VARIA

Seni ukiran seramik tanah liat

Seni ukiran seramik tanah liat

TANAH liat yang menjadi bahan utama dalam penghasilan ukiran seramik dilihat sebagai simbolik penciptaan manusia yang berasal dari tanah.


BUAT julung-julung kalinya, Galeri Chandan bersama Patisatu Studio menganjurkan pameran Breathe: The Clay Chemistry yang memaparkan sebanyak 27 karya seni ukiran seramik diperbuat daripada tanah liat dan campuran bahan-bahan lain.

Antara artis yang terlibat ialah Al-Khuzairie Ali, 32, dan Umibaizurah [email protected], 41, serta pengukir seramik, Satoko Ootsuki, 37, daripada program pertukaran budaya di Jepun baru-baru ini.

Bekerja ke arah tema yang sama iaitu benih, ketiga-tiga mereka memikirkan tentang idea kelahiran, kesuburan dan alam semula jadi, di samping mengambil peluang untuk menimba ilmu melalui pengalaman seni masing-masing.

Pada masa sama, ia mengukuhkan hubungan kebudayaan Jepun dan Malaysia.

Simbol manusia


Umibaizurah (kiri), Al-Khuzairie dan Satoko menjadi tonggak utama pameran ukiran seramik yang bertemakan benih di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Menurut Umibaizurah, kepentingan tanah liat pada pameran itu bukan sahaja pilihan jelas dalam bahan yang digunakan tetapi ia adalah simbol kepada manusia.

Dalam banyak kepercayaan terutamanya Islam, manusia dikatakan diperbuat daripada tanah. Ayat al-Quran menyatakan bahawa: “Kami telah menciptakan manusia (Adam) daripada tanah liat (air dan bumi),” (Surah al-Mukminun, 23:12).

“Tema hasil karya ini ialah idea untuk ‘bernafas bersama-sama’ dalam ruang yang sama.

“Sebagai contoh, idea kami menghasilkan karya seni daripada bahan dan medium yang sama menggunakan pelbagai teknik dan gaya berbeza,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Sementara itu, Al-Khuzairie mewujudkan kerja-kerja yang menggabungkan buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan dengan budaya tradisional seperti wayang kulit dalam usaha untuk memelihara nilai-nilai warisan turun-temurun.

“Jepun merupakan negara yang kaya dengan budaya, sejarah dan ekonomi.

“Budaya dan tradisi mereka sangat terpelihara, sekali gus menyebabkan ia masih relevan sehingga kini, contohnya seperti budaya manga yang disambut di seluruh dunia.

“Di Malaysia, kita juga dilimpahi tradisi dan adat resam yang berbeza. Namun, ia tidak lagi diamalkan dan kurang diketengahkan seperti mak yong, kuda kepang dan wayang kulit,” jelasnya.

Bagi Satoko pula, dia telah menghasilkan seni seramik sejak tahun 2009.

Katanya, hasil seni ukirannya tampak lebih halus dan feminin yang mencerminkan dirinya sendiri.

“Ada salah satu hasil karya seni saya ada menggambarkan sepasang ikan disalut dengan pelbagai jenis sayur-sayuran, bunga dan kerang.

“Titik-titik pengecil seperti perhiasan juga digunakan untuk mencipta tekstur dan sebagai petunjuk masa berlalu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Umibaizurah berharap dapat meneruskan program pertukaran budaya itu dengan menjemput beberapa rakan artis dari negara-negara lain seperti Singapura, Thailand dan Korea pada masa akan datang.

Rencana Utama!»

Pembunuhan rakyat Syria beramai-ramai

ORANG awam yang disyaki terkena gas sarin di Khan Sheikhoun, Idlib, Syria bergelimpangan di atas tanah.

Varia!»

Polis Shah Alam dekati pelajar Taufiq Islami

Pelajar-pelajar Institut Taufiq Islami teruja dan seronok dapat beramah mesra dengan Shafien (kanan).

Process time in ms: 47