RENCANA UTAMA

Kutu suka hidup di kepala bersih

Kutu suka hidup di kepala bersih

Gambar menunjukkan peringkat hidup kutu kepala dengan telurnya digam pada rambut.


Sejak awal tahun ini, sebuah keluarga di Kuala Lumpur ‘berperang’ dengan kutu kepala sehingga mereka terpaksa memotong pendek rambut masing-masing.

Sudah hampir sebulan rutin harian lima beranak itu memeriksa rambut mereka bersama-sama.

Pada hari minggu, pereka grafik yang hanya mahu dikenali sebagai Fatimah, suami dan tiga anak mereka yang masing-masing berusia dua, enam serta lapan tahun akan duduk di depan pintu rumah di bawah pancaran mentari pagi untuk memeriksa rambut.

“Rimas! Kami tertekan kerana kutu-kutu ini sangat menggatalkan kepala. Kalau tidak berkesempatan bersama pada waktu pagi, kami akan berkumpul di dalam rumah apabila ada waktu terluang. Suami saya memeriksa rambut anak-anak menggunakan lampu suluh.

“Walaupun telah menggunakan syampu rawatan kutu yang dibeli di farmasi untuk mematikan berbelas ekor kutu pada satu-satu masa, kami masih menemui kutu yang lain. Dua hari lalu, kami jumpa lagi beberapa ekor,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Fatimah mendakwa, anak perempuannya yang berusia dua tahun membawa pulang kutu ke rumah setelah dijangkiti kanak-kanak lain di taska. Hanya dalam tempoh beberapa hari, seisi keluarga itu dijangkiti kutu.

“Bagaimanapun, anak lelaki saya berumur lapan tahun yang mula-mula mengadu gatal di kepala. Apabila saya menyikat rambut anak perempuan berumur dua tahun dan saya menemui kutu, saya bertemu pihak taska. Mereka mengakui ada kanak-kanak di lokasi itu yang menjadi pembawa kutu.

“Rambut anak-anak saya terpaksa dipotong pendek untuk memudahkan lagi proses pemeriksaan kutu. Kutu berwarna agak gelap, jadi kami perlukan cahaya yang cukup terang.

Parasit


AZLIN menunjukkan bagaimana kutu berpegang pada rambut untuk menghisap darah di kepala manusia.


“Mungkin kami sudah membunuh kutu-kutu itu tetapi memandangkan anak saya masih ke taska, dia boleh dijangkiti lagi. Kawan-kawan saya juga bercerita tentang masalah yang sama di taska-taska anak mereka,” kata wanita berusia 38 tahun itu.

Jangkitan kutu sebenarnya bukan masalah baharu di dunia bahkan dipercayai telah bermula sejak enam juta tahun dahulu.

Imej nostalgik sekumpulan wanita duduk berbaris di anak-anak tangga kampung sambil memeriksa rambut sering tergambar apabila membayangkan masalah kutu.

Kutu merupakan parasit penghisap darah dalam kumpulan serangga. Kutu kepala atau pediculus humanus capitis bergantung sepenuhnya kepada manusia untuk hidup.

Ketua Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. ‘Azlin Muhammad @ Mohd. Yasin berkata, kutu tidak mengenal mangsa.

Namun, jangkitan tertinggi di Malaysia membabitkan kanak-kanak berumur tiga hingga 12 tahun kerana pada usia itu, mereka mempelajari cara bersosial dan saling bergaul rapat.

“Sebenarnya, epidemiologi (kajian tentang penyakit epidemik) kutu di negara ini sangat tinggi. Penyelidikan yang kami lakukan di sekolah-sekolah rendah baru-baru ini mendapati satu daripada sepuluh kanak-kanak di Malaysia dijangkiti kutu. Masalah kutu sentiasa ada, tidak kira sama ada di kampung mahupun di kawasan urban.

“Kadar jangkitan lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal di asrama dan ia boleh meningkat kepada 35 peratus,” katanya lagi.

‘Azlin berkata, seekor kutu hanya mempunyai jangka hayat selama 30 hari, namun mampu bertelur lapan hingga 10 biji pada setiap hari.

“Bayangkan, itu baru seekor kutu. Kalau sehari seekor boleh bertelur sebanyak itu, dalam sebulan kalau tidak menjalani rawatan apa-apa, tidak mustahil ada ribuan kutu atas kepala manusia.

“Ramai orang fikir kutu boleh terbang atau melompat untuk menjangkiti orang lain, sebaliknya ia hanya merayap dengan perlahan mencari perumah kerana ia tidak bersayap,” katanya.

‘Azlin berkata, kutu bersaiz sekecil bijan, berwarna coklat atau kelabu. Namun, identifikasi kehadiran kutu pada seorang manusia juga boleh dilihat pada kemerahan di kawasan belakang telinga dan tengkuk.

“Ini kerana kutu gemar mendiami rambut berhampiran tengkuk dan telinga berikutan ia lebih terlindung. Jika ternampak ruam di kawasan itu, ia mungkin kerana gigitan kutu. Selain itu, jika terdapat tompok-tompok hitam atau daki di kawasan itu, ia menunjukkan adanya sisa-sisa najis kutu,” katanya.

