VARIA

Celik Fiqah bantu hurai kemusykilan

Celik Fiqah bantu hurai kemusykilan


NASKhah ini dapat membantu umat Islam moden mencari solusi bagi permasalahan hukum dan amalan mereka mengikut syariat Islam.


ApaKAH pandangan ustaz tentang seseorang yang mendirikan solat Jumaat dengan mengikuti imam di kaca televisyen secara langsung?

Bolehkah pakaian yang terkena najis dibasuh menggunakan mesin basuh cucian kering?

Bagaimana dengan hukum menqada solat untuk orang yang sudah meninggal dunia?

Demikian antara kemusykilan masyarakat yang dizahirkan dalam naskhah berjudul Celik Fiqah nukilan Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil.

Mungkin persoalan serupa turut berlegar dalam pemikiran kita. Namun, sejauh manakah kita berusaha mengambil tahu dan mengkaji tentang sesuatu hukum dan menyakini amalan seharian kita?

Menurut Ahmad Fauwaz, secara ringkas fiqah adalah ilmu yang menceritakan sistem berkaitan hubungan manusia dengan Allah dengan mengklasifikasikan setiap bentuk perbuatan kita sama ada disukai atau dibenci oleh-Nya.

“Sekiranya disukai ia diterjemahkan dalam dua bentuk iaitu wajib dan sunat. Jika sebaliknya, ia boleh membawa kepada makruh dan haram.

Signifikan

“Namun, jika sesuatu perkara itu tidak dinyatakan sama ada Allah suka atau tidak, ia boleh menjadi harus. Namun niat seseorang dalam melakukan sesuatu boleh mengubah kedudukan hukum itu kepada sunat, wajib, makruh mahupun haram,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! di Sri Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pendek kata, fiqah adalah satu ilmu yang memperkenal dan menunjukkan kepada kita cara-cara untuk mencari keredaan dan kasih sayang ilahi, kata Ahmad Fauwaz.

Menurutnya, ilmu fiqah mempunyai peranan signifikan dalam kehidupan umat Islam yang terikat dengan hukum hakam dalam segenap aspek kehidupan meliputi ibadat, kebersihan, muamalat, kekeluargaan, adab masyarakat dan isu semasa seiring perkembangan zaman.

Lantaran itu, beliau menulis naskhah Celik Fiqah dalam bentuk soal jawab sesuai dengan fitrah manusia yang suka bertanya untuk mengetahui dan mempelajari sesuatu yang tidak diketahui.

Aktif menulis lebih 20 buku usul Fiqah antaranya Fiqh Medic, Fiqh Kerahsiaan Wanita dan Fiqh Jihad, Ahmad Fauwaz menambah, naskhah tersebut sesuai dijadikan rujukan segenap lapisan masyarakat dan bertujuan menunjukkan ilmu fiqah mudah difahami dan dipraktikkan.

Dalam hal ini, isu-isu semasa sesuai dengan peredaran zaman dikupas berdasarkan ajaran Islam dengan menjadikan mazhab al-Syafi’i sebagai rujukan utama.

“Pada permulaan buku ini, saya turut mengetengahkan pandangan mazhab dan bidaah kerana kedua-dua elemen berkenaan mempunyai kaitan rapat dalam menghuraikan hukum hakam persoalan yang dikemukakan.

“Ia juga lengkap dengan nota kaki, dalil ayat al-Quran, hadis, kamus istilah dan kitab-kitab yang digunakan untuk kemudahan rujukan masyarakat,” ujarnya.

Graduan Universiti al-Azhar, Mesir bidang Syariah itu berkata, penggunaan bahasa yang santai lebih mudah dihadam khalayak.

Ujarnya, semoga Celik Fiqah dapat menjadi solusi kepada umat Islam moden untuk menjadi insan lebih baik. Sekali gus menyingkirkan keraguan dan dapat beramal dengan aman.

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 47