DUNIA

Peduduk Yahudi lari, kebakaran belukar merebak ke Tebing Barat

Peduduk Yahudi lari, kebakaran belukar merebak ke Tebing Barat


SEORANG anggota bomba memadamkan kebakaran belukar di Nataf, dekat Baitulmuqaddis kelmarin. - REUTERS


BAITULMUQADDIS – Kebakaran belukar berdekatan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang dijajah Israel memaksa beratus-ratus orang meninggalkan kediaman mereka, kata polis semalam.

Situasi itu berlaku ketika anggota bomba Israel dan Palestin dengan dibantu sebilangan pesawat asing, bertungkus-lumus memadamkan kebakaran belukar yang tersebar akibat cuaca kering dan angin kencang.

Sebelum ini, lebih 80,000 orang di bandar ketiga terbesar di Israel, Haifa dan beberapa kawasan lain telah berpindah.

Sekitar 1,000 penduduk di penempatan Halamish dekat Ramallah terpaksa berpindah selepas 45 kediaman musnah atau rosak dalam kebakaran itu.

Kebakaran juga dilaporkan berlaku berdekatan penempatan ha­ram Doleve dan Karnei Shomron dekat Tebing Barat.

Sejumlah pesawat pemadam api adalah dari Israel dan negara-negara seperti Rusia, Turki, Greece, Perancis dan Kanada terus menggugurkan bertan-tan air di beberapa lokasi termasuk Kampung Nataf dekat Baitulmuqaddis.

Sementara itu, polis Israel mengumumkan telah menangkap 14 orang kerana disyaki cuai atau mencetuskan kebakaran dengan sengaja tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut tentang identiti mereka. – AFP

Process time in ms: 32