VARIA

Pameran seni amal bantu mangsa banjir

Pameran seni amal bantu mangsa banjir


MEGAT ZAIM ZARIF mengetengahkan lukisan bertajuk Syahadah yang sangat simbolik kepada umat Islam.


PRIHATIN dengan nasib mangsa banjir khususnya di Manek Urai dan Kuala Krai, Kelantan tahun lalu, Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Galeri Chandan akan mengadakan Pameran seni Amal #Art4ManekUrai selama sebulan mulai 8 Mei ini.

Pameran seni amal tersebut bertujuan untuk mengumpul dana bagi meringankan beban mangsa banjir melalui pembinaan rumah kekal dan sementara.

Melalui program tersebut, Galeri Chandan sebagai rakan kemanusiaan akan mengadakan pameran amal bertempat di Galeri Chandan, Lot 24 dan 25, Aras G4, Blok C5, Publika Shopping Gallery, Jalan Dutamas 1, 50480 Kuala Lumpur.

Ia akan mula dibuka kepada orang ramai terutama untuk, pencinta seni pada pukul 6 petang sehingga 12 tengah malam.

Pameran itu akan menghimpunkan karya seni visual berkualiti tinggi daripada pelukis-pelukis tempatan.

Lebih 30 karya yang bertemakan bebas akan dipamerkan di galeri tersebut sebagai usaha kebajikan daripada para artis untuk membantu mangsa banjir dengan mengetengahkan hasil karya masing-masing.

Seramai 30 orang seniman akan menjayakan Pameran Seni Amal tersebut antaranya, Rafiee Ghani, Ahmad Syukri Mohammed, Umibaizurah Ismail, Sabri Idrus, Stephen Menon, Liu-Cheng Hua, Khairudin Zainudin, Megat Zaim Zharif Megat Nawawi dan Sofia Haron.

Kesemua karya seni yang dipamerkan merupakan karya terbaik yang dilukis khusus untuk menjayakan kempen #Art4ManekUrai. Gambar pameran berkenaan akan dijual kepada orang ramai khususnya pencinta seni visual pada harga yang berpatutan.

Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan, pihaknya memainkan peranan sebagai pengantara kepada individu mahupun golongan korporat yang berhajat untuk melaksanakan usaha-usaha membantu golongan yang memerlukan.

“IAM menyasarkan pembinaan 66 buah rumah kekal yang mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu. Tempat tinggal tersebut amat diperlukan tatkala umat Islam akan menempuh bulan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.

“Selain membantu mendirikan tempat tinggal kekal di tanah milik mangsa banjir, mereka juga akan menerima bantuan barangan keperluan harian dan barangan asas,” jelasnya.


MOHAMAD NAZLI (kanan) dan Zawahir menurunkan tandatangan sebagai gimik pelancaran Pameran Seni Amal #Art4ManekUrai di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Prihatin

Menurut Zawahir, pihaknya berbesar hati bekerjasama dengan Galeri Chandan untuk melaksanakan projek yang amat bermakna kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan khususnya kawasan Manek Urai dan Kuala Krai.

Pengarah Urusan, Galeri Chandan, Mohamad Nazli Abd. Aziz, berkata, projek amal itu merupakan kerjasama pertama dengan IAM yang akan dilaksanakan secara berterusan melalui kempen Art4humanity.

“Sebagai orang seni, pameran ini merupakan cara terbaik bagi kami untuk menzahirkan keprihatinan dalam isu-isu kemanusiaan menerusi karya-karya yang dihasilkan.

“Pameran amal ini akan menjadi platform kepada penggiat-penggiat seni tanah air untuk terus beramal dengan bakat yang mereka ada,” katanya yang telah mengendalikan Galeri Chandan selama tujuh tahun.

Menurut Nazli, inisiatif tersebut adalah tanda keprihatinan golongan seniman dalam industri seni visual untuk memberi sumbangan dan kehidupan baharu kepada mangsa banjir yang telah kehilangan tempat tinggal.

Pihaknya juga bercadang untuk terus bekerjasama dengan IAM dalam usaha-usaha kemanusiaan untuk jangka masa panjang.

Tambahnya, beliau terpanggil untuk bersama-sama IAM membantu mangsa banjir di kawasan tersebut setelah mengikuti lawatan ke tempat bencana dan melihat sendiri kesusahan yang dihadapi oleh mangsa.

Jelas Nazli, pihaknya akan menyerahkan kesemua keuntungan hasil jualan karya seni itu bagi membantu mangsa banjir di Kelantan.

Sementara itu, salah seorang artis yang terlibat dalam pameran amal itu, Megat Zaim Zharif Megat Nawawi, 24, berkata, dia sangat teruja untuk sama-sama melakukan usaha murni itu bagi membantu mangsa banjir di kawasan-kawasan yang terlibat.

“Kami sebagai orang seni menggunakan kebolehan yang ada untuk membantu individu yang memerlukan. Atas dasar kemanusiaan, saya rasa terpanggil untuk sama-sama menyumbang tenaga dan hasil karya bagi menjayakan projek amal ini.

“Saya akan mengetengahkan satu karya lukisan yang bertajuk Syahadah. Subjek yang dilukis adalah jari telunjuk diangkat menunjukkan perbuatan syahadah yang sangat simbolik bagi umat Islam,” katanya yang memberitahu karya itu dijual pada harga RM1,800.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web, www.iam.org,my atau www.galerichandan.com/art4manekurai.

Rencana Utama!»

Pembunuhan rakyat Syria beramai-ramai

ORANG awam yang disyaki terkena gas sarin di Khan Sheikhoun, Idlib, Syria bergelimpangan di atas tanah.

Varia!»

Polis Shah Alam dekati pelajar Taufiq Islami

Pelajar-pelajar Institut Taufiq Islami teruja dan seronok dapat beramah mesra dengan Shafien (kanan).

Process time in ms: 47