TERKINI

Dua lelaki didakwa culik datuk, tuntut RM19 juta

Dua lelaki didakwa culik datuk, tuntut RM19 juta

17/02/2017 6:33pm

KUANTAN - Dua lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan wang tebusan RM19 juta, hampir dua tahun lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Ang Boon Leong, 39, dan Lim Sin Chye, 44, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka bersama-sama dua orang yang telah dituduh dan tiga lagi yang masih bebas melarikan dan mengurung secara salah mangsa, Datuk Chin Yoke Choon, 54.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tempat letak kereta Hotel Seri Manja Boutique, B2-34, Jalan Indera Mahkota 7/1, Bandar Indera Mahkota di sini, pada pukul 5.55 petang, 26 Disember 2015.

Mengikut fakta kes, mangsa, seorang pengarah eksekutif syarikat pasar raya besar, hartanah dan pembinaan diculik sekumpulan lelaki berpakaian seragam polis yang menaiki 'kereta peronda'.

Kedua-dua tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Semakan 1989) (Akta 365) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh digantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan. Ė Bernama

Process time in ms: 47