HIBURAN

Nikmat toleransi Yasmin, Shaarin

Nikmat toleransi Yasmin, Shaarin

KOMUNIKASI - Yasmin dan suaminya Shaarin sangat mementingkan komunikasi dalam perhubungan mereka agar sebarang perselisihan faham dapat diatasi segera.


MELIHAT keluarga kecil ini, secara tidak langsung bibir terus mengukir senyuman dengan kemesraan mereka. Sesekali kelihatan Shaarin berlari-lari anak mengejar si comel Noah yang aktif dengan aktiviti sendiri.

Sementara itu, Yasmin Hani Richardson, 37, atau Yasmin pula hanya tertawa kecil melihat keletah pemilik nama sebenar, Sha’arin Mohammed Razali Wong, 47, dan buah cinta pertama mereka, Noah Ismail Wong.

Tidak keterlaluan andai dikatakan, kedua-dua lelaki ini menjadi pelengkap dalam kehidupannya kini.

Suasana bahagia itu yang melatari sesi fotografi bersama keluarga pelakon dan hos itu di Studio Utusan baru-baru ini.

Biarpun sedang sarat hamil tujuh bulan, Yasmin masih kekal aktif seperti biasa. Malah, sikap peramah dan celotehnya yang masih sama benar-benar membuktikan wanita itu kini sedang bahagia.

Ditanya apakah rahsianya, sambil tersenyum Yasmin menjawab: “Setiap pasangan berkahwin akan melalui pancaroba yang sama seperti gembira dan berselisih faham. Kami juga begitu, cuma apabila bergaduh sebolehnya kami tidak baling barang atau memaki hamun pasangan.

“Dua perkara ini memang saya dah Shaarin jaga. Tipulah jika tidak ada terasa hati tetapi kami atasinya dengan komunikasi sesama pasangan. Perkara ini sangat penting dalam menjaga perhubungan,” ujarnya mengenai prinsip yang dipelihara dalam hubungan berumah tangga.

Bakal meraikan ulang tahun keenam perkahwinan pada 21 Oktober ini, kongsi Yasmin lagi, dia dan suaminya turut mengamalkan konsep persefahaman bersama dalam mendidik anak mereka yang kini sedang membesar. Noah kini berusia tiga tahun.

Ujarnya, resipi itu merupakan rahsia yang diamalkan sejak

turun-temurun dalam keluarganya.

“Saya masih ingat pesan atuk suatu ketika dahulu. Katanya, kecil tidak semestinya salah, dan besar tidak semestinya betul.

“Pesanan itu saya ingat dan amalkan dalam proses mendidik anak saya. Jika boleh saya tidak mahu ada penghalang dalam komunikasi saya bersama anak,” terangnya yang turut menghantar Noah ke pusat asuhan kanak-kanak The Junior Academy Montesori di Solaris, Hartamas, Kuala Lumpur.

Pengalaman

Membawa bicara perihal kehamilannya pula, dengan penuh rasa kesyukuran Yasmin memberitahu, dia merupakan wanita yang beruntung kerana tidak mengalami sebarang alahan teruk.

Justeru kerana itu membolehkan dia aktif melancong dan bekerja seperti biasa.

“Alhamdulillah, sepanjang kehamilan Noah dan anak kedua ini, saya tidak mengalami sebarang alahan yang teruk.

“Bagaimanapun, semasa hamil Noah dahulu saya tidak mengidam sebarang makanan pelik tetapi kali ini saya sering teringin untuk makan buah-buahan dan mengunyah ais,” ujarnya yang sering mengidam buah oren.

Ditebak tentang penerimaan anak sulungnya yang selepas ini perlu berbahagi kasih dengan ahli baharu, sambil tertawa Yasmin berkata, Noah sentiasa bersikap positif dan gembira. Malah, tingkahnya juga menunjukkan dia bersedia untuk menerima adik.

Tambah bekas pengacara program [email protected] yang popular suatu waktu dahulu, seawal usia tiga tahun juga, Noah sudah pandai berdikari serta rajin mengikut suaminya menunaikan solat.

“Sudah tentu Noah gembira, dia selalu mencium perut saya sambil berkata ingin cium adik. Bagaimanapun, kita tidak tahu sejauh mana dia memahami keadaan itu, jadi kita tengok apabila masanya tiba,” katanya.

Bercerita soal perancangan pantang pula, beritahu Yasmin, dia berazam untuk menjalani tempoh tersebut selama 44 hari dengan penuh disiplin biarpun hanya berpantang di rumah sendiri.

“Saya menjalani pantang di kampung selepas melahirkan Noah tetapi kini saya dan suami mengambil keputusan untuk menjalaninya di rumah sahaja kerana ibu saya sudah semakin lanjut usia.

“Saya juga berazam untuk menjalani tempoh pantang dengan penuh disiplin dan makan makanan berkhasiat agar anak dapat nutrisi secukupnya.

“Untuk pengetahuan, kami sekeluarga kini sudah mula mengurangkan makanan berasaskan daging seperti ayam dan lembu sebagai langkah untuk menjaga kesihatan,” ceritanya panjang lebar.

Kekal aktif

Dalam debar menanti kelahiran anak kedua yang dijangka lahir penghujung tahun ini, Yasmin turut memberitahu, dia dan suaminya sudah bersedia tentang perubahan dalam pengurusan masa mereka nanti.

Pun begitu, biarpun sudah bergelar ibu kepada dua anak, Yasmin tetap tidak akan meninggalkan kerjayanya sebagai seorang anak seni.

“Saya dan suami memang sudah bersedia tentang perubahan masa kami selepas anak kedua ini lahir. Saya belum boleh bayangkan keadaannya bagaimana tetapi mungkin kami perlu lebih banyak berkorban masa untuk anak-anak.

“Soal kembali kepada kerjaya seni pula, jika saya rasa sudah stabil, bersemangat dan berkeyakinan, saya memang tidak akan menolak sebarang tawaran aktiviti seni yang datang.

“Buat masa ini, bukan saya tidak mahu berlakon tetapi terlalu sibuk dengan komitmen kerja lain. Jika ada masa terluang, memang saya akan ambil kerana lakonan merupakan salah satu daripada minat saya selain mengacara,”ujarnya seraya menggulung bicara.

Rencana Utama!»

Lokomotif stim 6015 identiti berharga Sabah

LOKOMoTIF 6015 merupakan kereta api stim tunggal di Sabah yang berusia lebih separuh abad dan masih boleh digunakan.

Varia!»

Mencari pewaris peniup serunai

Mohd. Amir menunjukkan serunai yang dimainkan selepas selesai melakukan persembahan di Kampung Labu Kubong, Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

Process time in ms: 31