VARIA

Mesej dakwah Megat Zaim Zharif

Mesej dakwah Megat Zaim Zharif

Lukisan bersiri bertajuk Satu Dari Tiga ini menyimpul makna hikmah berdoa.


LUMRAH manusia sukakan kecantikan dan keindahan. Namun, kadangkala segelintir daripada kita terlupa perkara terindah dalam kehidupan adalah kembali pada jalan Tuhan dan mencari reda-Nya.

Disebabkan itu, Megat Zaim Zharif Megat Nawawi memilih untuk berkongsi dengan khalayak perasaan itu menerusi 21 buah lukisan yang mengangkat keindahan seorang Muslim dalam melunaskan tuntutan ibadat paling utama dalam Islam iaitu solat.

Tidak sukar menghadam karya yang memaparkan imej lelaki berjubah dan serban melakukan pergerakan solat seperti takbiratul ihram, sujud dan tahiyat. Mesejnya jelas. Ia kelihatan begitu natural dan realistik.

Penampilan solo pertama Megat Zaim Zharif, 25, berjudul Haluan: Perkongsian Pemikiran Pendirian dan Pemilihan (Haluan) itu juga mencerminkan jalan penerokaan yang dipilihnya dalam dunia seni halus dan dunia realiti.

“Seni halus itu proses pemerhatian dan lazimnya melihat keindahan. Islam itu indah. Dahulu saya juga tidak jelas dengan keindahan hidup beragama tetapi bila saya mendalami bidang tersebut saya dapat merasainya.

“Saya memilih solat kerana kedudukan ibadat itu yang tinggi dan istimewa. Dari segi sejarah, tertib, disiplin, fadilat dan hukum-hakamnya begitu seimbang dan menampakkan keindahan Islam,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.


PEMILIHAN subjek berbentuk figuratif dilihat lebih mudah difahami khalayak.


Sembunyi wajah

Menurutnya, beliau menggemari subjek figuratif dan cenderung menyerlahkan unsur realisme dalam karya-karyanya kerana ia lebih mudah dirasai dan dekat dengan diri manusia itu sendiri.

Beliau juga kelihatan selesa menyembunyikan wajah subjek lukisannya dan lebih memperincikan anggota badan tertentu seperti tangan dan kaki menggunakan teknik crop dalam merakamkan sesuatu pergerakan.

“Biarlah khalayak tidak tahu siapa individu yang dijadikan subjek itu. Cukup jika mereka nampak yang menunaikan solat itu manusia dan ia boleh mewakili sesiapa sahaja.

“Katakanlah saya melukis individu tertentu menunaikan solat, saya bimbang menimbulkan fitnah jikalau pada masa depan mereka tidak mampu untuk terus memikul mesej yang ingin saya sampaikan dan dipandang serong masyarakat,” jelasnya.

Dalam pada itu, penggunaan tona warna lembut yang dominan dan sorotan cahaya persis mewakili zon waktu subuh, duha dan maghrib dilihat sedikit sebanyak menarik perhatian khalayak untuk menghayati roh spiritual Islam yang ingin diketengahkan.

“Saya berharap hasil seni yang saya kongsikan ini menjadi medium komunikasi visual serta saluran menyampaikan mesej dakwah kepada orang ramai.

“Mudah-mudahan ia dapat memberi manfaat pada masa yang sama diharap menjadi saham akhirat saya di sisi Yang Maha Kuasa,” ujarnya.

Process time in ms: 31