RENCANA UTAMA

Hala tuju pejuang demokrasi Suu Kyi

Hala tuju pejuang demokrasi Suu Kyi



Berjuang sejak 1990, parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) berjaya menumbangkan junta tentera untuk beralih kuasa sekali gus mencipta sejarah dalam arena politik negara itu selepas kemenangan NLD pada awal penubuhan parti itu diketepikan.

“NLD sangat jelas dengan kejayaan kali ini yang menggambarkan kemenangan pada tahun 1990. Namun, kemenangan itu tidak diendahkan oleh jeneral yang masih meneruskan kuasa selama lebih dua dekad.

“Walaupun kami gembira dengan kemenangan ini, kita tetap bimbang bahawa sejarah mungkin berulang. Kami tidak fikir peralihan kuasa akan menjadi 100 peratus sempurna,” ujar jurucakap NLD, Win Htein saat awal parti tersebut diumumkan memenangi pilihan raya yang diumumkan baru-baru ini.

Berita kemenangan besar NLD dinanti-nantikan kira-kira 30 juta rakyat Myanmar sejak pilihan raya diadakan pada Ahad dua minggu lalu selepas proses pengiraan undi memakan masa hampir seminggu. Parlimen Myanmar terbahagi kepada dua bahagian iaitu Dewan Rendah dan Dewan Tinggi. Ia melibatkan jumlah kerusi sebanyak 664 dan 110 daripadanya dikhaskan untuk wakil tentera. Sebanyak 484 kerusi diper­tandingkan pada pilihan raya kali ini selepas proses pemilihan di tujuh kawasan dibatalkan ekoran faktor keselamatan.

“Kami tahu bahawa sesuatu luar biasa berlaku. Kami semua sedar ini ialah satu masa yang sangat luar biasa untuk Burma. Ini ialah satu detik istimewa bagi negara kita,” tuturnya tatkala meraih kemenangan bermakna dalam pilihan raya baru-baru ini.

Bakal mengambil alih tampuk pimpinan negara yang sebelum ini diterajui oleh Thein Sein, Aung San Suu Kyi yang dianggap sebagai ‘wanita besi’ dilihat mampu memberi satu perubahan besar untuk mengubah landskap politik, sosial dan isu-isu kemanusiaan negara itu termasuklah Rohingya.

Meskipun begitu, Suu Kyi berdepan dengan sekatan untuk mengambil alih jawatan Presiden kerana perlembagaan Myanmar yang digubal pada 2008 menghalang individu yang berkahwin dengan rakyat asing atau anak warga negara lain untuk memegang jawatan tersebut.


Baju-T (atas) yang dicetak dengan imej Suu Kyi dipamerkan di salah sebuah syarikat percetakan di Yangon.


Takdir

Bagaimanapun, kejayaan meraih lebih 380 undi kerusi parlimen menyaksikan kemenangan majoriti NLD yang kini menguasai Dewan Rendah dan Dewan Tinggi Parlimen membolehkan salah seorang daripada parti tersebut dipilih sebagai Presiden.

Selepas kemenangan tersebut, Suu Kyi turut mengutuskan surat kepada ketua angkatan tentera dan Presiden pada 10 November lalu untuk meminta satu pertemuan diadakan dalam masa seminggu bagi membincangkan asas-asas perdamaian nasional.

“Pertemuan ini penting demi maruah negara dan supaya rakyat tenang,” jelas Suu Kyi dalam surat tersebut.

Menyingkap sejarah wanita yang menjangkau umur 70 tahun itu, Suu Kyi berkahwin dengan seorang pensyarah berdarah British, Michael Aris, Suu Kyi menjadi suri rumah dan membesarkan dua orang anak, Alexander dan Kim di London.

Suu Kyi sentiasa percaya bahawa takdirnya adalah untuk berkhidmat dengan orang Burma, malah perkara tersebut turut dimaklumkan kepada suaminya ketika malam perkahwinan mereka.

“Saya mahu memastikan dia tahu bahawa Myanmar benar-benar besar maknanya buat saya. Dia tidak boleh menghalang saya apabila ada keperluan untuk kembali ke tanah air,” kongsi wanita itu.

Keberadaan beliau di Myanmar sekitar 1988 selepas ibunya sakit, memberi Suu Kyi peluang menyaksikan pergolakan di negara itu setelah peletakan jawatan oleh Jeneral U Ne Win pada Ogos 1988 yang memerintah secara diktator sejak lebih 20 tahun.

