RENCANA UTAMA

Pengalaman bermalam di Kampung Yomitan

Pengalaman bermalam di Kampung Yomitan



PEMANDANGANNYA dilemparkan ke luar jendela bas sambil melambaikan tangan ke arah seorang jejaka Jepun yang baru ditemuinya. Jejaka itu turut melambai sambil mengukir senyuman lebar sehingga kelibat bas yang dinaiki Ashley Yau Voon Yee, 18, hilang daripada pandangan. Di hati gadis yang mesra disapa Ashley itu, dia berasa hairan mengapa jejaka Jepun itu bersungguh-sungguh meraikan ‘perpisahan’ sedangkan mereka akan bertemu lagi pada keesokan harinya.

“Orang Jepun memang begitu. Sudah menjadi adat mereka melambaikan tangan sehingga tetamu hilang daripada pandangan,” laung Pengurus Kanan Bahagian Luar di Biro Pelancongan Jepun cawangan Malaysia (JTB), Shen Nordin.

Mesra

Ashley tersenyum kerana kemesraan layanan orang Jepunlah yang berjaya memujuk dirinya untuk menyertai rombongan sekolahnya ke Jepun buat kali ketiga.

Bekas pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama (SMKDU), Petaling Jaya itu mengakui belum puas menelusuri keindahan negara matahari terbit itu melalui kunjungannya sebelum ini ke Osaka pada tahun 2014 dan Tokyo pada 2015.

Kembara kali ini membawa dia dan adiknya, Heidi Yau Ryu Ying bersama-sama 13 lagi pelajar sekolah tersebut meneroka wilayah Okinawa, Jepun.

“Lawatan ini sangat istimewa kerana saya dan adik berpeluang tinggal selama dua hari satu malam bersama keluarga angkat di Kampung Yomitan. Ibu bapa angkat melayan kami seperti anak mereka sendiri dan memastikan kami berdua menikmati kehidupan di Okinawa yang sebenar.

“Kenangan yang sukar dilupakan sudah tentu pengalaman menangkap gamat di pantai. Saya seronok kerana dapat mengusik rakan-rakan yang kebetulan dibawa oleh ibu bapa angkat mereka ke pantai yang sama,” jelas anak sulung kepada pasangan jurutera yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu.

Kata Ashley, bapa angkatnya yang fasih berbahasa Inggeris memudahkannya berkomunikasi dan mempelajari budaya Jepun. Selain itu, keluarga angkat Ashley sebenarnya pernah menjadi tuan rumah kepada kira-kira 750 orang anak angkat dari pelbagai negara dari Asia seperti Indonesia, Korea dan Singapura.


SETIAP tahun Kampung Yomitan begitu terkenal dengan acara tahunannya iaitu Pasar Porselin Yomitan yang menjual pelbagai jenis porselin.


Destinasi asing

Bagaimanapun Ashley, Heidi dan seorang orang lagi pelajar SMKDU iaitu Thasha Sundraisvaran merupakan anak angkat pertama dari Malaysia kepada keluarga tersebut.

Sungguhpun pengalaman bermalam selama satu malam bersama keluarga angkat masing-masing cuma seketika, semua pelajar sempat menghadiahkan buah tangan dari Malaysia seperti rantai kunci, mi segera Maggi, kaya, kain batik dan kain pelekat untuk keluarga di Okinawa sebagai tanda ingatan.

Setakat Disember lalu, jumlah penduduk di Kampung Yomitan seramai 40,831 orang. Penduduk kampung yang mengambil bahagian dalam program berkenaan mengambil masa selama enam bulan sebelum menerima kunjungan pelajar terbabit.

Mereka memerlukan masa untuk mempelajari cara-cara menyediakan makanan halal dan adab pergaulan dengan anak angkat terutama yang beragama Islam.

Dalam aspek penyediaan sajian halal, penduduk kampung diberitahu mengenai bahan-bahan yang boleh dan tidak boleh digunakan dalam masakan.

Penduduk kampung juga diajar adab orang Islam terutamanya mengenai larangan orang lelaki bersentuh dengan perempuan bukan muhrim.

Kedudukan Okinawa yang terletak kira-kira 1,514 kilometer (km) dari Tokyo menjadikan wilayah tersebut sebuah destinasi yang agak asing kepada pelancong luar.

