RENCANA UTAMA

Menelusuri jejak pertahanan darat

Menelusuri jejak pertahanan darat




TERLETAK kira-kira dua meter (m) dari permukaan tanah, mempunyai kelebaran 1.5m dan kedalaman 2m, sebuah terowong bawah tanah dibina bagi memberikan gambaran suasana markas pemberontak komunis di Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

Dilengkapi dengan replika bilik bedah serta bilik gerakan komunis, terowong yang dikenali dengan nama Terowong PKM (Parti Komunis Malaya) tersebut turut menempatkan pelbagai barangan seperti senjata sebenar yang pernah digunakan gerila komunis, bekalan makanan serta dokumen propaganda.

Replika terowong yang agak sempit dan hanya berbekalkan cahaya malap itu merupakan salah satu daya penarik kepada orang ramai bagi mengunjungi Muzium Tentera Darat yang terletak di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Walaupun terowong ini adalah sebuah replika dan bukan binaan asal seperti di Betong, Thailand, ia mampu membuatkan pengunjung berasa gerun apabila berada di dalamnya. Ini kerana keadaannya yang sedikit gelap dan laluan sempit akan mengingatkan kita mengenai kekejaman komunis suatu ketika dahulu.

“Saya juga dapat mengetahui banyak perkara berkaitan komunis seperti peralatan dan senjata yang digunakan ketika melakukan pemberontakan terhadap negara ini dahulu,” kata Nur Azlin Elana Kamarul Bahri, 19, yang pertama kali mengunjungi muzium dan memasuki terowong sepanjang 142m itu.

Pelajar jurusan Pelancongan dan Hospitaliti, Politeknik Merlimau Melaka yang berkunjung bersama rakannya itu menyifatkan lawatan tersebut mampu meningkatkan semangat cintakan negara.

“Muzium merupakan satu tempat yang baik untuk mengenali dengan lebih dekat sejarah sesuatu tempat atau peristiwa yang pernah berlaku suatu ketika dahulu selain mendapatkan maklumat melalui bahan bacaan kerana sedikit sebanyak kita dapat merasai pengalaman yang pernah dilalui oleh orang terdahulu.

“Saya sangat berbangga apabila berpeluang menjejakkan kaki ke sini kerana dapat mengetahui secara dekat perjuangan tentera negara ini mempertahankan kedaulatan tanah air walaupun tidak pernah melalui zaman darurat dan peperangan seperti orang terdahulu,” ujarnya ketika ditemui di muzium berkenaan baru-baru ini.

Mempunyai dua blok bangunan utama, muzium tersebut menempatkan lapan galeri pameran yang disusun mengikut peredaran masa termasuk Galeri Era Portugis dan Belanda, Galeri Era British di Tanah Melayu, Galeri Era Penubuhan Askar Melayu dan Galeri Era Kemerdekaan.

Keunikan


Muzium tentera terbesar di Malaysia yang dibuka kepada umum sejak tahun 2005 ini mempunyai keluasan 2.5 hektar.


Keunikan yang terdapat pada Muzium Tentera Darat tersebut bukan sahaja terletak pada galerinya, malah dari segi bangunannya yang merupakan bekas berek latihan tentera terawal yang siap dibina pada tahun 1935 bagi menempatkan rekrut tentera sehingga tahun 2000.

Bangunan tersebut juga dibina selepas penubuhan Kompeni Percubaan Askar Melayu pertama pada tahun 1933 yang dianggotai oleh 25 orang anak watan.

“Tidak seperti muzium biasa lain, Muzium Tentera Darat ini lebih tertumpu kepada segala aspek berkaitan ketenteraan dari zaman penjajahan British dan Portugis hingga ke hari ini. Malah, ia turut meliputi zaman kegemilangan Melaka yang menjadi asas kepada sistem pertahanan masa kini.

“Artifak paling lama dipamerkan di sini ialah meriam gunung milik pihak British yang bersaiz kecil dan dihasilkan pada tahun 1881 seberat lebih kurang 91 kilogram.

