STAILO

Kongsi teknik solekan di media sosial

Kongsi teknik solekan di media sosial

TEKNIK solekan yang diajar Shafiqah akan dimuat naik ke laman YouTube.


“SAYA mula menjaga wajah seawal usia 12 tahun,” ujar wanita ceria itu.

Tambah Nurul Shafiqah Shafie atau lebih mesra disapa Shafiqah, keadaan itu berlaku selepas dia datang haid.

Saban hari, Shafiqah akan menjaga kulit wajahnya dengan mengamalkan tiga perkara asas dalam penjagaan muka seperti mencuci, menggunakan penyegar dan pelembap sebagai rutin hariannya.

Jadi tidak hairanlah mengapa wanita berusia 25 tahun itu memiliki kulit muka yang tiada cela.

“Saya tidak tahu pun yang ramai gadis tidak mengamalkan rutin ini. Saya ingat ia adalah perkara normal apabila datang haid, kita akan cepat-cepat pakai produk penjagaan wajah.

“Bila orang tanya, mereka terkejut kerana saya begitu rajin mengamalkan tiga perkara ini sejak usia kanak-kanak,” katanya yang tidak lekang dengan senyuman di bibir.

Mencungkil lagi rahsia penjagaan wajahnya, anak kedua daripada lima beradik itu suka membaca petua-petua awet muda di majalah yang dimiliki ibunya.

Walaupun pada ketika itu baru berusia 12 tahun, dia sudah berminat untuk belajar cara-cara mendapatkan kulit yang cantik.

“Sekarang ini, bila saya jumpa orang, mereka akan tanya saya ada ambil apa-apa ubat ke? Maksud mereka seperti vitamin C.

“Tidak! Berkali-kali saya terangkan, ia adalah hasil saya jaga muka dari zaman sekolah, tetapi masih ada tidak percaya sehingga menyangka saya cucuk muka pula,” jelasnya sambil ketawa.

Solekan nipis

Bercerita lebih lanjut, Shafiqah menjelaskan, pada mulanya dia tidak tahu ramai yang sukakan kulit wajahnya. Hanya pada setahun lalu, segelintir rakan memuji kulit mukanya kelihatan bersinar lebih-lebih lagi apabila dia mengenakan solekan nipis.

Sejak itu, Shafiqah yang memiliki Diploma Komunikasi Media Massa dari Universiti Limkokwing, Cyberjaya mula berjinak-jinak dengan menata rias wajah rakan-rakan.

“Saya sebenarnya suka solek muka kawan. Semasa menjadi pramugari di AirAsia X, saya kerap ajak rakan ke bilik untuk buat rawatan muka.

“Tidak sangka mereka suka dan ramai yang minta petua tentang penjagaan kulit wajah,” ujarnya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Ditanya mengapa dia berhenti daripada kerja tersebut, Shafiqah memberitahu, dia begitu emosional semasa kejadian pesawat MH370 hilang dan MH17 terhempas dua tahun lalu.

“Terus terang saya cakap, mereka yang bekerja dengan syarikat penerbangan begitu terkesan dengan perkara berkenaan. Saya ada ketikanya takut untuk pergi kerja.

“Saya menyuarakan hasrat kepada suami untuk berhenti, dia tanya nanti tidak bosan ke tinggal di rumah, tetapi setelah berbincang, dia menyuruh saya menggunakan kebolehan yang ada,” jelasnya yang berkahwin pada usia 21 tahun.

Momen


SHAFIQAH (tengah) bersama pelajarnya semasa kelas solekan di salah sebuah hotel di ibu kota.


Walaupun, kurang yakin, atas sokongan suami dan keluarga, Shafiqah akhirnya mengambil keputusan untuk belajar solekan di Sekolah International SUB di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Wanita yang memiliki signatur memakai cekak rambut telinga kucing itu mula menghadiri kursus solekan pada Jun tahun lalu sebelum tamat pada Februari tahun ini.

Walaupun ketika itu, baru sahaja menjalani kursus, namun sudah mendapat permintaan untuk melakukan solekan selepas akaun Instagramnya, Pinkboxcereal dilayari ramai pengikut.

“Banyak momen yang berjaya saya kumpul sepanjang menjadi penata solek ini. Paling memberi kesan kepada saya apabila terpilih menjadi salah seorang jurusolek untuk model-model pereka fesyen terkenal, Alia Bastamam pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur tahun lalu.

“Selain itu, selebriti terkenal, Diana Danielle sendiri menghubungi saya untuk menyolek modelnya dengan menggunakan alat kosmetik Luxuria,” katanya dalam nada teruja.

Sejak itu, Shafiqah tidak menoleh ke belakang lagi. Dia mula bereksperimentasi dengan alat solek untuk mendapat hasil solekan yang melambangkan identitinya sendiri.

Kelas solekan

Dia begitu gembira apabila hasil tangannya digemari ramai pihak terutamanya apabila dia menggunakan solekan natural sebagai signature look. Baginya, solekan natural cukup untuk menonjolkan beberapa ciri penting wajah bagi menaikkan seri.

“Saya lebih banyak mengajar mereka yang mahu bersolek tetapi tidak tahu bagaimana caranya. Saya akan ajar dari awal hingga mendapat solekan yang sempurna.

“Tidak perlu malu kerana selain mengadakan latihan solekan bersama rakan lain, ada juga yang ingin saya mengajar secara berseorangan,” katanya yang menjadikan Huda Beauty yang berasal dari Dubai sebagai mentor.

Lebih menarik, Shafiqah hanya menggunakan alat solek bebas bahan kimia dan ujian keberkesanan produk yang dilakukan pada haiwan.

“Saya memang tidak menggunakan alat solek yang menjadikan haiwan sebagai bahan ujian. Antara alat solek yang menjadi kegemaran saya adalah Silkygirl, Bobbi Brown, Nars, NYX dan Urban Decay,” ujarnya yang akan memuat naik tutorial solekan di laman sosial YouTube, Facebook dan Instagram untuk dikongsi bersama pengikut-pengikutnya.

Kini, hampir setiap hari ada sahaja individu perseorangan ataupun kumpulan ingin mendapatkan ilmu solekan dengannya.

Jelasnya, dia hanya mengenakan bayaran sebanyak RM150 untuk seorang bagi empat jam sesi belajar solekan secara berkumpulan manakala, perseorangan pula RM750.

Lazimnya, Shafiqah mengadakan kelas tersebut di hotel, tetapi bermula tahun ini, Pinkboxcereal sudah memiliki studio mini di Bandar Mahkota Cheras.

Pada masa akan datang, Shafiqah mengimpikan sebuah sekolah kecantikan khusus untuknya mengajar teknik penjagaan wajah, asas solekan dan dandanan rambut.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 63