RENCANA UTAMA

Wajah ayu jadi pujaan netizen

Wajah ayu jadi pujaan netizen

SELAIN aktif dalam sukan angkat berat, Julia juga menjadi model kecergasan dan iklan.


KETIKA rakan-rakan seusianya rancak berbincang pasal fesyen terkini atau mengikuti perkembangan kumpulan remaja popular One Direction, wanita itu pula menghabiskan sebahagian besar masanya di gimnasium.

Tidak hairanlah daripada seorang gadis berusia 15 tahun yang pemalu serta memiliki tubuh kurus dan langsing, Julia Vins kini berubah perlahan-lahan menjadi seorang ‘badang’.

Selepas lima tahun, wanita berasal dari Engels, wilayah Saratov, Rusia itu terus obses dengan hobinya dan kini menjadi perhatian kalangan netizen di seluruh dunia sehingga digelar Muscle Barbie disebabkan kecantikan wajahnya.

“Saya tidak minat bersukan, tetapi ke gimnasium disebabkan tidak mempunyai ramai kawan dan sering berasa bosan di rumah.

“Saya berpendapat, aktiviti ini mampu mengisi masa yang terluang di samping memastikan tubuh kekal cergas dan bertenaga,” katanya.

Menurut Julia, pada peringkat awal, dia hanya berlatih seorang diri dan hanya meniru pergerakan golongan lelaki di gimnasium.

Bagaimanapun, katanya, proses itu bukan mudah dan corak latihan yang dilakukan juga tidak memberi kesan ketara terhadap fizikalnya.

“Saya meminati sukan angkat berat tetapi tidak tahu cara untuk memulakannya kerana tidak mempunyai jurulatih yang sesuai.

“Selepas setahun barulah saya bertemu teman lelaki, Sergei, 29, yang kini merupakan jurulatih peribadi yang banyak membantu merealisasikan impian tersebut.

“Kami berdua akan ke gimnasium empat kali seminggu dan memperuntukkan masa antara tiga hingga empat jam sehari bagi mendapatkan bentuk badan yang diidamkan,” ujarnya.

Bagi mendapatkan tenaga berterusan dan bentuk badan yang diingini, Julia turut mengamalkan diet harian yang ketat.

Katanya, disebabkan Engels merupakan sebuah bandar kecil, sukar untuk dia mendapatkan variasi makanan yang sesuai bagi tujuan itu.

“Diet saya terdiri daripada ayam, telur, keju, nasi, oat, daging dan sayur-sayuran yang diambil lima hingga enam hidangan sehari di samping suplemen dan vitamin.

Kejar karier


Julia memecahkan rekod dunia dengan jumlah angkatan keseluruhan sebanyak 446kg pada Kejohanan Angkat Berat Dunia 2014 di Moscow, Rusia.


“Jika musim panas, tiada masalah untuk mendapatkan bekalan sayur namun jika musim sejuk hanya ada brokoli dan kacang pea beku. Setiap minggu, saya memperuntukkan sehari untuk makan apa sahaja yang diingini,” katanya.

Pengorbanan dan disiplin tinggi Julia ketika berlatih ternyata berbaloi. Fizikalnya bukan sahaja bertambah sasa malah dia berjaya mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam sukan angkat berat.

Dua tahun lalu, ketika menyertai Kejohanan Angkat Berat Dunia di Moscow, Julia berjaya memecahkan tiga rekod dunia dengan jumlah angkatan keseluruhan sebanyak 446 kilogram (kg)merangkumi squatting seberat 180kg, bench pressing seberat 108kg dan dead-lifting seberat 163kg.

Menyusuri perjalanan hidupnya, wanita itu mengakui sering mendapat perhatian ketika zaman kanak-kanak disebabkan wajahnya yang comel.

“Saya juga mempunyai keputusan yang baik dalam akademik. Saya belajar muzik, mempunyai kemahiran dalam bidang seni dan menyertai pelbagai pertandingan di sekolah.

