VARIA

Pelukis baharu tonjol bakat

Pelukis baharu tonjol bakat


ANTARA pelukis-pelukis yang terlibat dalam pameran Platform 2 di Galeri Chandan, Publika, Kuala Lumpur yang berlangsung sehingga 18 September ini.


Umpama cendawan tumbuh se­lepas hujan, itulah perumpa­maan yang sesuai digambarkan terhadap perkembangan se­ni kontemporari di negara ini.

Saban tahun dianggarkan hampir 1,000 graduan seni berjaya dilahirkan oleh universiti awam mahupun kolej-kolej.

Lambakan ini, mewujudkan persaingan yang sihat antara para pelukis sekali gus meningkatkan martabat seni kon­temporari tanah air.

Bagaimanapun, perkembangan ini tidak seiring dengan pertumbuhan galeri seni di Malaysia sehingga menyebabkan pengkarya muda kekurangan pentas untuk mempa­merkan karya-karya mereka.

Bertitik tolak daripada situasi tersebut, Galeri Chandan, Publika, Kuala Lumpur mengambil inisia­tif untuk menganjurkan pameran khusus untuk pendatang baharu dalam industri itu.

Pameran dikenali sebagai Platform II itu mengumpulkan seramai 19 orang pelukis dari lima buah institusi pengajian tinggi iaitu Akademi Kesenian Dasein, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia, Institut Kesenian Malaysia dan Universiti Multimedia Malaysia.

Antara pelukis yang terlibat da­lam pameran tersebut ialah Muhammad Faiz Sabri, Kamal Sazali, Nazrul Hamzah, Nurazmi Noh, Rais Azmie, Fatah Syukri, Nur Muhammad Amin, Muhammad Nur Faisa, Jasmine Cheong, Khairul Ehsani Sapari, Koo Yean Ni dan Lam Shun Hui.

Penganjuran pameran itu yang berakhir pada 18 September ini adalah hasil kejayaan Platform I kira-kira dua tahun lalu.

Salah seorang pelukis yang terlibat, Danial Fuad, 24, berkata, pa­me­ran itu memberi peluang kepada beliau untuk mengetengahkan karya­nya.

Sempena pameran itu bekas pelajar jurusan Fotografi UiTM Puncak Alam, Selangor itu mengetengahkan karya bertajuk Matron’s Ballad.

Menurut anak kelahiran ibu kota itu, karya berukuran 77x62 sentimeter itu merupakan sebuah imej fotografi yang dihasilkan melalui teknik Foto Dinamicsion.

“Karya ini cukup unik kerana ia dihasilkan melalui salah satu tek­nik fotografi yang saya pelajari ketika di universiti dahulu.


SALAH sebuah karya yang terdapat dalam pameran Platform II.


“Teknik ini berjaya menghasilkan sebuah imej yang menampakkan pergerakan seorang penari balet secara perlahan,” katanya yang mengambil masa selama enam jam di dalam studio untuk menghasilkan karya tersebut.

Tonjol diri

Bagi Lim Yong Wei, 22, beliau mahu menjadikan pameran tersebut sebagai platform kepadanya menonjolkan diri dalam industri.

Tambah menarik, karya bekas pelajar Akademik Kesenian Desein itu yang bertajuk In Rove berjaya menambat hati pengumpul karya seni.

“Pertama sekali, saya ingin berterima kepada pihak galeri kerana sudi menjemput saya untuk pame­ran kali ini.

“Karya In Rove merupakan sebuah lukisan yang menampilkan se­orang wanita yang sedang bersiar-siar di sebuah taman seperti digambarkan dalam novel Alice in Wonderland,” katanya yang memilih menggunakan medium cat minyak atas kanvas.

Sementara itu, Ahmad Rais Mohamed Azmi, 22, pula memilih untuk mempamerkan dua buah karya potret dalam pameran tersebut.

Menurut pelajar jurusan Seni Halus di UiTM Lendu, Melaka itu, kedua-dua karya tersebut menampilkan potret anak buahnya sendiri yang berusia lima tahun.

“Saya mengambil masa lebih ti­ga bulan untuk menyiapkan ke­dua-dua buah karya ini. Bagi karya Beloved I, saya menggunakan medium cat minyak, manakala Beloved II pula menggunakan medium warna pensel di atas kertas kraf,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Bagi pengunjung yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat karya-karya dalam pameran Platform II, bolehlah berkunjung ke Ga­leri Chandan.

Process time in ms: 47