SUKAN

Pemain muda pamer bakat pada Jelajah Myfuture Junior

Pemain muda pamer bakat pada Jelajah Myfuture Junior


AHMAD FAUZI (kiri) bersama para pemenang Jelajah Myfuture Junior di Rawang kelmarin.


SERAMAI empat pemain golf muda dinobatkan sebagai juara keseluruhan divisyen masing-masing pada kejohanan akhir Jelajah Myfuture Junior yang berlangsung selama tiga hari di Templer Park Country Club, Rawang kelmarin.

Atlet muda, Yong Fatt Hoe mendahului kedudukan divisyen biru untuk merangkul Trofi Peringatan Ali Kadir selepas melakukan aksi cemerlang dengan kelebihan lapan pukulan pada Kejohanan Juara-Juara.

Anugerah Danny Chia pula menjadi milik Farhan Fikri apabila muncul juara keseluruhan setelah mengharungi persaingan sengit dalam divisyen putih lelaki.

Sementara itu, Zulaikah Nurziana Nasser mencetak kemenangan ketiga dalam kariernya setelah meraih kedudukan teratas divisyen putih wanita sekali gus muncul sebagai penerima dulang Lim Siew Ai pertama.

Foong Zi Yu pula membawa pulang Founders Bowl selepas memenangi Kejohanan Juara-Juara dengan kelebihan satu par pada lubang tambahan pertama permainan penentuan menentang Farisha Mohd. Radzi dalam divisyen merah.

Kesemua pemenang menerima cenderamata Royal Selangor, baucar buku bernilai RM500 dan pengecualian yuran penyertaan untuk musim 2017.

Pengerusi Jelajah MYFutures Junior, Ahmad Fauzi Ghazali berpuas hati di atas kejayaan program tersebut bagi mencungkil bakat baharu pada tahun pertama diadakan.

“Misi utama kami adalah untuk membina juara masa depan golf Malaysia. Bagi pihak penganjur, saya kagum dengan empat juara keseluruhan yang telah menunjukkan kesungguhan dan ketekunan sepanjang program berlangsung.

“Kami berharap dapat melihat juara-juara muda ini berkembang menjadi individu yang akan memberikan sumbangan kepada industri sukan negara satu hari nanti,” katanya.

Jelajah MYFutures Junior ditaja bersama oleh Yayasan Rakyat 1Malaysia, Mah Sing Group, Koh & I (M) Trading Sdn. Bhd., FarFrontier Perkhidmatan Tenaga dan Srixon.

Process time in ms: 31