SUKAN

Hakimi lebur rekod Sukan SEA

Hakimi lebur rekod Sukan SEA

HAKIMI melakar kejutan apabila meraih pingat emas acara lompat kijang lelaki dengan lompatan sejauh 16.76m, sekali gus tercatat sebagai rekod baharu Sukan SEA.


SINGAPURA – Jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail membuktikan langkah Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyenaraikan­nya dalam kontinjen negara untuk beraksi pada Sukan SEA 2015 di Singapura adalah berbaloi.

Hakimi yang sebelum ini gagal melepasi syarat awal ditetapkan KOM, namun tetap terpilih berdasarkan statusnya selaku pemenang pingat perak pada temasya yang sama di Myanmar dua tahun lalu.

Atlet berusia 24 tahun itu bukan sahaja menggegarkan bumi Temasek dengan pingat emas, namun turut meleburkan rekod temasya Sukan SEA pada aksi final di Stadium Nasional Si­ngapura semalam.

Kejayaan membanggakan itu hadir menerusi lompatan terakhir dengan catatan sejauh 16.76 meter, sekali gus memadam rekod lama, 16.67m yang dilakukan oleh Nguyen Van Hung dari Vietnam pada Sukan SEA 2013.

Hakimi tidak menjangka melakar kejayaan itu kerana ia secara tak langsung menjadi rekod baharu kebangsaan, memadam catatan lamanya, 16.44m.

“Pada awalnya saya tidak berjaya melepasi syarat kelayakan untuk beraksi pada Sukan SEA kali ini tetapi nama saya tetap dihantar memandangkan saya menang pingat perak di Myanmar dua tahun lalu.

“Jadi, harapan kepada saya agak tinggi. Saya hanya tumpu untuk memberikan aksi terbaik. Saya memang sasarkan untuk bawa pulang satu pingat.

“Kejayaan mengatasi rekod temasya adalah satu kejutan, saya sendiri se­perti tidak percaya,” kata Hakimi yang berjaya menumpaskan Van Hung pada Sukan SEA kali ini.

Van Hung terpaksa berpuas hati di tempat ketiga apabila sekadar melakukan lompatan sejauh 15.92m, manakala pingat perak diraih atlet Thailand, Kongnil Varunyoo (16.20m).

Sementara itu, hasrat pemegang rekod kebangsaan dalam acara lompat bergalah, Iskandar Alwi untuk memperbaiki pencapaian pingat perak dua tahun lalu tidak berjaya apabila sekadar memenangi gangsa.

Iskandar sekadar melepasi ketinggian 5.05m berbanding Purrahong Puranot yang meraih pingat emas dan mencipta rekod baharu temasya dengan catatan 5.30m.

Wakil Filipina, John Ernest Obiena dengan ketinggian 5.25m membawa pulang pingat perak.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 62