RENCANA UTAMA

Patuhi etika semasa berkonvoi

Patuhi etika semasa berkonvoi


Penganjuran aktiviti konvoi perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa bagi mengelak mengganggu lalu lintas.


BEBERAPA hari lalu, akhbar melaporkan seorang remaja maut selepas terjatuh daripada motosikal yang ditunggang ketika menyertai konvoi bersama lebih 20 motosikal lain menuju ke Port Dickson, Negeri Sembilan.

Dalam kejadian di Kilometer 265.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Seremban itu, mangsa yang berusia 22 tahun dikatakan terjatuh sendiri ketika menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z di lorong paling kanan sehingga menyebabkan dia maut di tempat kejadian.

Pada 31 Disember 2016, seorang mekanik turut menemui ajal selepas motosikal jenis Kawasaki yang ditunggangnya terbabas secara tiba-tiba sebelum merempuh sebuah motosikal lain ketika sedang melalui jalan dari Brinchang menuju ke Kampung Raja di Cameron Highlands, Pahang.

Kejadian itu menyebabkan mangsa tercampak ke tengah jalan sebelum digilis sebuah lori yang melalui jalan sama.

Ketika itu, mangsa dikatakan turut menyertai konvoi bermotosikal ke pusat peranginan tersebut sempena cuti umum Tahun Baru 2017.

Selain dua kejadian itu, banyak lagi kejadian kemalangan yang dilaporkan berlaku di seluruh negara melibatkan penunggang motosikal ketika mereka sedang menyertai aktiviti konvoi dan sebahagiannya berakhir dengan maut.

Persoalannya, adakah kemalangan itu berlaku disebabkan oleh kelemahan pihak yang menguruskan aktiviti konvoi atau kecuaian penunggang motosikal itu sendiri.

Sikap

Program konvoi berkenderaan termasuk motosikal sememangnya diakui merupakan aktiviti yang sihat dan mampu memberi pelbagai faedah kepada peserta.

Perkara itu turut diakui bekas Presiden Kelab Motosikal Nusantara dari Pulau Pinang, Masry Che Ani, 42, yang memberitahu, aktiviti berkonvoi juga dapat merehatkan minda para peserta daripada kesibukan kerja selain sebagai aktiviti memenuhi cuti hujung minggu.

“Sebenarnya banyak faedah yang diperoleh menerusi aktiviti berkonvoi.

Peserta bukan sahaja dapat beramah-mesra dengan peserta-peserta lain tetapi mengenali satu-satu destinasi secara lebih santai bersama rakan-rakan dan ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas mengenai kemalangan yang berlaku, Masry berpendapat, kebanyakan kemalangan yang melibatkan motosikal ketika berkonvoi adalah disebabkan oleh sikap manusia yang cuai ketika menunggang.

Faktor luaran seperti objek asing di atas jalan dan kenderaan lain hanya mempengaruhi sebahagian kecil kejadian.

Tambahnya, antara penyebab yang boleh dikaitkan dengan kecuaian ialah kekurangan pengalaman dalam aktiviti berkonvoi.

Lebih teruk lagi, ada penunggang yang mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan etika semasa konvoi dan melanggar peraturan jalan raya.

Katanya, sikap ingin menunjuk-nunjuk turut menjadi penyumbang kerana penunggang akan terdorong untuk menunggang melebihi had laju.

“Perkara itu berlaku dalam mana-mana konvoi bermotosikal sama ada melibatkan motosikal kecil atau berkuasa tinggi.

“Cuma, peserta yang menyertai konvoi yang dianjurkan oleh persatuan atau kelab berdaftar dilihat lebih beretika.

“Ini kerana mereka telah didedahkan dengan peraturan-peraturan konvoi, jalan raya dan mendapat maklumat awal mengenai laluan yang bakal digunakan.

“Selalunya, masalah timbul apabila kumpulan konvoi yang dilakukan secara bersendirian tanpa penglibatan mana-mana kelab berdaftar.

“Peserta akan terdedah kepada sikap mementingkan diri sendiri dan menunjuk-nunjuk kerana menganggap mereka tidak terikat dengan mana-mana peraturan konvoi,” katanya.

Tambahnya, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku, penganjur konvoi seharusnya memastikan kesemua peserta mematuhi peraturan berkonvoi selain sentiasa memantau pergerakan kenderaan yang menyertai kumpulan itu.

Malah, mereka juga boleh mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengadakan taklimat khusus berhubung garis panduan berkonvoi terutamanya melibatkan motosikal.

Ia bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini selain memastikan tiada gangguan trafik di sepanjang laluan konvoi.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Arifin Che Mat pula memberi pandangan yang berbeza dengan memberitahu, pihaknya tidak menggalakkan mana-mana konvoi berkenderaan dilaksanakan kerana ia mengundang pelbagai masalah sekiranya tidak dilakukan dengan teliti.

Kesesakan

Konvoi terutamanya yang melibatkan jumlah kenderaan yang banyak akan menyumbang kepada kesesakan jalan raya di kawasan-kawasan utama dan pada waktu puncak.

“Kenderaan yang menyertai konvoi kebiasaannya akan bergerak secara serentak di dalam kumpulan yang besar dan pergerakan mereka akan mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

“Malah, tidak semua peserta dilihat mematuhi peraturan jalan raya selain etika semasa berkonvoi, sekali gus ada antara mereka yang cuba menunjuk-nunjuk serta berlumba sesama sendiri terutamanya penunggang motosikal,” katanya.

Bagaimanapun, sekiranya masih ada pihak yang ingin melaksanakan konvoi, sebaik-baiknya ia perlu dilakukan menerusi persatuan atau kelab-kelab yang berdaftar dan aktiviti tersebut perlu dimaklumkan kepada pihak berkuasa terutamanya PDRM.

Ia bertujuan meminta bantuan polis pengiring yang bukan sahaja mempunyai kuasa untuk mengawal lalu-lintas tetapi turut membantu melancarkan perjalanan konvoi tanpa perlu mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 46