TERKINI

Polis berkas tiga lelaki miliki dua kilogram ganja

Polis berkas tiga lelaki miliki dua kilogram ganja

17/02/2017 2:08pm


Polis menunjukkan dadah dan alat membungkus dadah yang dirampas.


SEREMBAN - Polis memberkas tiga lelaki berusia antara 25 hingga 32 tahun dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Tampin - Seremban di sini semalam kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, lelaki terbabit ditahan selepas polis menemui dua ketulan mampat ganja yang dibungkus dengan plastik dalam kenderaan mereka.

"Pada 16 Februari lalu, pihak polis mengadakan sekatan jalan raya dan menahan sebuah kereta jenis Honda Accord dinaiki tiga lelaki pada pukul 12.45 tengah malam.

"Pemeriksaan polis ke atas kereta itu menemui ganja seberat dua kilogram disorokkan di bawah tempat duduk penumpang hadapan kenderaan tersebut," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Hock Poh berkata, polis turut menemui alat penimbang, alat untuk memotong ganja serta plastik untuk membungkus ganja dalam kereta berkenaan.

Menurut beliau, siasatan lanjut polis mempercayai ganja bernilai kira-kira RM4,000 itu mahu dijual oleh ketiga-tiga suspek di sekitar Seremban.

Kata beliau, ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai pemandu lori dan berasal dari daerah ini dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu.

"Ketiga-tiga lelaki itu ditahan reman sehingga 22 Februari ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - K! ONLINE

Process time in ms: 47