RENCANA UTAMA

Manfaatkan makanan hampir luput

Manfaatkan makanan hampir luput


EMPAT orang anak muda ini tampil untuk membantu orang ramai dengan menjual barangan makanan pada harga jauh lebih murah.


SELALUNYA, makanan yang hampir kepada tarikh luput hanya akan menjadi penghuni tong sampah sahaja.

Ini kerana, sejak dahulu lagi, ramai individu mempunyai tanggapan bahawa kandungan makanan yang menghampiri tarikh luput merupakan makanan yang sudah tercemar dan dikhuatiri akan mengundang pelbagai penyakit jika ia masih dimakan.

Bagaimanapun, berbeza dengan empat orang anak muda yang gemar menjalankan kerja-kerja sukarelawan, Redza Shahid, 28; Asyraf Sofian, 23; Hawanisa Roslan, 26, dan Charanpirabhu, 28, apabila mereka memilih untuk membeli dan menjual semula barangan makanan yang hampir luput tarikh kepada orang ramai pada harga yang jauh lebih murah.

Apa yang membanggakan, khidmat mereka itu bukanlah berasas kepada keuntungan tetapi ia lebih kepada kerja-kerja kebajikan untuk membantu orang ramai.

Menurut Redza yang juga merupakan pengasas Grub Cycle (GC), usaha tersebut pada awalnya bertujuan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan di sekitar Lembah Klang untuk mendapatkan bekalan makanan yang diinginkan dengan harga yang rendah.

Tambahan pula dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi ketika ini, pendekatan tersebut dilihat sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan harian kumpulan tersebut.

“Idea untuk menubuhkan GC bermula ketika keempat-empat kami bertemu sewaktu sedang melakukan kerja-kerja sukarelawan di sebuah sekolah pelarian di Selayang.

“Setelah beberapa kali bertemu di lokasi yang sama, kami mula terfikir cara lain yang boleh dilakukan bagi menyumbang khidmat kepada masyarakat selain daripada melakukan aktiviti-aktiviti sukarelawan.

“Selepas beberapa sesi perbincangan dijalankan, kami dapati pembaziran makanan merupakan antara masalah utama yang sering dihadapi rakyat di negara ini tanpa mereka sedari.

“Jadi, melihatkan keadaan tersebut, kami mula mendapat idea dan mengambil keputusan untuk menyelesaikan masalah itu dengan mewujudkan Grub Groceries iaitu menjual semula barangan makanan yang menghampiri tarikh luput pada harga yang lebih murah untuk membantu individu yang memerlukan,” jelasnya.

Menurut Redza lagi, dia dan tiga orang rakan yang lain memulakan GC pada Mac lalu dengan menggunakan modal persendirian sebanyak RM500 sahaja.

Jimat dan mudah

“Pada awal penglibatan di dalam bidang ini, kami banyak bergerak secara berasingan iaitu setiap seorang daripada kami akan pergi ke beberapa buah pasar raya yang berlainan bagi mencari makanan yang sudah hampir luput tarikh.

“Selalunya, makanan-makanan yang kurang daripada empat bulan untuk luput tarikh akan menjadi sasaran kerana dari situ kami akan ditawarkan dengan harga yang jauh lebih murah.

“Dengan harga yang diperoleh itu, kami kemudian akan menjual semula kepada orang ramai. Pada kebiasaannya, kesemua produk makanan yang dijual oleh GC lebih rendah sebanyak 50 peratus daripada harga pasaran,” jelasnya.

Menurut Redza lagi, pada awal penglibatan dalam aktiviti itu, mereka menyasarkan kelompok masyarakat yang mendiami kawasan sekitar Projek Perumahan Rakyat.

Bagaimanapun, sebaik melihat sambutan yang diterima tidak begitu menggalakkan, mereka kemudian menukar strategi penjualan dengan memuat naik senarai barangan di laman sosial.

Dari situ, orang ramai dapat melihat senarai barangan dan harga yang ditawarkan sebelum meneruskan dengan proses pembelian.

Setakat ini, antara Grub Groceries yang dijual adalah seperti biskut, coklat, gula, susu, minuman serta makanan berkaleng, emping jagung dan roti.

Barangan makanan yang paling murah dijual oleh GC ialah minuman berkaleng dengan harga RM0.70 untuk satu tin.

Miskin bandar


JEM daripada buah nanas yang hampir busuk dihasilkan oleh GC untuk dijual kepada orang ramai.


Jelasnya lagi, kaedah tersebut bukan sahaja menjanjikan penjimatan buat orang ramai, malah ia juga turut memudahkan mereka kerana kesemua barangan tersebut akan dihantar terus secara percuma pada setiap hari Jumaat hingga Ahad.

Dalam pada itu menurut Hawanisa, selain Grub Groceries yang memfokuskan barangan dapur kering pada harga rendah, GC juga turut menjalankan dua projek lain iaitu Grub Bites dan Grub Homemade.

“Menerusi Grub Bites, kami bekerjasama dengan lima buah kafe dan kedai kek untuk menjual kek-kek atau roti yang hampir luput tarikh pada harga yang murah.

“Sementara itu, untuk Grub Homemade pula, kami akan menghasilkan barangan makanan mudah rosak berasaskan buah-buahan dan sayur-sayuran menjadi jem roti atau sayuran jeruk untuk dijual kepada orang ramai,” jelasnya.

Menurut Hawanisa lagi, selain ketiga-tiga projek khidmat masyarakat itu, mereka juga turut membantu golongan miskin bandar yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM700 sebulan dan tidak mendapat sebarang bantuan kewangan dengan pemberian Grub Bag.

Subsidi makanan


ANTARA kandungan di dalam Grub Bag yang dijual kepada golongan kurang berkemampuan dengan harga RM15.


“Grub Bag akan dijalankan sekali dalam sebulan dan setakat ini kami berjaya membantu 20 keluarga yang memerlukan di sekitar Lembah Klang.

“Menerusi Grub Bag, kami akan memberi subsidi penjualan beg makanan sebanyak 50 peratus. Beg makanan yang dijual dengan harga RM15 satu itu mengandungi beras, gula, garam, minyak masak dan sepapan telur,” jelasnya.

Biarpun pendekatan ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada orang ramai, namun Asyraf mengakui pada mulanya mereka berhadapan dengan kesukaran terutamanya untuk meraih keyakinan daripada orang ramai.

“Majoriti orang kita bila lihat sahaja makanan yang hampir luput tarikh pasti tidak mahu makan atau terus buang.

“Jika pergi ke pasar raya sekali pun, rak barang-barang yang hampir luput atau rosak hanya akan dipandang sepi kerana umum berpendapat ia sudah tidak elok untuk dimakan.

“Jadi ia menjadi satu cabaran besar buat kami yang menjual barangan-barangan ini untuk meyakinkan mereka bahawa makanan-makanan tersebut boleh dimakan walaupun ia sudah sampai tarikh luput.

“Bagaimanapun, mereka perlu membezakan kualiti dan tahap kerosakan makanan tersebut.

“Jika ia sudah lemau, berkulat, busuk dan sebagainya barulah ia tidak elok untuk dimakan,” jelasnya.

Process time in ms: 47