RENCANA UTAMA

Budayakan tabiat melestari alam sekitar

Budayakan tabiat melestari alam sekitar

Penyediaan beg beli-belah guna semula di kaunter juruwang menjadi alternatif kepada pelanggan sekiranya mereka tidak membawa beg beli-belah sendiri.


SEBAIK meletakkan beberapa helai baju yang dipilih di atas kaunter pembayaran, tangan Wong Yoke Fong, 38, lantas mengeluarkan beg beli-belah lipatnya.

Usai juruwang mengimbas tanda harga baju tersebut, Yoke Fong kemudiannya memasukkan baju-baju yang dibeli ke dalam beg berwarna jingga itu.

“Saya memang selalu bawa beg beli-belah sendiri setiap kali keluar berbelanja.

“Ia lebih selesa dibimbit atau disangkut pada bahu berbanding beg plastik yang menyakitkan jari. Lagipun, bayaran 20 sen itu boleh saya manfaatkan untuk kegunaan lain,” ujarnya sewaktu ditemui di pusat beli-belah Aeon Sunway Pyramid baru-baru ini.

Turut berkongsi pendekatan serupa, Amy Khong Yee Hup, 58. Dia tidak lupa membawa beg beli-belah sendiri setiap kali keluar rumah terutama jika ingin ke pasar raya. “Saya lebih selesa begini. Penggunaan beg plastik hanya akan menambahkan jumlah sampah di rumah.

“Lazimnya, golongan berusia akan simpan beg-beg plastik ini untuk digunakan semula, namun kebanyakan generasi muda hari ini membuangnya merata-rata,” katanya.

Premis terpilih

Amy menyifatkan tindakan tersebut tidak wajar kerana alam merupakan warisan untuk generasi akan datang.

“Sekiranya alam ini telah dicemari dengan sampah sarap, tidak mustahil generasi akan datang tidak berpeluang menikmati kepelbagaian diversiti pada hari ini,” luahnya.

Kesedaran untuk membawa beg beli-belah mudah bawa seperti Yoke Fong dan Amy bukanlah perkara baharu dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Bezanya, sebelum ini kebanyakan pelanggan pasar raya, pasar raya besar dan premis terpilih seluruh negara hanya akan membawanya pada hari Sabtu sahaja.

Hal ini ekoran pelaksanaan kempen Hari Tanpa Beg Plastik pada setiap hari Sabtu yang diperkenalkan pada 1 Januari 2011 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Pelanggan diwajibkan membayar 20 sen bagi setiap beg plastik yang digunakan. Justeru, apabila kerajaan negeri Selangor tampil untuk melanjutkan kempen tersebut selama tujuh hari seminggu mulai 1 Januari 2017, orang ramai khususnya penduduk di Lembah Klang dilihat tidak cepat melatah. Bermula pada tarikh itu juga, penggunaan beg plastik dan bekas makanan polisterina tidak lagi dibekalkan selaras dengan dasar kerajaan negeri untuk bebas plastik dan polisterina.

Perkara ini dinyatakan oleh seorang juruwang di jabatan pakaian wanita, Atiqah Tahir, 27.

Sepanjang bertugas di kaunter selama lebih dua minggu pada tahun 2017, akuinya kebanyakan pelanggan sedia maklum pelaksanaan dasar tersebut dengan membawa beg beli-belah sendiri.

“Cuma pada peringkat awal, ramai yang mempersoalkan kewajaran pelaksanaannya dengan alasan sistem sebelum ini tidak perlu diubah.

“Ada juga yang merungut mengatakan bayaran 20 sen untuk setiap beg plastik sebagai membebankan,” akui anak kelahiran Lahad Datu, Sabah yang kini menetap di Petaling Jaya, Selangor. Selain itu, pengurusan Aeon yang diwakili oleh Pengurus Kanan Komunikasi Korporat dan Pemasaran, Jackie Loo memberitahu, pihaknya menyambut baik usaha mengurangkan penggunaan beg plastik dan polistirena bagi membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Tabung hijau

“Aeon menyediakan alternatif kepada pelanggan untuk membeli beg beli-belah guna semula di kaunter juruwang sekiranya mereka tidak membawa beg beli-belah sendiri.

“Selain itu, kami juga mewujudkan Tabung Hijau Aeon sejak Hari Tanpa Beg Plastik diperkenalkan enam tahun lalu untuk mengumpulkan caj 20 sen kepada pelanggan yang membeli plastik beg,” jelasnya.

Tabung ini telah digunakan untuk menyokong aktiviti tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan oleh Aeon khususnya dalam penjagaan alam sekitar. Antaranya ialah penanaman semula pokok untuk pemuliharaan habitat Orang Utan di Ulu Segama Utara, Lahad Datu dengan kerjasama WWF-Malaysia yang dipantau oleh Jabatan Perhutanan Sabah serta program membersih pantai bersama penduduk setempat di Pantai Baru Burok, Terengganu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr. Hayati Abdullah memberitahu, perubahan gaya hidup masyarakat antara lain menjadi punca pertambahan sampah sarap terutama di kawasan bandar.

“Kalau dahulu, kita akan buang atau tanam sampah di kawasan rumah sendiri. Pengurusan sisa memang menjadi tanggungjawab masing-masing.

“Masyarakat kini terutama di bandar-bandar besar kebanyakannya lebih selesa tinggal di pangsapuri atau kondominium, jadi penyelenggaraan lebih teratur termasuklah pengurusan sampah,” ujarnya.

Faktor tiada penglibatan langsung terhadap pengurusan sampah menjadi salah satu punca kurangnya rasa bersalah dalam kalangan masyarakat setiap kali membuang sampah merata-rata.

Hayati turut mengingatkan, setiap kali sampah terutama bahan yang tidak mudah terurai seperti plastik dan polistirena dibuang, ia bukan sahaja boleh menjejaskan kualiti alam sekitar, malah hidupan lain seperti haiwan juga akan menerima akibatnya.

Terdapat laporan yang menunjukkan lembu-lembu ternakan termakan plastik atau polistirena yang tersembunyi di sebalik rumput. Namun, kesan pencemaran akibat longgokan plastik dan polistirena lebih ketara dan memberi kesan terhadap kawasan berair seperti sungai dan laut.

“Kita banyak mendengar kes hidupan marin seperti ikan paus mati tercekik kerana tidak dapat membezakan antara plastik dengan hidupan laut.

Pembangunan teknologi menyebabkan lebih banyak material yang tahan suhu, tahan lama dan mudah digunakan terhasil.

Beg-beg plastik sintetik, botol plastik, tin dan kelengkapan komputer memudahkan kehidupan manusia. Namun, produk-produk ini tidak boleh terurai secara semula jadi.

Mesra alam

Kebanyakan pasar raya dan isi rumah menggunakan beg-beg politena yang lazimnya digunakan untuk membeli-belah dan membawa barang-barang ringan.

Disebabkan harganya murah, sebahagian besar peniaga baik di pasar basah atau pasar raya menggunakannya.

Plastik biodegredasi merupakan bahan yang boleh diuraikan oleh tindakan organisma hidup, biasanya bakteria yang bertindak balas melalui air, udara, cahaya matahari atau kesemuanya.

Terdapat dua kelas asas plastik biodegredasi. Pertama ialah bioplastik, iaitu komponen daripada bahan mentah yang boleh diperbaharui manakala kelas kedua pula plastik yang diperbuat daripada petrokimia. Ia mengandungi bahan tambahan biodegredasi yang boleh meningkatkan kadar pereputan.

Bekas plastik yang diperbuat daripada bahan biodegredasi mudah urai bersifat lebih mesra alam.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 109