DUNIA

65 juta jadi pelarian seluruh dunia

65 juta jadi pelarian seluruh dunia


AFP - PETUGAS PBB mengagihkan bekalan air bersih kepada pelarian Nigeria di kem Kidjendi, Diffa, Niger kelmarin.


GENEVA – Angka pelarian dan orang yang terpaksa melarikan diri dari rumah di seluruh dunia memecah satu rekod baharu apabila jumlah itu meningkat kepada 65.3 juta pada hujung tahun lalu, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Jumlah yang mengatasi krisis kemanusiaan semasa Perang Dunia Kedua itu didahului oleh rakyat Palestin, Syria dan Afghanistan.

Di peringkat global, sekurang-kurangnya satu peratus daripada manusia terpaksa melarikan diri daripada krisis.

“Ini merupakan kali pertama bahawa jumlah keseluruhan telah melepasi sebanyak 60 juta pelarian,” kata agensi pelarian PBB.

Angka berkenaan dikeluarkan sempena Hari Pelarian Dunia yang dikatakan merupakan satu jumlah krisis pelarian yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Ketika konflik dan penindasan yang berlaku menyebabkan semakin ramai terpaksa melarikan diri selain sentimen politik antiimigran semakin tegang bagi menempatkan golongan pelarian.

“Keadaan ini bukan sahaja melibatkan kesediaan beberapa negara untuk bekerjasama dalam isu pelarian tetapi kepentingan manusia secara kolektif turut diuji pada hari ini,” kata Ketua Suruhanjaya PBB Bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi.

Angka pelarian telah mening­kat sejak pertengahan tahun 1990, namun kadar itu semakin melonjak sejak tercetusnya perang saudara di Syria pada tahun 2011.

Menurut statistik PBB, daripada 65.3 juta pelarian, kira-kira 40.8 juta masih berada di dalam negara mereka, manakala 21.3 juta pula telah melarikan diri dengan merentasi beberapa sempadan.

Bagaimanapun, penduduk Palestin merupakan kumpulan pelarian terbesar dengan lebih lima juta orang termasuk yang melarikan diri sejak penubuhan Israel pada 14 Mei 1948.

Syria pula mencatatkan sebanyak 4.9 juta pelarian diikuti dengan Afghanistan (2.7 juta pelarian) dan Somalia (1.1 juta).

Sementara itu, UNCHR berkata, terdapat tanda-tanda membimbangkan di Amerika Tengah apabila jumlah peningkatan orang melarikan diri daripada kumpulan-kumpulan yang melakukan keganasan semakin meningkat kepada 17 peratus.

– AFP

Rencana Utama!»

Teruja sambut Aidilfitri di Malaysia

MUHAMMAD Rasyad, (kiri), Muhammad Adam (tengah) dan Zuhaira menyambut hari raya pertama bersama mualaf lain di Hidayah Centre Foundation sebelum berlepas ke Abu Dhabi pada hari raya kedua.

Process time in ms: 31