VARIA

Kisah sosial Voice Of The Voiceless

Kisah sosial Voice Of The Voiceless

Kenny berharap agar pengunjung dapat menerima baik mesej yang cuba disampaikan dalam pameran kali ini


EKSPRESI seni mendukung inspirasi dari sudut pandang seorang pelukis tentang sesuatu realiti yang diolah bersandar pada laras kreativiti coretan di atas kanvas.

Tidak kira ia sekadar picisan pendapat mahupun kritikan isu semasa, sebuah lukisan mampu dilihat sebagai medium yang menjadi pengantara komunikasi pelukis dan masyarakat umum.

Pameran Voice Of The Voiceless adalah platform yang merangkumkan 17 lukisan sudut pandang pelukis yang dicerna dalam ekspresi seni.

Menghimpunkan lima pelukis prolifik dari serata Malaysia, pameran anjuran Galeri G13, Kelana Square, Kelana Jaya Selangor itu sedang berlangsung sehingga 28 Mei 2016.

Menurut Pengarah Galeri 13 dan Kurator Pameran Voice Of The Voiceless, Kenny Teng, pemilihan tema untuk penganjuran pameran seni kali ini adalah bertujuan untuk membawa kelainan dan sudut berbeza suara hati anak seni.

“Pemilihan tema, Respons Sosial Semasa untuk pameran kali ini merupakan wadah baharu yang ingin diketengahkan, sekali gus membuka peluang untuk pengkarya menyampaikan suara rakyat atau persepsi mereka terhadap realiti semasa.

“Pameran ini melibatkan karya seni lima orang pelukis. Mereka dipilih berdasarkan portfolio seni mereka yang selaras dengan tema pameran kali ini,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di Galeri G13 baru-baru ini.


Salah seorang pelukis menampilkan hasil seni berkonsep interaktif yang bakal menarik minat penggemar seni.


Mesej kemanusiaan

Tambahnya, pameran kali ini bukanlah semata-mata membawa kritikan terhadap isu sosial semasa tetapi ia juga mendukung mesej kemanusiaan yang kini semakin meruncing.

Perancangan dan olahan untuk Pameran Voice Of The Voiceless memakan masa selama lebih lapan bulan untuk membuka ruang kepada pelukis menghasilkan karya terbaharu mereka.

Antara pelukis yang terlibat ialah Gan Chin Lee, Chong Kim Chew, Gan Sze Hooi, Ruzeki Harris dan Siund Tan.

Mengulas tentang lukisan yang dipersembahkan untuk Pameran Voice Of The Voiceless, Kenny memberitahu, setiap hasil seni menyampaikan penceritaan yang jelas dan telus.

Antara lukisan yang menarik perhatian ialah The Nut Workers, Habitation Debric, Habitation Debris, The Stranger, City Tales, End Game Boss Fight dan Dick-tum.

Setiap pengunjung bakal melihat kreativiti pelukis dalam menyuarakan pendapat dan menggambarkan kepiluan masyarakat masa kini.

“Pelukis jarang bersuara secara vokal, mereka lebih memilih untuk mencoretnya di atas kanvas. Disebabkan itu, penglibatan lima pelukis berbakat ini telah mentafsir tema yang diketengahkan dengan jayanya.

“Ia bukan sekadar ruang menyuarakan pendapat, malah boleh dijadikan sebagai sumber rujukan sejarah yang menyingkap 1,001 kisah senario sosial,” ujarnya.

Horizon!»

Pengalaman indah belai, manjakan gajah

Dua ekor anak gajah ini melakonkan semula kejadian sebenar ibunya mati sebelum kedua-duanya ditangkap oleh Perhilitan dan ditempatkan di KECV.

Varia!»

Terminal Pukal Lekir beroperasi selama 24 jam

Kesibukan sering berlaku di pintu masuk LBT yang membekalkan arang batu ke Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjung, Perak.

Process time in ms: 32