TERKINI

Cuba curi basikal, bapa dua anak dipenjara dua bulan

Cuba curi basikal, bapa dua anak dipenjara dua bulan

17/02/2017 3:03pm




KUALA LUMPUR - Seorang bapa dua anak dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini, selepas mengaku bersalah cuba mencuri sebuah basikal.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menjatuhkan hukuman itu terhadap K. Nathan, 35, kerana cuba mencuri basikal milik Nor Amin Mashudi, 42, di sebuah rumah di Bandar Baru Selayang, pada 1.55 pagi, 26 Jan lepas.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang merupakan penjual sayur menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 26 Jan lepas.

Nathan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Faiz Abu Samah memohon hukuman setimpal dan tertuduh telah ditangkap oleh mangsa ketika kejadian.

Bagaimanapun, Nathan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia adalah penanggung utama keluarga serta mempunyai dua anak yang masih kecil. - Bernama

Process time in ms: 32