HIBURAN

Kredibiliti, kepuasan Awi Rafael

Kredibiliti, kepuasan Awi Rafael



UNTUNG batu tenggelam, untung sabut pula timbul. Setiap manusia mempunyai bahagian rezeki masing-masing yang sudah tertulis untuknya. Di mana sahaja kaki berpijak, andai tercatat rezeki ke atas nama si pemilik, tiada siapa yang mampu menidakkan.

Situasi tersebut sesuai menggambarkan survival kehidupan yang diperjuangkan penyanyi berasal dari Singapura, Awi Rafael, 30, sepanjang tempoh enam tahun bertualang di negara ini.

Mengakui bukan senang mengekalkan momentum dan kredibiliti di tempat asing, Awi atau nama sebenarnya, Muhammad Nabawi Ewan Gunawan Rafael tetap bersyukur. Selama ini kehadirannya tidak dipandang sebelah mata, sementelah semua karyanya belum pernah menerima maklum balas mengecewakan daripada peminat.

Tiada ego, cuma muzik

Berbicara tentang perjalanan kariernya sepanjang tahun ini, pelantun lagu Pulanglah itu akan melancarkan single baharu dalam masa terdekat, selain bakal muncul dengan album ketiga menjelang pertengahan tahun nanti.

Masih mengekalkan duet bersama penyanyi Altimet, Awi berkata, keserasian yang tercipta membuatkan mereka mudah mencipta kerjasama untuk single yang berjudul Kau Di Hatiku.

“Konsep lagu ini sedikit berbeza dengan Kalau Aku Kaya tetapi saya cuba menghasilkan karya yang unik seperti lagu Pulanglah yang mengandungi lirik bahasa Melayu dan Inggeris. Namun, apa yang lebih penting adalah keserasian antara kami berdua yang dipertaruhkan dalam lagu ini,” ujarnya ketika ditemui pada konsert mini Anugerah Industri Muzik ke-31 (AJL31) di ibu kota baru-baru ini.

Awi menyifatkan kesempatan untuk berduet bersama barisan penyanyi hebat negara ini adalah pengalaman manis buatnya sepanjang menimba ilmu dalam bidang muzik.

“Jalan rezeki setiap manusia sudah tertulis, begitu juga dengan saya yang dipermudahkan segala urusan dalam karier seni. Alhamdulillah, semua lagu duet yang saya keluarkan mendapat sambutan baik daripada peminat.

“Ia bukan soal strategi melariskan lagu tetapi bagaimana seseorang penyanyi bijak mencipta keserasian dalam karya. Hal ini juga membuktikan saya seorang yang suka untuk berduet dengan sesiapa pun. Saya cuma mahu tekankan bahawa seseorang penyanyi perlu mempunyai jiwa sarat muzik. Ketika bekerja, perspektif saya adalah fokus kepada muzik tanpa secalit egoistik,” katanya.

Risiko album

Menyentuh tentang keberaniannya berdepan risiko untuk muncul dengan album fizikal dalam situasi industri muzik yang tidak menentu ketika ini, Awi yang pernah membawa pulang anugerah Kolaborasi Artis Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2016 (APM2016) menerusi lagu Manusia Sempurna itu ada sebab tersendiri.

Baginya, mengeluarkan album yang diberi judul Euforia itu bukan atas faktor wang ringgit atau keuntungan. Sebaliknya, album adalah lambang atau landasan berekspresi tentang diri dan kecintaan terhadap bidang muzik yang telah menjadi darah dagingnya sejak enam tahun lalu.

“Mungkin pada masa sekarang, akan ada cabaran tertentu untuk mengeluarkan album kerana terpaksa bersaing dengan penjualan lagu dalam bentuk digital.

“Secara peribadinya, saya mengeluarkan album tanpa meletakkan sebarang jangkaan untuk pulangan wang ringgit atau keuntungan. Sebaliknya, ia adalah kepuasan dalam berkongsi muzik dengan peminat.

“Sama juga seperti rakan artis Faizal Tahir dan Altimet yang tetap mengeluarkan album, saya tahu mereka percaya akan ada peminat yang tetap membeli album fizikal walaupun mempunyai banyak pilihan lain,” jelasnya.

Menyentuh tentang penglibatannya dalam Duostar pula, Awi menyifatkan program tersebut sebagai peluang terbaik dalam kariernya selain membuktikan kesediaannya berkolaborasi dengan mana-mana artis.

“Setakat ini perjalanan berjalan lancar dan saya bersyukur kerana pasangan duet saya Kaka seorang penyanyi yang hebat.

“Insya-Allah, jika tiada aral melintang saya merancang untuk mengeluarkan single bersamanya suatu hari nanti.

“Cuma buat masa sekarang, saya akan mengeluarkan single bersama Yasin Sulaiman terlebih dahulu. Kerjasama ini terjadi selepas sama-sama terlibat dalam Duostar dan saya yakin ia akan menjanjikan produk yang hebat daripada kami kerana menggabungkan idea dua generasi,” katanya.

Pentas AJL

Membuka tirai tahun baharu dengan tanggungjawab besar, menjelang 22 Januari nanti Awi sekali lagi akan beraksi di atas pentas berprestij AJL menerusi lagu Setia bergandingan dengan Elizabeth Tan.

Ironi, biarpun ini merupakan kali kedua Awi menyertai pentas AJL, kemunculannya kali ini sedikit berbeza kerana bertindak sebagai penyanyi gantian pelantun asal lagu tersebut iaitu Faizal Tahir yang telah mengambil keputusan tidak lagi terlibat dalam mana-mana pertandingan nyanyian.

Mengakui memikul sebuah tanggungjawab besar, Awi bagaimanapun bersyukur kerana persiapan menjelang hari besar tersebut berjalan lancar.

“Setakat ini persiapan saya dan Elizabeth berjalan dengan baik walaupun kami banyak berlatih secara bersendirian.

“Berdebar memang ada tetapi disebabkan sebelum ini pernah beraksi di pentas AJL28 menerusi lagu Kalau Aku Kaya, ia sedikit sebanyak memahirkan saya dengan proses perjalanan pentas akhir,” ujarnya optimis.

Memberi sedikit kelainan kerana membawakan lagu penyanyi lain, Awi bagaimanapun memandang komitmennya sebagai amanah besar yang perlu dibawa dengan sempurna.

“Saya tidak tertekan kerana perlu membawa nyanyian orang tetapi mengakui tugasan ini memberi cabaran tersendiri kerana peminat Faizal Tahir sudah tentu mengharapkan hasil sempurna daripada saya.

“Apa yang boleh saya janjikan adalah sebuah persembahan terbaik. Walaupun tahu kredibiliti vokal Elizabeth pernah dipertikaikan sewaktu kemunculannya dalam AJL30, namun saya tahu dia memiliki suara yang unik dan pakej lengkap sebagai penyanyi.

“Dia seorang pelajar muzik dan kecintaannya terhadap bidang ini memang mendalam. Sebagai penyanyi bukan Melayu, saya sangat berbangga kerana dia berjaya mencuba perkara hebat sebegini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Awi bakal menjalankan bisnes menjual jaket kulit menggunakan jenama Kasablanca Leather Co. menerusi Instagram.

Idea menjalankan perniagaan tersebut hadir kerana minatnya yang gemar menggayakan pelbagai jenis jaket dalam mana-mana persembahan atau sesi fotografi.

“Perniagaan tersebut akan mula beroperasi tidak lama lagi. Setakat ini, kami sudah mendapat tempahan yang banyak termasuk daripada kalangan rakan artis,” ujarnya menutup perbualan.

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 31