tidak dipertingkatkan (iaitu hukuman rotan terhad kepada maksimum enam kali sebatan, denda tidak melebihi RM5,000 dan penjara maksimum tiga tahun).

“Sesetengah pihak berpendapat had ini sudah tidak sesuai malah tidak selari dengan syariat.

“Pindaan ini hanya terpakai kepada orang-orang Islam di dalam negara ini dan tidak terpakai kepada golongan bukan Islam.

“Apa yang dicadangkan hanyalah meningkatkan hukuman maksimum kepada apa hukuman yang selaras dengan hukum syarak selain hukuman mati. Jumlah hukuman denda, penjara dan sebatan bakal ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri.

“Kaedah sebatan Syariah jauh berbeza dengan sebatan Sivil. Syarat sebatan Syariah tidak boleh mencederakan iaitu kaedah hayunan sebatan seolah-olah meletakkan buku di bawah ketiak yang tidak boleh jatuh tatkala menghayun. Justeru 100 kali sebatan Syariah tidak sama dengan satu kali sebatan Sivil yang boleh mencederakan.”

RUU355 hanya boleh dilaksanakan jika diluluskan oleh Dewan Rakyat yang dianggotai 136 ahli yang beragama Islam dan 86 bukan Islam. Ia hanya memerlukan sokongan 51 peratus (114 ahli) untuk diluluskan.

Pas yang menjuarai RUU355 kini hanya mempunyai 14 wakil di Dewan Rakyat setelah enam orang lagi menyertai parti baharu Amanah.

Sudah tentu Pas memerlukan sebanyak mungkin sokongan Ahli-Ahli Parlimen beragama Islam daripada parti-parti lain khususnya UMNO yang mempunyai 86 wakil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 berkata, kerajaan akan mengambil alih proses pindaan Akta 355 itu kelak.

“Kepada yang bukan beragama Islam usahlah bimbang kerana tidak akan tertakluk di bawahnya dan kerajaan sedang mengkaji dengan halus agar tidak berlaku unsur penghukuman dualisme,” katanya.


SELEPAS bekerjasama menangani isu penindasan dan kekejaman tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya, permuafakatan antara UMNO-Pas berkesinambungan. – Gambar hiasan


Nampaknya selepas bekerjasama dalam menangani isu penindasan dan kekejaman tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya, permuafakatan antara UMNO-Pas ada harapan berkesinambungan.

Pada hemat Maulana, RUU 355 adalah satu ujian kepada keikhlasan dan komitmen ahli-ahli politik Islam terhadap agama mereka.

Mereka sedang diuji sama ada sekadar memperalatkan agama untuk kepentingan politik atau benar-benar berjuang kerana Allah.

Jika mereka beriman, mereka hendaklah bersatu dan bersungguh-sungguh dalam usaha melaksanakan apa jua langkah untuk memperteguh kedudukan Islam di Malaysia. Seterusnya berserahlah kepada Allah.

Penilaian hati

Allah akan menilai segala yang tersirat di hati, bukan sekadar yang zahir melalui perbuatan dan tutur kata.

Pada masa yang sama kita juga wajar menilai secara umum sejauh manakah kukuhnya iman umat Islam Malaysia? Orang yang beriman bukan sahaja tidak melakukan perbuatan yang dilarang Allah, malah menjauhinya kerana sangat takut azab yang boleh menimpa di dunia apatah lagi di akhirat.

Orang beriman yang sejati tidak begitu memerlukan pengawasan undang-undang kerana dalam diri mereka sudah ada sifat ihsan.

Apakah itu ihsan? Sabda Rasulullah SAW, ihsan itu: ‘Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya. Kalaupun engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu.’ – Hadis Riwayat Muslim.

Sesungguhnya bagi orang yang beriman sejati, setiap perbuatannya adalah ibadat kerana setiap detik kehidupan adalah penilaian yang tidak berkesudahan sehinggalah ke akhir hayat.

Rencana Utama!»

Agenda berbuka, bertarawih di masjid

ORANG ramai boleh merasai pengalaman berbuka puasa bersama pelancong di Masjid Putra, Putrajaya.

Varia!»

CJ Wow Shop penuhi keperluan pengguna

Yang HYUN (tiga dari kanan) bersama barisan penaja menunjukkan hadiah utama selepas melancarkan kempen jualan Serikan Ramadan dan Raya Bersama Wow di Seputeh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Process time in ms: 31