Penerbangan menaiki pesawat syarikat penerbangan bertaraf lima bintang iaitu All Nippon Airways ke wilayah paling selatan Jepun itu memakan masa selama 2 jam 45 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo.


GUA batu kapur semula jadi salah satu lokasi menarik di Okinawa yang dilawati oleh bekas pelajar SMKDU.


Kelas bahasa

Justeru, tidak hairanlah jika pelancong Malaysia lebih gemar berlibur di Tokyo atau bandar-bandar Jepun yang popular seperti Kyoto dan Osaka berbanding Okinawa.

Wilayah yang memiliki 800,000 pulau itu dianggap sebagai tempat paling sihat di dunia kerana memiliki purata jangka hayat penduduknya sekitar 110 tahun.

Diet tradisi masyarakat Okinawa yang makan semangkuk makanan dimasak dan buah-buahan, tujuh jenis bijirin dan dua produk soya menyumbang kepada faktor tersebut.

Okinawa juga merupakan sebuah tapak pertempuran Perang Dunia Kedua pada 1 April 1945.

Seorang lagi pelajar, Syed Amirul Hakeem Syed Izmi, 17, berkata, dia tidak menyangka iklim di wilayah itu mirip Malaysia saat menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Okinawa, cuma ia sedikit berangin biarpun beberapa buah bandar di Jepun diselaputi salji tebal.

Anak sulung daripada tiga beradik itu membuat persiapan rapi sebelum menyertai lawatan pendidikan tersebut termasuk seperti menghadiri kelas intensif bahasa Jepun di Sekolah Bahasa Antara Budaya di Uptown Damansara sejak November tahun lalu.

Pelajar yang bercita-cita untuk menjadi pengatur cara perisian itu teruja untuk berkongsi pengalamannya melawat Bangunan Pemindahan Tsunami Bandar Naha yang terletak di daerah Matsuyama.

“Bayangkan tsunami yang pernah melanda Okinawa kira-kira 246 tahun lalu, namun masyarakat Jepun cukup terkenal dengan sikap mereka yang sentiasa bersedia.

“Mereka membina bangunan ini untuk memudahkan proses pemindahan penduduk sekiranya bencana seperti tsunami berlaku secara tiba-tiba,” katanya sambil mengakui Jepun merupakan sebuah negara perintis teknologi. Bangunan yang berkeluasan 2,314 meter persegi itu mampu memuatkan seramai 2,000 mangsa bencana pada satu-satu masa. Ia mempunyai bekalan makanan dan minuman yang mencukupi selama tiga hari. Tambah menarik, tarikh luput bekalan makanan dan minuman tersebut selama lima tahun.

Pada lawatan selama lima hari ke Okinawa, kru Kosmo bertuah apabila berpeluang mendengar sendiri taklimat yang disampaikan oleh Timbalan Pengurus Pencegahan Bencana Bandar Naha, Zayasu Tsukasa.

Beliau memberitahu, pihaknya menjangkakan air laut akan naik ke paras empat meter (m) sekiranya berlaku ancaman tsunami. Oleh itu, Bangunan Pemindahan Tsunami yang dibina dengan ketinggian 11m itu akan bertindak sebagai pusat perlindungan sementara buat penduduk sekitar.


PARA peserta Lawatan Pendidikan ke Okinawa dibawa melawat ke Sekolah Tinggi Koyo. Di sekolah tersebut mereka membuat persembahan tarian tradisional Melayu.


Pusat komuniti

“Makanan yang dijual di pasar raya di aras tanah bangunan ini juga akan digunakan sebagai stok makanan ketika diperlukan.

“Bagaimanapun, pada hari-hari biasa, bangunan ini berfungsi sebagai pusat komuniti bagi penduduk setempat untuk melakukan aktiviti sosial mereka,” jelasnya.

Wilayah Okinawa sebenarnya merupakan sebuah pulau yang panjangnya cuma 107 kilometer dari selatan ke utara pulau itu. Jarak tersebut menyamai jarak perjalanan dari Rawang, Selangor ke Seremban, Negeri Sembilan.

Rencana Utama!»

Kallas buatan anak tempatan

PROJEK penggantian kubah dan kallas di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam ini siap sepenuhnya awal tahun ini.

Process time in ms: 46