“Bagaimanapun, ia tidak memberi sebarang objektif dalam hidup saya dan segala yang dipelajari dan kemahiran tersebut seakan-akan tidak selari dengan jiwa saya.

“Sebab itu, saya pilih sukan angkat berat kerana ia menjanjikan kepuasan biarpun keputusan itu tidak begitu direstui oleh keluarga,” katanya.

Demi merealisasikan hasrat tersebut, Julia memilih untuk berdikari biarpun rata-rata gadis seusianya di negara itu masih menetap bersama keluarga.

“Di Rusia terdapat banyak stereotaip, seperti semua orang kena masuk universiti selepas menamatkan alam persekolahan dan memiliki ijazah tetapi saya pula memilih untuk mengejar karier dalam sukan ini.

“Saya tidak mahu melakukan kesilapan sama seperti mereka yang menghabiskan banyak masa mengejar akademik tetapi memperoleh pekerjaan yang tidak relevan.

“Apa yang penting, saya gembira melakukannya dan yakin sukan ini mempunyai potensi besar biarpun terpaksa mengorbankan zaman remaja,” jelasnya.

Latihan intensif


Julia mempunyai 346,000 peminat yang mengikuti perkembangannya di Instagram.


Julia memberitahu, dia gembira kerana Sergei sentiasa berada di belakangnya bagi merealisasikan impian tersebut.

Katanya, ramai yang cuba merendah-rendahkan kemampuannya sebelum ini namun latihan intensif yang dilakukan membuat dia bersemangat dari segi mental dan fizikal.

“Kebanyakan komen diterima daripada golongan lelaki yang tidak gembira dengan pencapaian hidup mereka namun saya tidak mengendahkannya.

“Saya rasa persepsi ini sukar diubah kerana ramai yang masih beranggapan wanita hanya berfungsi untuk memasak atau membasuh pakaian.

“Situasi ini berbeza ketika saya melancong ke Eropah atau Asia, saya dapat rasa penduduk di sana lebih menghormati saya, biarpun mereka tidak menyukai saya, mereka masih menunjukkan rasa hormat.

“Mungkin mereka sukar untuk menerima wanita bertubuh sasa namun bagi saya apa yang penting adalah personaliti seseorang,” katanya.

Disebabkan itu, Julia sentiasa menitikberatkan penampilan dirinya ketika berlatih di gimnasium atau mengikuti pertandingan angkat berat.

Imej-imej yang tersebut turut dirakam dan dimuat naik ke laman Instagram miliknya yang kini mempunyai lebih 346,000 pengikut di seluruh dunia.

“Saya sentiasa memakai alat solek ketika berlatih kerana mahu memastikan diri saya kekal cantik dalam apa juga keadaan.

“Saya akan pastikan rambut sentiasa diikat atau ditocang dengan riben yang berwarna-warni. Saya juga suka berfesyen namun dengan saiz badan ketika ini sukar untuk saya mendapat saiz pakaian yang sesuai,” katanya

Selain aktif dalam sukan kegemarannya, Julia juga sering dijemput sebagai tetamu jemputan beberapa program televisyen di seluruh dunia.

Streoid


Sergei (kanan) merupakan individu terpenting dalam karier Julia.


Pada masa yang sama, popularitinya juga menyebabkan dia mula berjinak-jinak sebagai model kecergasan dan pengiklanan komersial.

“Saya gembira kerana mempunyai ramai pengikut di laman sosial yang sentiasa mengikuti perkembangan perjalanan hidup saya. Ada yang menjadikan saya sebagai role model kepada masyarakat dan saya mengalu-alukannya

“Saya dapati ramai wanita Rusia yang menceburi sukan ini melakukan kesilapan dengan menggunakan steroid yang mengubah wajah dan suara mereka. Kini, saya telah buktikan sesiapa sahaja boleh kekal cantik, menawan dan berjaya dalam sukan ini tanpa menggunakan steroid,” katanya.

Process time in ms: 47