RUANG

Dekorasi Kotej Inggeris pilihan Roza

Dekorasi Kotej Inggeris pilihan Roza

RUANG yang terhad tidak menghalang Roza dan suami untuk menghias kediaman mengikut cita rasanya.


SENTUHAN warna-warna alam yang lembut membawa aura ketenangan tatkala sorotan mata menjamah ke segenap penjuru apartmen berkeluasan 80 meter persegi yang terletak di Taman Samudera, Gombak, Selangor ini.

Perasaan kagum mula mengulit diri apabila melihat kediaman bersaiz kecil itu mampu dihias indah, tidak ubah seperti kediaman kebanyakan individu di negara-negara Barat.

Sebaik langkah kaki dihalakan ke bahagian ruang tamu kediaman tersebut, bau haruman vanila daripada nyalaan beberapa batang lilin yang dipasang terus menusuk hidung.

Lantas, telinga kru Jurnal mula terngiang-ngiang dengan bait-bait yang acapkali meniti di bibir ramai iaitu ‘kediaman ibarat cerminan peribadi individu’.

Sama seperti manusia biasa, kediaman juga perlu dihias indah serta dijaga dengan rapi supaya tidak jemu mata memandang.

Jelas sekali ungkapan tersebut diambil pandang oleh pemilik rumah, Rozamane Ahmad, 48, dan pasangannya, Thazali Noorashidi, 57.

Menurut wanita yang mesra dipanggil Roza itu, kediaman yang dihuni sejak tahun 2003 tersebut mengetengahkan konsep kotej Inggeris.

“Sebenarnya ini merupakan kali ketiga saya mengubah suai kediaman yang mempunyai tiga bilik tidur ini.

“Sebelum ini saya mengetengahkan konsep moden Inggeris dan menjadikan rona hijau serta coklat sebagai warna tema.

“Bagaimanapun, kira-kira setahun yang lalu, minat saya mula beralih kepada dekorasi berkonsepkan kotej Inggeris. Bukan itu sahaja, pada masa yang sama saya juga gemar melihat perabot-perabot berwarna biru dan putih.

“Saya kemudian mengeksperimentasikan minat dengan mengubah kediaman berkonsepkan kotej Inggeris dengan menggabungkan rona biru dan putih sebagai warna tema,” jelasnya.

Biru putih

Ternyata sentuhan magis Roza memiliki keunikan yang tersendiri kerana konsep dan gabungan warna yang dipilih berjaya membangkitkan seri kediaman, selain mewujudkan suasana yang menenangkan.

Menurut Roza lagi, ruang berkonsepkan kotej Inggeris ini diadaptasikan daripada bahan-bahan bacaan berkaitan dekorasi yang dibacanya di internet.


PADANAN wana biru dan putih berjaya membawa aura tenang di ruang makan.


Siapa sangka, dengan hanya berbekalkan minat di dalam bahagian dekorasi dan bahan bacaan di internet, Roza berjaya mengubah kediaman kecil miliknya sehingga kelihatan segar seperti mendapat sentuhan daripada pakar hiasan dalaman.

Ternyata rona tersebut cukup digemari pemilik memandangkan dari pintu utama hingga ke ruang dapur, kesemuanya dihias dengan padanan dua warna tersebut.

“Sememangnya saya obses menghias rumah dengan sesuatu yang berunsurkan seni, tetapi saya tetap mengutamakan elemen sederhana dan ringkas.

“Disebabkan itu saya memilih gabungan warna putih dan biru untuk dipadankan pada perabot dan dinding kediaman.

“Pada saya warna merupakan elemen yang sangat penting bagi mewujudkan suasana selesa.

“Seperti warna-warna ini, ia bukan sahaja memberi aura ketenangan, malah memudahkan saya menyuai padan dengan aksesori-aksesori yang lain.

“Lebih-lebih lagi saya merupakan individu yang gemar mengubah posisi dan susun atur perabot setiap bulan,” katanya.

Biarpun kediaman tersebut tampak eksklusif, Roza bagaimanapun hanya membelanjakan kurang daripada RM2,000 untuk kos dekorasi.

Ilusi kontra

Ini kerana, kebanyakan perabot yang berada di dalam rumah tersebut merupakan perabot lama yang sudah berusia 20 tahun.

Bagaimanapun, Roza memberi nafas baharu kepada kepada semua perabot tersebut dengan mengecatnya dengan rona putih dan biru untuk disesuaikan dengan tema kediaman tersebut.

Selain itu, Roza turut menjahit sendiri langsir dan sarung sofa untuk kediaman tersebut supaya bersesuaian dengan cita rasanya.


SUDUT kosong di ruang tamu dihias dengan kerusi dan meja konsol yang ringkas tetapi kemas.


Menurut suri rumah yang berasal dari Bachok, Kelantan itu, proses keseluruhan pengubahsuaian dan dekorasi kediamannya mengambil masa lebih tiga bulan.

Biarpun banyak menggunakan rona biru dan putih pada keseluruhan kediaman itu, namun Roza bijak menggunakan aksesori dan padanan warna pada perabot tambahan yang lain bagi mewujudkan ilusi kontra.

Sebagai contoh, Roza menggunakan aksesori seperti pinggan mangkuk berwarna biru gelap yang diletakkan di dalam almari perhiasan selain digantungkan di beberapa penjuru kediaman.

Bukan itu sahaja, wanita ini juga turut menyelitkan penggunaan sofa dengan rona tanah demi mewujudkan warna kontra bagi menaikkan seri rumah.

Walaupun hampir setiap sudut dinding dihias dengan aksesori pinggan mangkuk dan bingkai gambar, namun itu tidak sedikit pun menjejaskan susun atur di ruang tamu serta ruang makan.

Semuanya kerana Roza bijak menyuai padan perabot dan aksesori pada setiap penjuru kediamannya.

Bagi menjadikan rumah kelihatan luas, Roza meng­gantung cermin pada dinding dan menggunakan nyalaan lampu kalimantan untuk menerangi kediaman tersebut.

Horizon!»

Berkelah, jamu selera di air terjun

Sebahagian peserta tidak melepaskan peluang bermandi-manda di air terjun Setinggi.

Varia!»

Cabar keupayaan diri dalam sukan lasak

LEBIH 5,000 orang peserta menyertai Perlumbaan Reebok Spartan di Semenyih Eco Venture, Selangor baru-baru ini.

Process time in ms: 46