‘Azlin berkata, golongan yang berisiko ialah mereka yang kerap bersentuhan secara langsung, beraktiviti bersama dan berkongsi barangan seperti tuala dan sikat rambut.

“Mereka yang berambut panjang dan kerinting lebih berisiko dijangkiti kutu. Bagaimanapun, kutu boleh menjangkiti siapa sahaja yang berambut. Ia memerlukan rambut untuk berpegang pada perumah semasa ia menghisap darah di kepala. Anak kutu yang baru menetas atau nimfa juga boleh terus menghisap darah.

Kaedah rawatan


Penggunaan mesin LouseBuster dari Amerika Syarikat ini dikatakan dapat membunuh kutu dan telur-telurnya sekali.


“Kutu lazimnya tidak membawa kepada masalah kesihatan yang serius, namun lebih kepada masalah psikologi dan sosial apabila mereka berasa malu kerana dipinggirkan serta hilang keyakinan diri.

“Masalah kesihatan yang serius hanya boleh berlaku jika menggaru kepala yang gatal sehingga terluka lalu dimasuki bakteria,” katanya.

‘Azlin memperbetulkan stigma masyarakat yang menganggap mereka yang berkutu sebagai pemalas, pengotor atau tidak menjaga kebersihan.

“Kutu tidak mengenal pangkat atau darjat. Rambut yang kotor atau bersih. Bahkan, ada kajian di Barat yang menunjukkan kutu lebih suka hidup di rambut dan kepala yang bersih!” tegasnya.

Mengenai rawatan kutu pula, ‘Azlin berkata, antara kaedah yang murah tetapi berkesan ialah dengan membeli ubat-ubat kutu di farmasi dan menggunakan sikat kutu.

“Ubat kutu dilumur pada rambut dan ia boleh mematikan ibu serta anak kutu. Cuma, ia tidak boleh membunuh telur-telur kutu. Telur kutu mengambil masa selama tujuh hari untuk menetas. Oleh itu, lakukan sekali lagi selepas seminggu. Gunakan sikat kutu untuk membersihkan rambut daripada kutu yang telah mati atau lemah.

“Lepas disikat, kutu-kutu yang ditemui itu perlu dimatikan dengan menekan ia dengan kuku atau dengan membasuh sikat menggunakan air panas. Namun, jika mahukan rawatan yang lebih cepat tetapi mahal pun tiada halangan. Sekarang sudah ada pusat rawatan kutu yang menggunakan haba kerana pada suhu 60 darjah Celsius, semua peringkat kutu akan mati,” katanya mesin itu hanya boleh dikendalikan oleh pakar yang terlatih.

Sementara itu Pengusaha Pusat Rawatan Kutu, Lice Ninja Taman Melawati, Kuala Lumpur, Mariah Mohd. Noh, 42, berkata, mereka menggunakan teknologi mesin dari Amerika Syarikat (AS).

Memandangkan rawatan seumpama itu sukar didapati, pelanggan Mariah datang dari seluruh negara termasuk luar negara misalnya dari Emiriyah Arab Bersatu dan Australia.

“Insya-Allah, mesin LouseBuster yang menggunakan kawalan udara panas akan membunuh kutu termasuk telur-telurnya. Tidak kira sama ada serius atau tidak, teknik rawatan yang kami lakukan adalah sama.

“Kami juga menjual sikat kutu dari AS,” kata Mariah yang mengusahakan pusat rawatan itu bersama suaminya, Ahmad Zulkhairi Ghazali, 42, yang bertanggungjawab merawat pengunjung lelaki.

Mariah berkata, berdasarkan pengamatannya, mereka yang bermasalah kutu mempunyai rambut yang bersih dan wangi, sekali gus menunjukkan bahawa mereka bukan pengotor.

“Namun, saya faham, mereka yang berkutu akan berasa malu. Sebab itu, rawatan kami secara temu janji dan saya memastikan ada jarak masa antara satu pelanggan dengan pelanggan yang lain,” katanya sambil memberitahu, rawatan itu mengambil masa antara setengah hingga dua jam setengah.

Sementara itu, Ahmad Zulkhairi berkata, pelanggan mereka tidak kira jantina, umur, status kaya atau miskin termasuk keluarga selebriti.

“Sepanjang kami mengusahakan pusat ini sejak tiga tahun lalu, kebanyakan mereka terdiri daripada wanita.

“Namun, sesuatu yang mengejutkan apabila pelanggan yang mempunyai masalah kutu paling serius ialah seorang lelaki muda.

Rencana Utama!»

Hanya 100 kes dikesan di seluruh dunia

Lyla-GRACE (kiri) memiliki rambut berwarna perang muda berbanding adik-beradiknya yang lain.

Pesona!»

Didik anak-anak makan sayur, buah-buahan

Didik anak-anak untuk memakan buah sejak kecil dan pelbagaikan warna bagi menarik minat mereka.

Varia!»

Pantai Drini lokasi rehatkan minda

Pantai Drini memiliki satu tebing besar yang membahagikan pantai itu kepada dua sisi.

Process time in ms: 47