“Sebagai anak kepada Aung San, saya tidak boleh bersikap acuh tidak acuh dengan situasi yang berlaku,” katanya dalam satu ucapan di Rangoon pada Ogos tahun yang sama.

Kelantangan bersuara menyebabkan wanita itu dikenakan tindakan tahanan di rumah dan menyekat sebarang komunikasi dengan dunia luar oleh kerajaan Kesatuan Myanmar pada Julai 1989.

Setiap hari selama hampir 20 tahun dalam tempoh berkurung, Suu Kyi mempunyai dua pilihan sama ada untuk terus dikurung di rumahnya atau kembali ke pangkuan keluarganya di London. Namun, beliau tegar memilih untuk berjuang bersama rakyat Myanmar kerana jika keluar dari negara itu, dirinya mungkin tidak akan dibenarkan kembali semula.

Bercerita tentang ibunya, Kim memberitahu ibunya sangat kuat.


PENGARUH Suu Kyi sebagai pejuang hak asasi manusia begitu kuat di Myanmar.


“Saya rasa dia benar-benar kuat. Dan anda tahu, sekalipun dia sedih tentang sesuatu, dia tidak akan membazirkan masa dengan menangis tentang perkara itu,” jelasnya lagi.

Semangat

Suu Kyi sebagai isteri dan ibu juga turut diseksa perasaannya kerana dalam tempoh tahanan, pemimpin itu tidak dibenarkan untuk melihat dua anak lelaki malah tidak sempat berjumpa dengan suaminya, Michael yang meninggal dunia akibat kanser pada Mac 1999.

“Saya mahu bersama keluarga, Saya mahu melihat anak lelaki membesar di depan mata. Namun, saya tidak sesalan tentang pilihan untuk tinggal di bumi ni,” luahnya.

Bagaimanapun, semangat juangnya tidak pernah luntur dan kini usahanya berbaloi untuk mewujudkan satu negara demokrasi yang aman dan bebas di Myanmar.

“Kemenangan itu mestilah untuk seluruh negara, bukan untuk pihak tertentu atau bersifat individu. Saya ingin mengajak anda semua untuk cuba bekerja bersama-sama bagi mencapai kemenangan yang benar,” seru Suu kyi ketika berucap di hadapan penyokongnya sebelum ini.

Walaupun Suu Kyi mencatat sejarah baharu, hala tuju Myanmar ke arah negara berdemokrasi dilihat masih berliku kerana beliau masih berkongsi kuasa dengan pihak tentera.

“Saya masih boleh berkuasa di bawah kepimpinan Presiden baharu,” kata Suu Kyi sambil menyifatkan Perlembagaan junta tentera itu sebagai mengarut.

Namun, persoalannya ialah jika benar Suu Kyi memperjuangkan demokrasi, apakah beliau akan membela jenayah kemanusiaan etnik Rohingya atau masih mendiamkan diri?

Dalam satu wawancara akhbar The Guardian tiga tahun lalu, beliau pernah mencetuskan kontroversi dengan menyatakan tidak mengetahui etnik Rohingya boleh dianggap sebagai penduduk Myanmar. Bagaimanapun, dalam satu temu bual Jun lalu dengan Washington Post, Suu Kyi memberitahu, isu Rohingya adalah sangat sensitif dan perlu ditangani dengan penuh hati-hati.

Ketika ditebak tentang keperluan memberikan kewarganegaraan kepada etnik itu, beliau menjelaskan, kerajaan sedang mengesahkan taraf kewarganegaraan Rohingya di bawah undang-undang kerakyatan 1982.

“Saya rasa mereka perlu melakukannya dengan cepat selain membuat keputusan tentang langkah-langkah yang patut diambil untuk isu ini,” katanya.

Tambahnya, negara itu mempunyai banyak golongan minoriti yang sentiasa bercakap tentang hak minoriti, keamanan dan keharmonian selain menuntut persamaan dan lain-lain perkara.

Pada hematnya, perkara tersebut perlu dikemukakan dengan sangat berhati-hati kerana melibatkan pelbagai agama dan perkauman.

“Ia sangat sulit dan tidak boleh diselesaikan semalaman,” tegas wanita itu.

Process time in ms: 62