“Di muzium ini, kami turut menyelitkan elemen masa hadapan dengan mewujudkan sebuah kapsul masa yang mengandungi aspirasi keutuhan Tentera Darat daripada Panglima Tentera Darat ke-22, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin untuk dibuka dan dibacakan oleh Panglima Tentera Darat akan datang pada 1 Mac 2033 sempena 100 tahun penubuhan tentera darat,” terang Penyelia Pameran dan Promosi Muzium Tentera Darat, Staf Sarjan Mohd. Fareezal Amri Abdullah.

Kereta perisai


Muzium Tentera Darat ini terdiri daripada lapan galeri pameran yang dibahagi mengikut peredaran zaman sejak penjajahan British sehingga hari ini.


Tidak sempurna sesebuah muzium tentera sekiranya ia tidak dilengkapi dengan pameran aset-aset penting seperti kereta perisai, kenderaan pengangkut dan senjata berat yang diletakkan di ruang pameran luar sebagai salah satu daya penarik kepada pelancong serta bagi melambangkan sebahagian kekuatan pasukan pertahanan negara.

Di samping pameran senjata, artifak dan dokumen-dokumen penting, sebuah kawasan rimbun yang dilengkapi dengan pondok, perangkap samar dan jambatan gantung diwujudkan bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai suasana tinggal di dalam hutan seperti seorang askar semasa menjalankan operasi ketenteraan.

Muzium Tentera Darat yang dibuka kepada umum dengan rasminya pada 28 Jun 2005 itu tidak terkecuali untuk menempatkan bukan sahaja aset tentera darat malah Tentera Udara Diraja Malaysia seperti pesawat A4 Skyhawk, Caribou dan helikopter Alloutte sebenar yang pernah digunakan oleh pasukan pertahanan tersebut.

Menurut Pengarah muzium itu, Leftenan Kolonel Abd. Rahman Mohamed, destinasi tarikan pelancong itu merupakan muzium tentera yang terbesar di negara ini dan mempunyai keluasan keseluruhan 2.5 hektar.

Bagaimanapun, kawasan muzium yang dibuka kepada umum pada ketika ini hanya meliputi kawasan seluas 1.1 hektar berikutan kerja-kerja membaik pulih serta mengubah suai bangunan pada fasa ketiga dan keempat masih lagi belum selesai sepenuhnya.

Sementara itu, kerja-kerja mengubah suai sebuah blok yang sedang giat dijalankan untuk dijadikan Galeri Panglima Tentera Darat dijangka siap pada penghujung tahun ini dan dirancang dibuka kepada umum awal tahun hadapan.

“Selain membuka galeri baharu, kami juga merancang untuk mempamerkan sebuah kereta perisai jenis Radpanzer Condor yang pernah digunakan tentera kita untuk menyelamatkan tentera Amerika Syarikat semasa Operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Somalia II (UNOSOM II) pada tahun 1993 seperti yang dipaparkan dalam filem Black Hawk Down.

“Apabila fasa ketiga dan keempat siap sepenuhnya, kelak ia akan merangkumi beberapa galeri dan kemudahan lain seperti Galeri Panglima Tentera Darat, Galeri Tokoh, perpustakaan, bengkel pemulihan dan simulator latihan menembak,” katanya yang mula ditugaskan di muzium tersebut sejak tahun lalu sebagai pegawai kurator.

Tambah Abd. Rahman, penyempurnaan dua fasa terakhir tersebut dijangka dapat menambahkan jumlah pengunjung ke situ. Pada ketika ini, muzium itu menerima lebih kurang 500 orang sewaktu hari biasa dan mencecah tiga kali ganda semasa musim cuti persekolahan.

Sempena pertunjukan Tatu Tentera Darat yang akan diadakan pada bulan depan di Bandar Tentera Darat tersebut, pintu muzium akan dibuka kepada umum pada waktu malam berbanding hari-hari biasa.

Process time in ms: 46