VARIA

Ekspresi seni Mohd. Khairudin

Ekspresi seni Mohd. Khairudin

MOHD. KHAIRUDIN berkongsi bingkisan pengalamannya berkunjung ke negara China dan Hong Kong melalui 13 lukisan dalam pameran solo keempatnya, Oriental Express: Beyond Identity.


INTERPRETASI seni bagi seorang pelukis banyak berkisar tentang pengalaman, pemerhatian dan sudut pandang tentang sesuatu realiti sosial serta limpahan rona semula jadi alam sekitar.

Setiap lukisan membawa mesej dan pendedahan tersendiri yang akan membuatkan kita berfikir bagi merungkai cerita bagi sesuatu karya.

Berkongsi pengalaman ketika berada di bumi China dan Hong Kong, pelukis berbakat, Mohd. Khairudin Zainudin, 29, tampil dengan pameran solo keempat berjudul Oriental Express: Beyond Identity.

Bakal mempamerkan 13 hasil karya terbaharu, Mohd. Khairudin memberitahu, pameran kali ini membawa makna yang lebih besar tentang dunia luar dan ekspresinya dalam mengharungi dunia dengan bangsa asing.

Pemerhatian

“Pameran Oriental Express: Beyond Identity adalah perkongsian saya tentang pengalaman ketika mengadakan pameran solo di luar negara dan pada masa sama melawat negara berdekatan.

“Setiap karya itu merupakan hasil pemerhatian dan respons seorang pelancong ketika berhadapan dengan pelbagai situasi berbeza di negara orang,” kata anak jati dari Kelantan itu.

Tambahnya, untuk pameran kali ini juga, setiap karya membawa mesej tersendiri daripada pelbagai situasi dan setiap satu mengandungi bahasa Cina yang melambangkan negara yang dikunjunginya iaitu Hong Kong dan China.

Antara koleksi lukisan Mohd. Khairudin yang bakal dipamerkan pada di Galeri G13, Kelana Jaya September ini.


Meneliti setiap lukisan Mohd. Khairudin, bingkisan tentang senario di kedua-dua negara jelas digambarkan dalam setiap karya. Bapa kepada seorang cahaya mata itu cukup kemas menggarap mesej untuk karyanya dengan efek ilusi ambigious.

Mempunyai sarjana dalam bidang Teknologi Seni Halus, Mohd. Khairudin mengambil masa selama hampir setahun untuk menggarap idea, mencari ilham dan merealisasikan semua karya dalam pameran kali ini.

Beliau turut berkongsi tentang pandangan terhadap kehidupan sosial di Hong Kong dan China yang juga merupakan inti pati dalam sebahagian karyanya.

Menurutnya, negara-negara di kejiranan China sangat berbeza dengan Malaysia. Sama ada dari segi kepadatan, kesesakan dan kemajuan gaya hidup di kedua-dua negara bagaikan siang dan malam.

“Dalam sebahagian karya, saya menzahirkan semula pemerhatian terhadap gaya hidup di kedua-dua belah negara, bagaimana ia pesat membangun, kisah masyarakat di kedai makan dan simbolik popular di sana.

“Saya turut meletakkan terjemahan tentang masyarakat Malaysia yang sebenarnya sangat rugi jika tidak belajar bahasa asing kerana sebagai masyarakat berbilang kaum, akses pembelajaran kita lebih mudah,” ujarnya.

Process time in ms: 31